Takuti senjata zaman ini

Takuti senjata zaman ini

Oleh Mohsin Abdullah

Senjata membawa masalah. Ia membunuh. Itu masalah besar. Tetapi masalah senjata zaman serba moden ini ialah ia mampu mengesan di mana sasaran sebelum serangan dilancar. Maka serangan berjaya mencapai matlamat 100%. Itulah yang berlaku ke atas pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Tehran awal pagi Rabu lalu. Serangan ke atasnya ialah pembunuhan bersasar. Iran menuduh Israel yang membunuh Ismail.

Sehingga artikel ini ditulis tiada pengesahan atau penafian Israel. Namun kita tahu Israel sebelum ini berulang kali menegaskan ia mahu menghapuskan Hamas sama sekali. Dalam perutusannya menerusi televisyen setelah Ismail dibunuh, sang Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan bangga berkata Israel telah ‘menyempurnakan pukulan maut ke atas musuhnya’. Beliau merujuk pembunuhan pemimpin Hezbollah Fuad Shukr di selatan Beirut pada hari sama Ismail dibunuh. Itu targeted assassination yang Israel mengaku melakukan.

Targeted assassination juga dilakukan ke atas wartawan Al Jazeera Ismail al-Ghoul dan jurukamera Rami al-Rifi di Gaza. Juga oleh Israel. Juga pada Rabu.

Seperti dikatakan tadi senjata moden boleh mengesan di mana sasaran berada, tepat pada hari dan waktu lantas melancar serangan membunuh dengan tepat. Dalam erti kata lain senjata canggih membolehkan Israel menghapuskan orang yang tidak disenanginya dengan mudah walaupun sasaran berada jauh dari Tel Aviv.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk keras serangan ke atas Ismail sambil menyifatkan pembunuhan itu ternyata sangat tragis dan kejam. Beliau menyifatkan Ismail tonggak perjuangan pembebasan rakyat Palestin yang ditindas dan dikejami Israel.

Hantaran Anwar di Instagram yakni gambar perjumpaan beliau dengan Ismail di Doha tidak lama dulu diturunkan Meta Platforms Inc, pengendali platform media sosial. Anwar mengecam tindakan Meta menurunkan juga video, ucapan takziah serta kritikan di beberapa akaun media sosialnya berhubung pembunuhan Ismail.

Semakan FMT pagi semalam mendapati catatan itu hilang daripada akaun Facebook dan Instagram Anwar tetapi ketika itu masih kekal di platform X. Meta kata Anwar bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin.

Peringatan tegas saya terhadap Meta – usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel, kata Anwar di Facebook.

Beralih kepada Facebook wartawan veteran A Kadir Jasin. Kata beliau tidak tahulah sama ada pembunuhan Ismail Haniyeh ini akan memberi kesan kepada usaha kerajaan Malaysia Madani menjual 25% saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners Incorporated (GIP). GIP sedang dalam proses dibeli 100% oleh BlackRock Incorporated.

Menurut Kadir BlackRock juga adalah antara perniagaan antarabangsa yang disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembiaya kepada pembekal kelengkapan perang Israel.

Pembiayaan teknologi dan pembekal senjata seperti inilah yang menjadikan Israel canggih di segi persenjataan dan membolehkannya melakukan pembunuhan politik di luar negara dengan mudah, kata Kadir.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahu kerajaan membatalkan perjanjian MAHB selepas pembunuhan Ismail. Dalam kenyataan, Ahli Parlimen PKR itu berkata Malaysia mesti menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti berkait rapat dengan rejim Zionis.

Dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infrastructure Partners yang dikuasai oleh BlackRock, katanya.

Jika perjanjian itu dilaksanakan GIP akan mempunyai pegangan ‘hanya’ sebanyak 25% dalam MAHB seperti disebut Kadir tadi.

Perjanjian itu merujuk kontroversi bermula 15 Mei lalu apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP melalui GIP Aurea Pte Ltd akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam syarikat pengendali lapangan terbang (MAHB).

Isu itu dibawa ke Parlimen di mana perdana menteri memberi penjelasan mengapa GIP, BlackRock dipilih. Menurut PMX keputusan dibuat selepas melalui syarat ketat dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat berminat.

Kata Anwar syarat ditetapkan Khazanah adalah ketat – antaranya jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif mesti rakyat Malaysia dan majoriti pegangan adalah milik Malaysia. Kebanyakan syarikat yang berminat membeli saham tidak setuju dengan syarat dikenakan. Kecuali GIP. Itu sebab GIP dipilih, kata Anwar.

Syarikat lain yang berminat menurut Anwar semuanya mahu hak mengurus – bermakna mereka mahu ketua pegawai eksekutif datangnya daripada dalam kalangan rakyat negara mereka atau mereka yang menentukan siapa duduk dalam jawatan berkenaan.

Itu keputusan dibuat sebelum peristiwa berdarah Rabu lalu. Sekarang setelah Ismail dibunuh (yang ramai percaya oleh Israel) dengan senjata canggih lagi moden mungkinkah keputusan itu diubah? Seperti disaran YB Pasir Gudang daripada PKR sendiri. Atau mungkin untuk MAHB tidak dilihat seperti Meta?

Takuti senjata zaman ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker