Lesen media sosial, jangan salah sangka

MCMC tidak memiliki kuasa

Lesen media sosial, jangan salah sangka

ADA yang menyangka bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) begitu berkuasa sehingga ia berupaya menurunkan mana-mana kandungan dalam talian yang dianggapnya menjelikkan, ternyata ia sangkaan yang meleset sama sekali.

Lihat saja kepada beberapa kes sebelum ini. Seorang bapa yang terdesak meminta bantuan saya kerana bekas teman lelaki anak perempuannya telah menaikkan beberapa gambar yang sangat bersifat cukup peribadi dalam talian.

Sikap buruk lelaki itu semakin menyerlah apabila hubungan mereka mulai berantakan, dan keadaan menjadi lebih teruk apabila gambar-gambar itu tiba-tiba muncul dalam beberapa laman lucah.

Laporan pun dibuat, tetapi MCMC menghadapi halangan kerana bagi pemilik platform sosial asing ini, mereka tidak perlu bertindak segera.

Permintaan telah dibuat kepada platform “panel pengantaraan dan penyederhanaan” yang mengambil masa mereka sendiri, dan enggan mendedahkan identiti pelaku dengan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kewajipan di bawah undang-undang untuk menyekat apa-apa.

Satu lagi kes melibatkan seorang lagi penyangak, bekas teman lelaki yang menyiarkan gambar bekas teman wanitanya, dan memanggilnya dengan pelbagai gelaran bersifat menghina, memalukannya di dalam talian. Perbicaraan kes ini masih sedang berlangsung di mahkamah selepas pelakunya dikenal pasti.

Dalam kes saya, seseorang yang memang dikenali sebagai ‘pengacau tegar’ menggunakan identiti dan akaun yang berbeza, telah menyiarkan maklumat palsu dan fitnah mengenai beberapa individu dari tempat kerjanya sebelum ini.

Dia menyasarkan saya – menggunakan telefon bimbit dan gambar ibunya untuk membuka akaun di bawah namanya untuk menyerang saya.

Laporan polis dan MCMC dibuat, dan polis akhirnya sampai ke rumahnya untuk mengambil keterangan selepas identitinya dikenal pasti. Selepas menamatkan siasatan, polis membuat beberapa cadangan kepada pihak pendakwaan.

Saya tidak berniat untuk memanjangkan perkara itu kerana apabila dilihat dari sudut agama, nurani saya lebih terarah untuk memaafkan. Saya mendapat tahu bahawa beliau terasa hati dengan saya kerana saya berkawan dengan bekas rakan sekerjanya, yang tidak disukainya.

Setiap hari polis menerima bermacam-macam laporan membabitkan isu dalam talian, daripada penipuan (scam) kepada buli siber, dengan seluruh kehidupan mereka yang tidak berdosa musnah akibat kehilangan simpanan, dihina dan ditipu.

Jarang-jarang sekali nasib mangsa menjadi perhatian. Platform media sosial yang memperoleh wang dalam jumlah yang besar ini, tidak bertanggungjawab ke atas penderitaan rakyat biasa, tidak mempunyai pejabat atau wakil di Malaysia atau tertakluk kepada sebarang bentuk penalti.

Bagi media ini kandungan yang dibuat oleh wartawan semuanya telah diambil dan disiarkan dalam talian tanpa iklan.

Memang ia adalah satu perkara yang sihat untuk membaca dan mendengar rakyat Malaysia bertekak dan berhujah mengenai langkah kerajaan mencadangkan rangka kerja kawal selia baharu, untuk melesenkan platform media sosial yang memiliki sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar.

Peraturan yang akan mula berkuat kuasa 1 Jan 2025 itu telah mencetuskan perdebatan, walaupun kerajaan berkata ia adalah bagi memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk pengguna.

Platform seperti Meta (Facebook, Instagram, Google Chat), TikTok, Telegram dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), perlu memohon lesen daripada kerajaan.

Apa yang paling dibimbangkan berhubung langkah kerajaan ini adalah kemungkinan ia akan memberi kesan kepada kebebasan bersuara, terutama kritikan terhadap kerajaan.

Sesetengah pihak melihat peraturan ini sebagai satu ancaman dan membandingkannya dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang masih memerlukan permohonan permit untuk semua penerbitan akhbar dan majalah cetak.

Mereka berkata Malaysia mencatatkan jumlah permintaan menurunkan kandungan tertinggi di dunia pada separuh kedua 2023.

Mereka juga menekankan bahawa kedudukan Kebebasan Akhbar Dunia 2024 Malaysia telah menurun kepada tempat ke-107 berbanding 73 sebelum ini.

Apa yang amat jarang sekali diperkatakan, atau sering tidak diendahkan ialah 70 peratus daripada permintaan menurunkan kandungan adalah untuk menghentikan aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan.

MCMC menerima lebih 3,400 aduan mengenai ucapan kebencian antara 2020 dan 2023. Dalam tempoh yang sama RM3.2 bilion telah hilang akibat penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata tahun lepas sahaja kerugian yang membabitkan penipuan dalam talian menjangkau hingga lebih RM1 bilion, dan setiap hari tidak kurang daripada 10 kes buli siber dilaporkan.

Judi dalam talian juga membebankan kerajaan, dengan anggaran RM2 bilion hasil cukai ‘tiris’ setiap tahun. Ada yang berpandangan angka ini boleh mencecah hingga RM5 bilion setiap tahun.

Dari 1 Januari 2024 hingga 13 Julai 2024, data menunjukkan bahawa MCMC telah meminta 128,133 kandungan diturunkan, namun hanya 109,624 daripadanya diambil tindakan. Daripada jumlah itu 53 peratus adalah berkaitan judi dalam talian, 22 peratus melibatkan penipuan, 13 peratus adalah berita palsu, lima peratus menyentuh 3R (raja, bangsa, agama) dan lima peratus adalah gangguan.

Bagi kebanyakan mereka yang lebih banyak membaca bahan-bahan di media sosial yang menggunakan bahasa Inggeris, mungkin mereka tidak sedar bahawa banyak komen berbentuk kebencian dan perkauman dipaparkan semasa isu KK Mart mencapai kemuncaknya.

Ia termasuk hantaran oleh mereka yang tidak dikenali, menyeru supaya kaum tertentu di Malaysia dihapuskan terus apabila isu itu terus ‘mendidih’.

Kini kita ada ‘penyebar agama’ yang menyalah guna platform ini secara terbuka untuk menyokong ucapan kebencian.

Sanggupkah kita membenarkan semua ini berlaku atas nama kebebasan akhbar dengan penulis tanpa nama menyiarkan semua jenis maklumat rekaan tanpa perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka, terutama yang mencuri wang titik peluh rakyat Malaysia?

Tidak kisahlah bagi ahli politik yang ‘diserang’ dalam talian hampir setiap hari. Mereka memang seharusnya memiliki ‘muka tebal’ untuk menerima setiap tekanan atau kecaman.

Pakcik dan makcik yang sudah berumur adalah kelompok yang memerlukan perlindungan daripada ditipu kononnya mereka boleh mendapat pendapatan tambahan daripada simpanan yang sudah semakin berkurangan.

Namun ada lagi satu perkara yang juga amat membimbangkan, yakni pemangsa seksual yang menyamar sebagai kanak-kanak yang menyasarkan anak-anak bawah umur dalam talian.

Walaupun tanpa tanda-tanda khusus yang menunjukkan wujudnya unsur-unsur pedofilia, MCMC menerima banyak aduan berkaitan kandungan dalam talian yang melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Pecahan bagi kes berkaitan ini adalah seperti berikut: 77 (2021), 51 (2022), 75 (2023) dan 17 (2024, setakat 24 Julai). Jumlahnya menjangkau 220 kes sejak tiga tahun lepas.

Bagi kes penipuan jumlahnya terus meningkat: 3,449 (2021), 2,675 (2022), 4,180 (2023) dan 2,466 (2024, setakat 24 Julai). Jumlahnya ialah 12,770.

Ahli Suruhanjaya MCMC Derek Fernandez berkata langkah kerajaan itu meletakkan Malaysia sejajar dengan perkembangan global, yang menyaksikan semakin banyak langkah kawal selia dilaksanakan bagi memastikan platform ini lebih bertanggungjawab.

“Contoh-contoh trend global seumpama itu termasuk pengenalan Digital Service Act Kesatuan Eropah, yang menetapkan kewajipan bagi platform untuk mengehadkan penyebaran kandungan haram dan melarang iklan yang disasarkan kepada kanak-kanak di bawah umur, di samping pengenalan rangka kerja kawal selia yang serupa di negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai undang-undang yang kukuh, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menangani pelbagai kemudaratan dalam talian.

“Bagaimanapun platform dalam talian ini mungkin percaya bahawa undang-undang ini tidak terpakai kepada mereka dan hanya tertakluk kepada pemain tempatan.

“Kami mengawal selia platform ini untuk menegakkan prinsip kesaksamaan dalam undang-undang. Pemain industri lain seperti syarikat penyiaran, penyedia telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet, semuanya dikawal di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini.

“Melihat kepada sifat perkhidmatan yang disediakan, kesan ketara dan capaian platform ini kepada setiap aspek kehidupan pengguna Malaysia, adalah penting dan tepat pada masanya untuk ia dikawal selia di bawah Akta ini.

“Rangka kerja pelesenan yang dicadangkan itu memerlukan platform asing terbabit untuk mendaftar dengan MCMC. Selepas pendaftaran, platform ini akan bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang kita yang berkaitan, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010.

Fernandez berkata apa yang amat mengecewakan MCMC ialah ketika ini ialah platform berkenaan tidak mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang untuk mewajibkan ia mengambil langkah proaktif menangani kemudaratan dalam talian.

Beliau berkata percambahan iklan perjudian haram dan penipuan menyerlahkan kelemahan ini.

“Pada masa ini, platform asing terbabit tidak diberi insentif yang mencukupi untuk meningkatkan operasi mereka dalam memerangi isu ini, kerana tiada keperluan undang-undang yang memaksa mereka berbuat demikian,” katanya.

Mana-mana syarikat yang ingin beroperasi di Malaysia mesti mematuhi undang-undang tempatan kita, mengapa perlu ada sebarang pengecualian?

Kebimbangan untuk mengawal selia penyedia teknologi ini muncul semata-mata kerana pergantungan kita terhadap penyediaan perkhidmatan mereka, dan langkah kerajaan agak keberatan untuk membuat keputusan yang tidak popular. Bernama

Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai yang memulakan karier sebagai wartawan sejak lebih 40 tahun lepas, kini adalah Pengerusi BERNAMA

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Presiden NGO kutip dana Palestin ditangkap khalwat

70,000 kondom tak cukup, Olimpik jadi gelanggang lampias nafsu

Rider lelaki digoda pelanggan

Ini cara jurulatih ajar pemain bola sepak wanita?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker