Dulu asnaf, sekarang aku pembayar zakat
Siapa yang tak kenal dengan tokoh yang bernama Dr Noor Hisham Abdullah.
Dulu asnaf, sekarang aku pembayar zakat
Iltizam mengotakan janji semasa lafaz bai’ah ketika menerima zakat biasiswa menjadi azimat kepada Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk kekal setia berkhidmat dalam sektor awam sehingga persaraannya sebagai Ketua Pengarah Kesihatan, April tahun lalu.
Beliau lega dan bersyukur dapat mengharungi cabaran selepas 35 tahun berbakti dalam sektor kesihatan awam negara walaupun sepanjang tempoh perkhidmatan itu mengakui banyak menerima tawaran ‘lumayan’ daripada sektor swasta.
Pakar bedah endokrin itu berkata, dalam bai’ah yang dilafazkannya kepada pegawai zakat yang dipertanggungjawabkan pada masa itu, beliau berjanji sebagai doktor untuk berkhidmat kepada negara, bangsa dan agama di sektor awam sehingga bersara.
“Pada masa itu, saya belajar dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Ketika terima zakat itu, Tuan Haji Idris masa itu dia pegawai yang dipertanggungjawabkan meminta saya buat lafaz bai’ah, ‘Ini duit orang Islam, jadi apabila dah jadi doktor kelak, kena berkhidmat dengan kerajaan sehingga pencen’.
“Jadi, saya berkhidmatlah sampai pencen walaupun banyak tawaran untuk saya daripada hospital swasta dan sebagainya tetapi saya kekal pegang kepada janji.
“Janji berkhidmat kepada negara, bangsa dan agama di sektor awam sehingga saya pencen. Selepas pencen, barulah saya mula berkhidmat di sektor swasta dan juga sektor korporat untuk terus membangunkan sistem kesihatan negara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Hospital UCSI, Bandar Springhill, di sini, baru-baru ini.
Beliau yang kini menggalas jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI dan Profesor Adjung di Universiti UCSI berkata, jumlah zakat biasiswa diterimanya pada masa itu kira-kira RM4,800 untuk setahun dan sepanjang lima tahun belajar memperoleh sekitar RM25,000.
“Walaupun duit itu tidak banyak, tetapi bai’ah itu saya pegang sampai pencen. Tak ada pun kontrak ke atau pun ambil tindakan mahkamah semua, Lillahi Ta’ala dengan Allah SWT kita dah janji. Saya salam dan lafazkan itu sahaja, tak ada pun sebarang dokumen bertulis.
“Ketika itu perbelanjaan saya sepanjang untuk menjalani kursus perubatan di UKM adalah antara RM3,000 hingga RM4,000. Jadi, saya dapat RM4,800 cukup kos sara hidup dan sebagainya,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1 Ogos 1988.
Dilahirkan 21 April 1963 di Sepang, Selangor dengan nama asalnya Yew Ming Seong dalam sebuah keluarga miskin berbangsa Cina sebelum dijaga keluarga angkat, Noor Hisham berkata, beliau menerima zakat pada masa itu dalam tiga kategori golongan layak menerima zakat iaitu fisabilillah, mualaf dan fakir miskin.
“Fisabillah sebab saya pada masa itu sedang belajar, mualaf dia (pihak zakat) melihat saya anak angkat, fakir miskin saya ketika itu miskin.
“Dahulu saya memikirkan kenapa hidup lain daripada orang lain. Orang lain ada ibu bapa, kehidupan stabil. Apa pun, kehidupan sederhana, saya tinggal di Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan ibu dan kakak saya.
“Masa itu miskin tetapi walaupun kita miskin tetapi cukuplah makan semua. Tetapi apa yang saya nak tekankan adalah pelaburan dari segi pelajaran. Ibu saya pastikan saya belajar agama dan juga dapat pendidikan yang sebaik mungkin,” katanya yang juga lepasan Kolej Islam Klang itu.
Menurutnya, kemiskinan mengajarnya erti berdikari termasuk dirinya yang diberikan peluang kreatif menjana pendapatan sejak sekolah rendah.
Katanya, walaupun miskin, kena ada idea yang kreatif dan beliau semasa kecil membuat pelbagai kerja seperti menjual jagung dan nasi lemak.
“Saya pergi sekolah bawa nasi lemak 30 bungkus, satu nasi lemak harga 30 sen. Yang buat nasi lemak itu jiran saya. Jika jual nasi lemak 30 bungkus, saya dapat dua tiga bungkus percuma.
“Banyak inovasi yang kita boleh ketengahkan, tak adalah kata susah sangat. Banyak inisiatif sendiri untuk dapatkan wang seperti jual botol, jual jagung di pasar malam dan sebagainya. Kita bergaul, jual pula buah-buahan.
“Ini mungkin adalah satu cara saya dilatih berdikari sejak kecil. Bagus pengalaman sebegini, ikhtiar hidup, jadi itu membantu. Bukan kata tak ada makanan pun, ada tetapi ini membantu dari segi pelajaran dan sebagainya.
“Paling penting kita kena tumpukan perhatian kita kepada pelajaran dan agama, itu juga ditekankan ibu saya,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana membantu golongan asnaf sepertinya terutama memberikan biasiswa zakat kepadanya dalam memudahkannya menghabiskan pengajian dalam jurusan perubatan.
“Bayar zakat adalah satu cara atau kaedah yang suci untuk mensucikan harta kita. Ia juga satu pelaburan yang baik yang mana boleh diguna pakai kepada asnaf dan membangunkan asnaf daripada miskin hingga dapat mencapai cita-cita mereka.
“Jadi, saya syorkan dan seru kepada mereka yang berkemampuan untuk terus membayar zakat kerana ia akan membawa berkat berpanjangan.
“Saya adalah contoh penerima zakat yang kini sentiasa ingat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar zakat,” katanya yang diiktiraf pelbagai pihak di dalam negara dan antarabangsa.
Hasil perkahwinannya pada Januari 1990 dengan Puan Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, beliau dikurniakan enam anak dan kini sudah mempunyai tiga cucu. HM
Dulu asnaf, sekarang aku pembayar zakat
Baca Artikel Menarik:
- Operasi SAR mangsa tanah jerlus dihentikan – Nor Hisham
- Mata ini menangis dan hati ini bersedih – Isteri Da’i Syed
- Pemimpin PAS pertahan ada beg LV lepas dakwa ‘rakyat mati kelaparan’
- ‘Saya Wiwi Darvinda meminta maaf kepada Puteri Sarah’
- Pesakit psikiatri merajuk dimarahi, lari ke hutan
- Dengan memboikot dapatkah membantu Gaza, soal Duta AS
- Hadi sanggah kata-kata sendiri
- Hamidin dedah punca Pan Gon letak jawatan
- Patung Buddha rosak disyaki angkara pemain nombor ekor
- Kereta jatuh dalam tanah jerlus, 2 cedera
- Mayat bayi disimen bawah lantai, penyewa terakhir mengandung, lari sebulan lalu
- Abdullah Sani pertahan bawa pistol ke stadium
- Orang miskin nak duk mana – Anwar
- Saya tahu segala pergerakan mereka, guna aplikasi penjejak dalam telefon bimbit – KPN
- Ini satu pertuduhan yang mengarut – Dr Raduan Che Rose
Layari Laman Facebook MYKMU.NET