Lelaki ceroboh, pecahkan pintu rumah bekas teman wanita dijel setahun
Oleh – Syeikh Baran
Tindakan seorang penganggur menceroboh dan memecahkan pintu kaca serta tombol pintu rumah didiami bekas teman wanitanya memakan diri apabila dia dihukum penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Imran Othman, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 25 September lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menceroboh dengan memasuki rumah milik bapa kepada teman wanitanya di sebuah rumah di Taman Melawati pukul 1.30 petang pada 18 September lalu.
Bagi pertuduhan pertama itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Imran didakwa melakukan khianat dengan memecahkan pintu kaca dan tombol pintu rumah mangsa serupa, sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM41,580 di lokasi dan masa sama yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap wanita berumur 24 tahun itu dengan mengeluarkan ugutan terhadapnya, yang mana kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dengan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami trauma.
“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah besar akibat perbuatan tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun peguam Nadia Irwanita Mohamed Rosli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa serta kos semua pihak selain tertuduh insaf
“Kejadian itu adalah salah faham dengan bekas teman wanitanya,” kata peguam itu.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa mendengar satu balingan batu ke arah tingkap biliknya dan semasa membuat pemeriksaan mendapati bekas teman lelakinya berada dalam kawasan rumah dan memecahkan pintu kaca di belakang rumah di kawasan rumah tamu menggunakan besi dumbel sambil menjerit nama mangsa.
Mangsa kemudian melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas biliknya sambil menghubungi talian 999 manakala tertuduh telah menendang dan menggunakan besi dumbel untuk memecahkan pintu bilik mangsa, namun tidak berjaya.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.