Arteta upah penyeluk saku

Walcott dedah sebab Arteta upah penyeluk saku.

Arteta upah penyeluk saku

Theo Walcott mendedahkan sebab sebenar Mikel Arteta mengupah penyeluk saku untuk mencuri telefon pemain-pemainnya.

Pengendali Arsenal, Arteta sering menggunakan cara unik dalam membentuk pasukan, termasuk memainkan lagu You’ll Never Walk Alone ketika latihan menjelang kunjungan ke Anfield bertemu Liverpool.



Dia sekali lagi melakukan perkara pelik apabila mengupah penyeluk saku profesional untuk mencuri barang-barang berharga pemainnya ketika makan malam pasukan.

“Mereka pasti akan memenangi liga tahun ini,” kata Roy Keane menyindir cara Arteta menguruskan pasukan.

Namun bekas rakan sepasukan Arsenalnya, Walcott percaya reaksi sebegitu adalah sebahagian daripada rancangan Arteta.

“Ia berjaya menarik perhatian. Ia membuatkan anda melupakan seketika tentang bola sepak dan bercakap mengenai perkara yang jarang berlaku.



“Itu yang Mikel lakukan. Dia mahu mereka berfikir dengan cara berbeza. Jadi sekarang pemain-pemain lebih waspada di dalam bilik persalinan. Itu mesej yang dia cuba sampaikan.

“Ia sebahagian daripada latihan, dan ia berkesan, kini anda pergi bekerja setiap hari dan lebih berwaspada dalam kehidupan,” kata Walcott.

Walcott juga mengimbau insiden di padang latihan ketika mereka menjadi rakan sepasukan di bawah Arsene Wenger yang membuatkan dia yakin Arteta akan menjadi pengendali.

Arsenal sedang bergelut memburu tempat dalam kelompok empat teratas, dan ketika Wenger menunggu pemain keluar untuk latihan, Arteta mengurung mereka di dalam bilik persalinan untuk memberi kata-kata perangsang.



“Dia tidak membenarkan kami keluar. Dia memberi kata-kata semangat dan pada saat itu, saya tahu dia akan menjadi seorang pengurus. Bukan hanya itu, kami berjaya berada dalam kelompok empat teratas.

“Dia akan mencuba sesuatu yang berbeza dan ia perkara yang jarang pemain lakukan – berhenti berlatih,” tambah Walcott.

Walcott juga yakin Arsenal mampu mengatasi Man City musim ini selepas begitu hampir melakukannya dalam dua musim terakhir.

“Saya bersama mereka ketika pra-musim. Saya melihat cara Mikel mengendali pasukan. Mereka begitu teguh sebagai satu unit. Saya rasa kali ketiga mereka akan bernasib baik,” katanya. BH



Arteta upah penyeluk saku

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker