Maghrib terakhir Shahrul Huzaimi
Maghrib terakhir Shahrul Huzaimi
PASIR MAS: Muhammad Shahrul Huzaimi Mohd Azman, 17, yang maut bersama seorang lagi remaja lelaki dalam nahas tiga motosikal di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, tengah malam tadi, sempat menunaikan solat Maghrib di rumah sebelum keluar berjumpa rakan-rakan.
Bapanya, Mohd Azman Ariffin, 48, memaklumkan mereka juga sempat makan malam bersama sebelum anak ketiga daripada lima beradik itu meminta kebenaran ibunya, Rosmalina Ahmad, 45, untuk keluar.
“Kami makan bersama malam tadi sebelum dia minta kebenaran isteri saya untuk keluar melepak dengan kawan-kawan. Dia juga sempat menunaikan solat Maghrib sebelum keluar,” katanya ketika ditemui di luar Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), hari ini.
Dalam nahas kira-kira jam 12 tengah malam tadi, Muhammad Shahrul Huzaimi dan Muhammad Aliff Haikal Abd Rahman, 17, dilaporkan meninggal di lokasi, manakala Bilal Alif Faizal,19, parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HPRZ) II, Kota Bharu.
Mohd Azman berkata, dia sedang nyenyak tidur apabila seorang rakan anaknya itu datang ke rumah dan memberitahu apa yang berlaku.
“Ingatkan hanya kemalangan biasa sehinggalah kawan arwah beritahu anak saya mungkin sudah meninggal di lokasi kejadian. Saya ke lokasi tetapi anak sudah dibawa ke hospital.
“Dalam perjalanan ke hospital, saya diberitahu dia sudah tidak bernyawa lagi. Luluh hati memikirkan apa yang berlaku, tapi saya kuatkan diri untuk ke hospital. Agak terkilan kerana sejujurnya kami tidak begitu rapat.
“Saya agak tegas dengannya, jadi arwah lebih selesa berkongsi apa saja dengan ibunya,” katanya menyifatkan Allahyarham sangat rajin, malah jika ada masa terluang akan bekerja sambilan di kampung untuk mencari duit poket.
Dia berkata, isterinya dan adik beradik arwah sangat terkesan kerana mereka rapat dan pasti merindui kerenah arwah yang suka bergurau.
“Saya reda dengan apa yang terjadi,” katanya dan memaklumkan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Petaling di Meranti.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, mengesahkan setakat ini, dua dilaporkan maut, manakala seorang lagi parah dan polis masih menyiasat kemalangan berkenaan, termasuk punca kejadian.
‘Kami kawan baik sejak umur 7 tahun… perit melihat dia pergi di depan mata’
“Saya hanya mampu menangis apabila sampai di lokasi kejadian apabila melihat dua rakan baik terbaring kaku dalam keadaan cedera parah,” kata Muhamad Farihan Haikal Mohd Rasdi, 17.
Muhamad Farihan Haikal adalah sahabat kepada Muhammad Shahrul Huzaimi Mohd Azman serta Muhammad Aliff Haikal Abd Rahman, masing-masing berusia 17 tahun yang maut akibat kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
Dalam keadaan sebak, Muhammad Farihan Haikal berkata, dia sempat mengajar Muhammad Aliff Haikal mengucap sebelum rakannya itu menghembuskan nafas terakhir, manakala Muhammad Shahrul Huzaimi pula dilihat sudah tidak sedarkan diri ketika itu.
“Sebelum itu, kami berkumpul kira-kira jam 9 malam di Dataran Baru Pasir Mas yang jaraknya hampir enam kilometer (km) dari lokasi kemalangan.
“Namun, mereka berdua termasuk seorang lagi rakan, Bilal Alif Faizal, 19, kemudian memberitahu mahu bergerak dahulu dengan menunggang motosikal masing-masing. Tidak lama kemudian, saya diberitahu rakan lain bahawa mereka bertiga kemalangan sebelum terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya terkejut melihat keadaan mereka yang parah sebelum Muhammad Shahrul Huzaimi dan Muhammad Aliff Haikal disahkan meninggal dunia, manakala Bilal dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kejadian begitu pantas, padahal kami baru saja berkumpul dan berborak tetapi saya perasan dua kawan saya yang meninggal dunia itu agak diam, malam tadi, tidak seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Pasir Mas (HPM), di sini, hari ini.
Muhammad Farihan Haikal mengaku mereka bertiga sangat akrab dan berkumpul bersama-sama hampir setiap hari, tambahan pula adalah rakan sekelas di sekolah.
“Malah, Muhammad Aliff Haikal adalah kawan baik saya sejak berusia tujuh tahun lagi. Melihat dia pergi di depan mata adalah pengalaman yang memeritkan buat saya. Pastinya, saya akan merindui kenangan bersama mereka berdua.
“Kali terakhir berjumpa, Muhammad Aliff Haikal ada memberitahu saya bahawa dia sudah mahu pergi, namun tidak dijelaskan ke mana. Saya tidak sangka ia adalah petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Saya berdoa semoga Bilal yang kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, akan selamat. Apa yang menimpa semua sahabat saya ini akan dijadikan pengajaran agar lebih berhati-hati ketika di jalan raya,” katanya. BH
Maghrib terakhir Shahrul Huzaimi
Baca Artikel Menarik:
- Aliff Teega dan isteri ditegur peguam kerana cerita pengalaman ditahan reman SPRM
- ‘Syukur kepadaMu ya Allah, keadilan terhadap anak saya kini terbela’
- Ini jenayah kejam paling jarang ditemui – Hakim
- Adira, Datuk Red nak kahwin semula pulak dah
- Hukuman 6 bekas penuntut UPNM ditukar kepada gantung sampai mati
- Noor Ismarina, biker berpurdah
- Tiduri Kajol, ini kata SRK
- Nelydia Senrose buka tudung pulak dah
- Albertine Leo ditemui selamat di Batang Kali
- Kamala Haris, Emhoff bakal pasangan Yahudi pertama di White House?
- ‘Jamuan Hantu’ di tanah perkuburan cetus ketakutan penduduk
- Mengapa penajaan syarikat arak untuk sekolah Cina menjadi isu – MCA
- Biawak gergasi dalam atas siling rumah buat penghuni terkejut
- Curang dengan lelaki lain, suami langgar kereta isteri
- Mana mungkin saya mahu berkomplot khianati parti – Nizar Najib
Layari Laman Facebook MYKMU.NET