Tanah perkuburan Islam bertingkat

Tanah perkuburan Islam bertingkat

KEMUDAHAN tanah perkuburan untuk urusan pengebumian suatu keperluan yang wajar diberikan perhatian sejajar dengan perkembangan dan pembangunan masyarakat Islam di negara ini.

Pada masa sama, isu kepadatan tanah perkuburan Islam turut menjadi perbincangan masyarakat terutama di kawasan berpenduduk tinggi seperti di ibu kota dan beberapa negeri kecil di negara ini.



Pelbagai langkah dilakukan oleh pihak berkuasa agama negeri dan memberi perhatian serius terutama untuk menilai tahap kesiapsiagaan kecukupan tanah kubur serta mengenal pasti kaedah pengurusan pengebumian yang lebih cekap.

Lantas, membina kubur bertingkat diusulkan bagi menampung keperluan kekurangan tanah kubur dan mengikut hukum syarak, pelaksanaannya dibolehkan.

Sistem kubur bertingkat ini juga sudah dilaksanakan di beberapa negara lain termasuk di Madinah, Arab Saudi dan Singapura.

Contohnya, kaedah kubur bertingkat seperti yang dilakukan untuk persemadian jenazah di al-Baqi’ Madinah, iaitu ada liang kubur hingga 10 tingkat, apabila jenazah hancur, tulangnya dipindahkan ke tempat lain dan diganti dengan jenazah lain.



Dalam konteks di Malaysia , Majlis Agama Negeri juga prihatin dengan melakukan sebaiknya.

Pulau Pinang bina kubur bertingkat

Di Pulau Pinang, umpamanya pihak berkuasa agama negeri itu melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi mendepani isu tanah perkuburan di masa hadapan.



Ketua Unit Pentadbiran Tanah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Shahril Shahrom, berkata pihaknya melaksanakan kaedah Tanah Perkuburan Islam Bertingkat di negeri berkenaan.

“Kaedah tanah perkuburan bertingkat berkenaan sudah dilaksanakan di beberapa lokasi tanah perkuburan yang telah penuh seperti di Qaryah Masjid Jamiul Badawi dan Qaryah Masjid Maqbul Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

“Tanah Perkuburan Islam Bertingkat di kawasan berkenaan perlu dilaksanakan secara cermat dan teliti kerana ia membabitkan sensitiviti waris bagi perkuburan yang sedia ada.

“Tanah Perkuburan Islam Bertingkat berkenaan juga dilakukan secara berfasa atau serentak bergantung kepada kesesuaian dan keperluan pelaksanaannya,” katanya.



Bina tembok di sekeliling tanah perkuburan

Mengulas lanjut, Shahril berkata, untuk menyelesaikan perkara itu, tembok perlu dibina di sekeliling tanah perkuburan dan ditimbun dengan tanah baharu dalam ukuran ketinggian tertentu di atas perkuburan sedia ada.

“Untuk batu nisan sedia ada pula, ia perlu dialihkan secara sementara, penandaan lokasi kubur berserta maklumat jenazah untuk menempatkan semula batu nisan apabila urusan menambun tanah selesai dilaksanakan.

“Jenazah baharu dikebumikan di bahagian atas kubur yang sedia ada dan diletakkan batu nisan yang baharu bersebelahan dengan batu nisan bagi jenazah terdahulu,” katanya.



Tambah Shahril, MAINPP turut melakukan kaedah tanah perkuburan tersusun di negeri itu dan dilaksanakan di beberapa lokasi tanah perkuburan Islam baharu seperti Qaryah Masjid Jamek Al-Hidayah, Kuala Muda, Penaga

“Kaedah Tanah Perkuburan Berpusat juga dilaksanakan di daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, pelaksanaan dan pembangunan kubur bertingkat di Pulau Pinang dibangunkan secara berfasa atau berpetak dan ia berkonsepkan penggunaan semula dan bertingkat.

“Keluasan keseluruhan fasa akan membabitkan keluasan 14,550 persegi dan penimbunan tanah setinggi 158,200 kaki padu.



“Jumlah batu nisan yang terbabit adalah sebanyak 1,810 merangkumi 60 peratus yang sudah mempunyai nama (jenazah) sebanyak 1,086, manakala tiada nama adalah sebanyak 40 peratus atau 724.

“Pengebumian baharu secara berturutan dengan konsep dahulu didahulukan serta tidak boleh ditempah dan tidak mengikut ahli keluarga,” katanya.

Kedudukan setiap fasa (petak) akan dijadikan tersusun dan mudah untuk ahli waris menziarahi dan mendapatkan maklumat.

“Penetapan fasa (petak) secara bergambar dan berajah dibuat serta memasukkan semua maklumat kematian di dalam rekod untuk penyusunan nama di setiap petak.

“Satu sudut maklumat si mati diwujudkan di setiap petak pembangunan kubur si mati yang lama dan si mati yang baharu bagi memudahkan waris untuk mengenal pasti si mati berada di fasa yang mana,” katanya.

Selepas siap kerja penambuhan tanah, kerja melabelkan akan dimulakan dan setiap label pemetaan itu mewakili beberapa nama si mati lapisan pertama mengikut catatan awal.

Kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan

Tidak terkecuali di Wilayah Persekutuan mempunyai potensi peningkatan penduduk yang tinggi dan trend perbandaran semakin pesat, pelan pembangunan tanah perkuburan Islam masa hadapan perlu dirangka dengan mengambil kira pelbagai isu dan cabaran semasa.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kamaldin Mohd Damin, berkata bagi mendepani isu tanah perkuburan di masa hadapan terutama di Wilayah Persekutuan, JAWI akan melaksanakan langkah solusi terhadap perkara itu.

“JAWI akan menggubal satu Pelan Tindakan komprehensif berkaitan Tanah Perkuburan Islam (TPI) dan pengurusan jenazah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Bagi menyelesaikan isu kekurangan tanah perkuburan Islam di bandar serta peningkatan bilangan jenazah, JAWI akan membangunkan Tanah Perkuburan Islam (TPI) bertingkat di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur,” katanya.

Garis panduan urus tadbir kubur bertingkat

Bagi melaksanakan pembinaan kubur bertingkat di Kuala Lumpur, Kamaldin berkata, JAWI akan menggubal satu modul pembinaan kubur bertingkat yang lebih praktikal dan menepati kondisi struktur tanah di ibu kota itu serta mengambil kira aspek penjimatan kos.

“Satu garis panduan urus tadbir kubur bertingkat akan dirangka dan ia meliputi aspek pengurusan data dan rekod, kewangan, tenaga kerja serta keperluan pembangunan prasarana di kawasan tanah perkuburan berkenaan.

“Kertas Fatwa berkaitan penggunaan TPI di Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan turut akan disediakan.

“Kertas Fatwa berkenaan adalah bagi menetapkan tempoh yang sesuai bagi satu-satu tanah perkuburan sama ada boleh dialih dan diguna semula.

“Ia juga termasuk mengenai hukum mengalihkan tanah perkuburan atas faktor bencana alam,” katanya.

Tambahnya, JAWI akan mencadangkan dan memohon kepada kerajaan untuk menyediakan peruntukan pembangunan tanah perkuburan Islam yang mencukupi.

“JAWI juga menggalakkan pembabitan masyarakat untuk menyumbang melalui sumbangan wakaf dan tunai bagi memastikan keperluan pengurusan tanah perkuburan dapat dipenuhi.

“Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar menyediakan tanah khusus sebagai tapak tanah perkuburan Islam dalam projek pembangunan bandar atau kawasan perumahan baharu,” katanya.

Menurut Kamaldin, ketika ini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai tanah perkuburan Islam (TPI) dengan keluasan keseluruhan berjumlah 71.7 hektar.

29 TPI di Wilayah Persekutuan

Katanya, secara umumnya terdapat 29 buah TPI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (18 TPI Kariah, tiga TPI seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), satu di Wilayah Persekutuan Putrajaya (TPI Perbadanan Putrajaya) dan 21 di Wilayah Persekutuan Labuan (20 TPI Kariah, satu Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah (TPIRS) dengan jumlah keseluruhan 51 buah tanah perkuburan.

“Tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan diselenggara dan diuruskan oleh JAWI serta beberapa agensi lain seperti DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Pengurusan Masjid Kariah.

“JAWI terbabit secara langsung dalam mengurus dan menyelaras lapan TPIRS iaitu tujuh di Kuala Lumpur dan satu di Labuan.

“Selain menguruskan tanah perkuburan, JAWI juga bertanggungjawab menguruskan jenazah sama ada jenazah berwaris mahupun tidak berwaris,” katanya.

Katanya, untuk jenazah yang tidak berwaris dan tidak berkemampuan, JAWI menyediakan khidmat pengurusan jenazah sehingga selesai pengebumian secara percuma.

“JAWI juga berpengalaman menguruskan jenazah beberapa tragedi dalam negara seperti kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah dan wabak COVID-19.

“Pada Mac 2020, Pasukan Pengurusan Jenazah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAWI (PPJC-19) ditubuhkan dengan dianggotai seramai 83 orang petugas lelaki dan 30 orang petugas wanita.

“Pasukan berkenaan menguruskan jenazah orang Islam yang dikaitkan dengan COVID-19 secara percuma di Wilayah-Wilayah Persekutuan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan urusan pengebumian dilaksanakan dengan pantas dan efisien,” katanya.

INFO:

Mengenai Tanah Perkuburan Bertingkat:

• TPI di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Kuari, Cheras, Kuala Lumpur sudah ditutup

• 2 TPI di Jalan Ampang hanya berbaki sekitar 400 lot (dijangka mampu bertahan kurang dua tahun lagi).

• TPI Putrajaya – ruang lot kubur masih berbaki 4,500 lot (dijangka mampu bertahan 6 – 7 tahun lagi)

• TPI Wilayah Persekutuan tidak lagi sesuai dinaiktaraf kerana sudah mencapai purata penggunaan 82.11 peratus.

• TPI di Kuala Lumpur hanya 9,957 lot atau 16.26 peratus dengan jumlah keseluruhan sedia ada 61,235 lot kubur (mampu bertahan 3 – 5 tahun lagi). BH

Tanah perkuburan Islam bertingkat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kamu pendakwah, perbuatan itu tak diterima akal – Hakim

Nasib baik pesakit angkut tilam balik rumah, bukan nurse.

Adik nampak bapa rogol kakak

Ikut hati, saya saman Pan Gon – Hamidin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker