Ku Li mampu kalihkan Nenggiri

Ku Li mampu kalihkan Nenggiri

Oleh Hishamuddin Aun

Pengalaman luas dan pengaruh besar bekas Ahli Parlimen selama 48 tahun itu jadi sandaran untuk calon BN menang pada 17 Ogos.

Pada usia 87 tahun, Tengku Razaleigh Hamzah sehingga pertengahan bulan lalu mengakui hanya mahu berehat. Ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Gua Musang pada 13 Julai, ketua Umno Gua Musang itu berkongsi bahawa hasratnya ialah untuk menyampaikan ucapan akhir pada persidangan berkenaan.

Barangkali sudah sampai masa merehatkan kerusi tempat saya duduk untuk diambil alih orang muda yang pintar dengan pemikiran lebih cocok memimpin generasi baharu, kata Ku Li yang kali pertama tewas kerusi Parlimen Gua Musang kepada ‘giant killer’ Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu dalam PRU15 pada 9 Nov 2022. Ku Li (21,663) tewas dengan majoriti 163 undi kepada Azizi (21,826) dalam pertandingan empat penjuru yang turut disertai calon PKR dan Pejuang.

Kerana Azizi, Ku Li tidak lagi bergelar Ahli Parlimen yang disandangnya bagi kerusi Ulu Kelantan selama tiga penggal dari 1974 hingga 1986 dan kemudian kerusi Gua Musang selama lapan penggal dari 1986 hingga 2022 atau 48 tahun selaku Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat.

Kini gara-gara Azizi juga — kerusi DUN Nenggiri miliknya pada PRN 2023 diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu selepas digugurkan keahlian Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim — Ku Li terpaksa terus bekerja buat beberapa ketika
lagi.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Azizi menang dengan majoriti 810 undi. Beliau memperoleh 6,517 undi berbanding calon BN Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi.

Apakan daya ada PRK dan saya diberi tugas menjadi pengarah PRK Nenggiri, kata Ku Li yang rehatnya tertangguh selepas pelantikannya sebagai pengarah bagi PRK itu dan Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub selaku pengarah operasi dimumkan Presiden Umno Zahid Hamidi pada 29 Jun lalu.

Mudah-mudahan kombinasi ini (Tengku Razaleigh dan Jazlan) dapat beri kemenangan kepada kita di Nenggiri, katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis.

Bukan kecil harapan disandarkan kepada Ku Li. Di samping yakin DUN Nenggiri akan kekal sebagai kubu kuat BN bawah kepimpinannya, Zahid turut percaya calon ditawarkan – Ketua Pemuda Umno Kelantan dan Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang juga anak tempatan — mampu memenuhi selera pengundi setempat khususnya anak muda, apatah lagi majoriti 20,2595 pengundi berdaftar di Nenggiri berusia 40 tahun ke bawah. Perikatan Nasional (PN) diwakili bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Rizwadi Ismail.

Insya-Allah bawah kepimpinan Ku Li kita yakin pendukung Umno dan BN akan terus beri sokongan kepada calon yang telah dicadangkan oleh pimpinan bahagian dan BN di pusat, kata Zahid pada sidang media selepas proses penamaan calon di Gua Musang pada 3 Ogos.

Tidak terkecuali menyatakan keyakinan terhadap pengaruh besar Ku Li untuk memenangkan calon BN ialah Khairy Jamaluddin – bekas ketua Pemuda Umno yang tampil antara pengkritik paling lantang terhadap parti itu dan kepimpinan Zahid sejak pemecatannya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 28 Jan 2023.

Saya difahamkan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor, Orang Asli yang pertama dipilih menjadi Ahli Parlimen, sekarang timbalan speaker Dewan Rakyat ditugaskan berkampung di pos-pos Nenggiri. Ini supaya dapat menaikkan sokongan dalam kalangan Orang Asli (13% pengundi Nenggiri) terhadap calon BN, katanya dalam audio siar Keluar Sekejap bersama bekas ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, kelmarin.

KJ berkata faktor kemenangan lain adalah pengundi di DUN Nenggiri juga tidak akan terkeliru mengenai calon ditampilkan adalah daripada BN di samping strategi BN mengatakan pentadbiran kerajaan persekutuan daripada mereka kepada masyarakat Orang Asli.

“Orang di Nenggiri ini dia tidak akan nampak bahawa ini Pakatan Harapan. Dia tidak akan terkeliru sebab arahan daripada Ku Li. Sekiranya BN menang, ia sudah pasti akan memberi sedikit berita gembira kepada BN sebab selama ini kecundang dalam beberapa PRK terutama bila cuba nak menawan kawasan yang kalah pada pilihan raya lepas.

Saya rasa kita akan lihat ‘flip’ (kalih) pertama pada PRK Nenggiri, pengaruh Ku Li besar, tambahnya.

Ku Li sendiri di sebalik kepinginkan rehatnya, melihat kedatangan PRK Nenggiri memberinya semangat baharu dengan menganggap ia misi wajib menang bagi menebus kembali kekalahan pada PRU15.

Misi kita adalah wajib menang di Gua Musang. Kita tahu kalah menang semuanya di tangan tuhan tetapi kita mesti bekerja keras untuk membolehkan kita mendapat kemenangan seperti dulu. Jika berjaya memenangi DUN Nenggiri, insya-Allah kita boleh tebus kembali kekalahan di tempat lain juga selepas ini, katanya.

Dengan kepimpinan dan ketokohan pemimpin muda, Ku Li yakin parti itu mampu mencipta kemenangan dan merampas DUN berkenaan daripada Bersatu. Kita rasa orang muda patut ambil bahagian dalam PRK ini. Kita yakin keputusan ini tepat kerana 62.5% pengundi di DUN Nenggiri terdiri daripada golongan muda, katanya.

Cuma, kempen PRK kali ini dirasakan sedikit hambar tanpa aksi jawab-menjawab di pentas ceramah berlawanan. Ini berikutan keputusan Umno supaya jentera pilihan rayanya tidak fokus kepada ceramah mega dan ceramah umum seperti beberapa siri PRK lalu.

“Kita tidak mahu fokus kepada ceramah umum dan kali ini tumpuan kita adalah sasaran berkelompok pengundi. Sebab itu, kita akan kenal pasti ahli dan penyokong kita. Kita ada penyokong antara BN dan PH agar semua jentera dapat menumpukan kepada semua pengundi di Nenggiri tanpa tertinggal walaupun seorang,” kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki sambil menambah semua parti dalam kerajaan perpaduan akan bekerjasama menggerakkan jentera kempen agar berjalan lancar.

Semua yang ada (dalam kerajaan perpaduan) akan turun. Tidak timbul (boikot) sebab semangat BN-PH ini bukan apabila ketika PRK sahaja, semua akan rasa tanggungjawab untuk bersama, katanya.

Apa pun kaedah kempen yang jadi pilihan, jentera BN bawah kepimpinan Ku Li boleh diyakini akan berhabis-habisan dalam memenangkan Azmawi yang akan menjadi pemudah cara antara kerajaan perpaduan dan penduduk di DUN Nenggiri.

“Di DUN ini, terdapat sembilan kampung tradisi — lima di bawah Kesedar, satu bawah Felda dan lima bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli. Semuanya memerlukan bantuan kerajaan persekutuan. Oleh itu calon yang mewakili kerajaan persekutuan harus menang untuk memudah dan memantapkan
pembangunan di kawasan ini,” kata Ahli MKT Umno Ahmad Maslan.

Ku Li dengan pengalaman luasnya selain sudah sinonim dengan masyarakat Gua Musang hanya berhak kepada kemenangan calon BN pada 17 Ogos ini sebagai buah tangan perpisahan daripadanya.

Walaupun lutut saya terketar-ketar, lawan tetap lawan, kata Ku Li sebagai membayangkan apa yang boleh dijangkakan lawan terhadap gerak kerja jentera BN bawah kepimpinan nyawa. FMT

Ku Li mampu kalihkan Nenggiri

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dia tinggalkan saya macam tu sahaja

Van jenazah di Kajang kena rembat, adegan kejar-mengejar kecoh [VIDEO]

Penghantar makanan kongsi ‘‘Tempat paling kotor yang pernah aku hantar” [VIDEO]

Bella Astillah suka anak ikan? Gurauan Janna Nick cetus tanda tanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker