Politik kita dah tak rasional sejak dari dalam rumah – Habsah Hassan

Politik kita dah tak rasional sejak dari dalam rumah – Habsah Hassan

Sikap sesetengah ibu bapa – sama ada sengaja atau tidak – menyemai bibit kebencian dan perkauman di rumah mungkin menyumbang kepada kebobrokan politik hari ini.

Sebab itu bagi penulis lirik terkenal, Habsah Hassan, sifir politik hari ini bukan lagi bersifat rasional sebaliknya cacamarba.

“Kita semakin hilang pertimbangan kerana mengikut hati dan nafsu.

“Salah siapa? Salah sesetengah mak dan ayah di rumah yang menyemai bibit-bibit kebencian perkauman… dia begitu, kita pun begitu,” katanya kepada Malaysiakini dalam temu bual baru-baru ini.

Tambah Habsah, 74, sikap segelintir ‘orang lama’ juga menyebabkan generasi baru tidak berminat atau enggan mengambil tahu isu-isu negara, agama dan politik.

Keadaan itu, katanya, mendorong kebanyakan orang hanya memikirkan hal-hal seputar diri sendiri dan lingkungan terdekatnya saja.

“Semua bertindak bagai enau dalam belukar… menyedihkan,” katanya.

Terdahulu Habsah – yang mengaku pernah berminat dengan politik suatu ketika dulu sebelum keadaan memburuk dan menghilangkan ‘seleranya’ – ditanya mengenai persaingan sengit politik negara.

Antaranya insiden sekumpulan ahli parlimen membacakan Qunut Nazilah dalam Dewan Rakyat kerana kecewa dengan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Mendengar soalan mengenai insiden itu, Habsah terus menggelengkan kepalanya.

Semua orang terkesan

Jelas Habsah, umat Islam mesti mencontohi amalan dan sifat Rasulullah SAW yang tetap menyantuni semua orang termasuk musuh yang mengutuk baginda setiap hari.

“Ke mana perginya ilmu kita? Saya bukanlah warak atau alim sangat, bukan bijak tetapi tidaklah terlalu jahil.

“Sebenci-benci kita, semarah-marah kita kepada musuh politik, sebagai orang Islam jangan disakiti saudara seagama dan ia sudah ditunjukkan oleh Rasulullah dulu.

“Bagaimana kita tergamak mendoakan kehancuran kepada saudara seislam. Kalau kesan doa itu berbalik kepada kita, macam mana?” soalnya.

Insiden membaca Qunut Nazilah itu berlaku pada 18 Julai lalu dan dianggap Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, sebagai amalan ekstremis dan pelampau.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa bacaan doa diketuai Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail, itu ditujukan kepada penyokong genocide seperti BlackRock.

Mengulas lanjut, Habsah berkata, mungkin ada yang tidak sedar bahawa jika kehancuran benar-benar berlaku ke atas kerajaan, impaknya sudah pasti dirasai oleh semua dan bukan sekadar lawan politik pihak terbabit.

“Kita juga pasti akan terkesan. Kita baru naik setangga, keadaan ekonomi baru nak pulih. Tentulah kita tidak boleh harapkan perubahan 180 darjah dalam waktu yang singkat.

“Saya pun tidak faham,” katanya.

Menurut Habsah, pihak yang menggalas tanggungjawab sebagai kerajaan juga wajar berhempas-pulas untuk meyakinkan pengikut masing-masing bahawa undi yang diberikan dalam PRU lalu adalah berbaloi.

Katanya masyarakat perlu yakin bahawa mereka tidak tersilap memangkah sehingga membolehkan kerajaan dibentuk secara bertanggungjawab.

Pada masa sama Habsah berkata, kerajaan ada tempoh kira-kira tiga tahun lagi untuk melakukan perubahan serta memikirkan yang terbaik untuk kepentingan rakyat.

“Kita ada lagi tiga tahun sebelum pilihan raya umum. Sebab itu kerajaan harus all out bekerja untuk yakinkan semua orang bahawa mereka boleh dipercayai untuk mewakili rakyat lagi pada masa depan,” katanya. Mk

Politik kita dah tak rasional sejak dari dalam rumah – Habsah Hassan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Video call’ Malaikat Maut, Mama Ghufron mohon maaf

Ugutan rogol, Diana Danielle lapor polis

Digelar ahli neraka

Ruhainies nafi diboikot, terima banyak tawaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker