Suspek joli wang samun Sabari, berjudi di Batam
Oleh – Syeikh Baran
Kontraktor yang disyaki menyamun sebelum mencampakkan Sabari Baharom, 62, ke Sungai Padang Terap, di sini dikatakan menggunakan wang RM16,000 milik pesara Felcra itu untuk berjudi.
Menurut sumber, suspek berusia 38 tahun dan anak saudaranya berusia 26 tahun dikatakan pergi ke Batam, Indonesia untuk berjudi selepas insiden pembunuhan tersebut.
“Mereka dipercayai menggunakan wang samun dengan berjudi di sebuah kasino di negara itu,” katanya di sini hari ini.
Suspek dikatakan mengalami masalah ketagihan judi termasuk secara dalam talian.
Terdahulu, polis mengesahkan motif Sabari diikat tangan serta mulut ditutup dengan pita pelekat sebelum dicampak ke dalam Sungai Padang Terap adalah kerana wajah suspek terdedah ketika melakukan samun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, soal siasat terhadap suspek mengaku niat awal mereka ingin menyamun mangsa.
“Namun selepas wajah suspek dikenali mangsa, mereka terus mengambil tindakan mengikat tangan dan menutup mulut dengan pita pelekat lalu membawa mangsa dan mencampaknya ke dalam sungai,” ujarnya.
Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.
Kereta jenis Proton Waja dinaiki Sabari kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.