Along masuk jel balasan bakar tiga rumah

Oleh – Syeikh Baran

Along masuk jel balasan bakar tiga rumah

Perbuatan khianat orang suruhan along membakar tiga buah rumah terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam bulan serta dikenakan denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hukuman itu dibuat Hakim Nariman Badruddin selepas tertuduh, Goh Poh Liang, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan membakar rumah bersama seorang lagi rakannya di Tangkak pada bulan lalu.

Rakannya yang juga tertuduh pertama, Li Ao Chen, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, mereka didakwa melakukan khianat dengan api terhadap tiga rumah mangsa berusia 41, 55, dan 52 tahun.

Kesalahan dilakukan di Taman Tangkak Jaya 4, Taman Tangkak Jaya dan Taman Tiara 2, Tangkak pada pukul 6 hingga 6.18 pagi, 14 September lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki manakala Goh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala pertuduhan ketiga, empat tahun enam bulan serta denda RM3,000 dengan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh ditahan, 14 September lalu.

Pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semua kes terhadap Ao Chen yang diwakili peguam Lau Yi Leong dengan membenarkan ikat jamin RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tertuduh gagal membayar jaminan sebelum dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk menjalani tahanan sementara.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker