Malaysia perlu tunjuk kehadiran di Laut China Selatan
Malaysia perlu tunjuk kehadiran di Laut China Selatan
Malaysia perlu menunjukkan ‘kehadiran’ di perairan Laut China Selatan untuk memastikan kedaulatan negara terjamin ekoran kemunculan beberapa negara serantau secara agresif membuat tuntutan hak dan wilayah.
Pakar pertahanan dan konflik antarabangsa berpendapat, meskipun Malaysia tidak mampu menyaingi China, kehadiran aset ketenteraan sudah memadai sebagai hujah kuat sekiranya isu tuntutan dibawa ke peringkat lebih tinggi.
Profesor di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, berkata perkara itu wajar diberi keutamaan melihat China semakin agresif dalam tuntutannya kebelakangan ini sehingga membina pangkalan tentera di Kepulauan Spratly.
Beliau berpandangan, kehadiran kapal tentera China memang memberi satu bentuk provokasi kepada negara di rantau ini, termasuk Malaysia sehingga ada cubaan mengganggu dua pelantar minyak PETRONAS yang boleh mengancam aktiviti cari gali minyak dan aktiviti nelayan.
“Namun, saya melihat gangguan setakat ini tidak sampai ke peringkat berlawan atau berkonflik. Sebab itu, setiap kali berlaku pencerobohan, kita buat bantahan, minta China buat penjelasan.
“Sekurang-kurangnya kita dalam situasi membuat tuntutan yang sama dan berusaha sebaiknya. Dalam soal ini, saya setuju sebenarnya aset ketenteraan yang kita ada tidak cukup dan kalau kita tambah banyak mana sekali pun, kita masih tak mampu menyaingi China.
“Cuma, Malaysia perlu terus menunjukkan kehadiran di perairan itu untuk memastikan kedaulatan negara terjamin. Ia juga boleh digunakan sebagai hujah kuat sekiranya isu tuntutan terbabit dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Laut China Selatan yang menjadi antara laluan maritim penting bagi Malaysia, khususnya dalam sektor perdagangan dan pengeluaran hasil bumi utama seperti minyak, diselubungi pelbagai isu sensitif, terutama dalam tempoh sedekad ini.
Hak dan kedaulatannya dituntut beberapa negara, termasuk Malaysia sehingga menimbulkan krisis diplomasi antarabangsa.
Tuntutan sama dibuat lima negara serantau lain, iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Taiwan dan Vietnam, selain kuasa besar dunia, China.
Tidak boleh terlalu yakin
Insiden terbaharu Ahad lalu apabila China menuduh Filipina sengaja melanggar kapalnya berhampiran Beting Sabina, kira-kira 140 kilometer (km) ke barat pulau Palawan di negara jiran Malaysia itu dan kira-kira 1,200km dari Pulau Hainan, lokasi terdekat bagi China.
Prof Dr Mohd Mizan yang juga Felo Kanan Global Peace Institute (GPI) London, berpendapat, Malaysia juga perlu terus berusaha mempertahankan kedaulatan di perairan itu dan tidak boleh bersikap terlalu yakin agar kesilapan seperti dalam isu Batu Puteh tidak berulang.
Ditanya mengapa usaha tuntutan hak Malaysia di Laut China Selatan seperti tidak bergerak, beliau berpandangan negara mungkin belajar daripada kesilapan dalam kes Batu Puteh dan mungkin setakat ini tidak merancang membawa tuntutan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Kita sudah belajar daripada kesilapan, kalau kalah kita akan terlepas langsung (seperti kes Batu Puteh). Lebih baik kita tidak bergerak ke depan untuk membawa kes ini ke mahkamah kerana kalau kita kalah, tak ada apa langsung yang boleh kita pertahankan lagi,” katanya.
Beliau menyarankan Putrajaya mengambil peluang giliran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan untuk merungkai isu berkait Laut China Selatan kerana ASEAN mampu menjadi platform terbaik bagi berbincang mencari pendekatan ‘menang-menang’ tanpa konflik lebih parah.
“Saya fikir ASEAN pun ada semangat sama menerusi dasarnya terutama membabitkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), iaitu harus neutral dalam isu berkaitan,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, pakar undang-undang maritim dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohammad Zaki Ahmad, juga bersetuju Malaysia menggunakan platform Pengerusi ASEAN untuk menggesa Beijing menandatangani Kod Tatalaku (CoC) bagi mengelak ketegangan tidak diingini.
“Pertembungan tidak seharusnya berlaku jika CoC dapat dikuatkuasakan sepenuhnya. Ia ada, tapi tidak ikat mana-mana negara, tiada legal obligation.
“Pertikaian tidak boleh diselesaikan secara mutlak kerana asas tuntutan masing-masing tidak begitu kukuh dari segi perundangan antarabangsa,” katanya.
Beijing tandatangan CoC, mungkin tak sepenuhnya, cukup sekadar syarat yang boleh elak ketegangan. ‘Pertembungan’ China dan Filipina baru-baru ini perlu dielak agar melarat dan beri kesan kepada negara sekitar, termasuk Malaysia.
“Pernah berlaku konflik persenjataan menyebabkan kematian membabitkan tentera laut Vietnam pada 1974 dan 1988 di Laut China Selatan. Ini perlu dielakkan kerana kesinambungan dari segi aktiviti ekonomi boleh dijana sekiranya keadaan aman dan stabil,” katanya.
Bagi Malaysia, katanya, China tidak terlalu agresif, iaitu lebih kepada pemantauan dan sekadar elemen ‘gangguan’ berbanding tindakan agresif seperti dilakukan ke atas Filipina. BH
Malaysia perlu tunjuk kehadiran di Laut China Selatan
Baca Artikel Menarik:
- Hang Jebat lega pertelingkahan harta dengan Hang Tuah akhirnya selesai
- Presiden Majlis Profesor hadapi tujuh tuduhan pecah amanah
- Bayaran balik penuh jika penerbangan ditunda lebih 5 jam
- Tempoh perakuan sijil udara MAS dipotong kepada setahun
- Pelancong asing beri amaran berhati-hati melawat Malaysia
- Tak perlu hantar surat tunjuk sebab, Jailani jawab Rauf
- Maut terlanggar tayar lori bergolek di lebuh raya
- PROTON e.MAS 7 buat kemunculan pertama 31 Ogos ini
- Saya maki kaki troll, bukan masyarakat India – M Mythreyar
- Krisdayanti buat pusingan U
- Dajal dalam politik ketakutan Hadi
- Ebit Lew paksa mangsa ‘belanja’ gambar buah dada
- Anggota polis parah tertimbus ketika cubaan musnahkan bom [VIDEO]
- Arif Aiman buat kejutan, ziarah “Mickey” dikediaman
- ‘Dapat PA mulut tiada insurans memang hmm’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.