Hukum menyusukan anak angkat

Hukum menyusukan anak angkat

Agama Islam sangat menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian.

Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.



Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan jumhur fuqaha yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak seperti mana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang menyatakan bahawa, seorang wanita yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.

Sehubungan itu muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh, sama ada telah berkahwin atau pun sebaliknya. Manakala ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau yang boleh mendatangkan mudarat.

Walau bagaimanapun keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.

Jumhur ulama juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu pertama penyusuan secara langsung dari payudara dan kedua, penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub botol susu dan sebagainya.



Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh syarak seperti berikut:

Pertama: Bilangan susuan hendaklah dengan 5 kali penyusuan.

Kedua: Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi dan:

Ketiga: Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.



Adapun hujan sabitan ini adalah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang. Sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara.

Bagaimanapun sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau ditempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut dihukumkan tidak sah sebagai anak susuan.

Menyusukan bayi bukan Islam

Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita yang beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam. Dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita yang bukan Islam, kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya.



Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada akidah dan agama bayi yang disusukan tersebut. Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya seperti mana pendapat yang rajih daripada ulama mazhab Syafie dan Hanbali, kerana untuk sabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh syarak.

Bagi seorang lelaki yang mengahwini seorang wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah sabit menjadi anak susuannya, maka muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut. Wallahu a’lam Utv

(Fatwa ini diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011)

Hukum menyusukan anak angkat



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

UMNO bukan parti abah saya



Pesta ‘clubbing’ di hadapan masjid biadap dan dikecam

Fenomena ‘Barkoba’ datang sekali, Bell terkejut tembusi tiga kategori ABPBH 36

Filem lucah terpapar pada ruang iklan awam gemparkan penduduk [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker