Buruan emas Olimpik pertama Malaysia di bermula hari ini

Buruan emas Olimpik pertama Malaysia di bermula hari ini

PARIS: Misi Malaysia untuk menamatkan penantian hampir tujuh dekad bagi pingat emas Olimpik pertama akan bermula hari ini apabila pertandingan memanah dimulakan, sehari sebelum upacara pembukaan temasya Olimpik Paris 2024, awal pagi Sabtu ini.

Selepas bertahun-tahun perancangan dan persiapan rapi, penganjur bersedia untuk menganjurkan Paris 2024 dengan penuh tenaga bagi menyambut kira-kira 10,500 atlet dan buat pertama kalinya majlis pembukaan diadakan di luar stadium dengan menyaksikan atlet menyusuri Sungai Seine dengan menaiki bot dan tongkang.

Bagi Malaysia, persoalan besar adalah sama ada kontinjen negara yang terdiri daripada 26 atlet dengan majoriti (61.5 peratus) adalah penyertaan sulung mampu meraih pingat emas.

Malaysia memenangi sejumlah lapan pingat perak dan lima gangsa pada temasya Olimpik dengan badminton menyumbang sebahagian besar iaitu enam perak dan tiga gangsa.

Di atas kertas, acara berbasikal trek dan badminton dilihat sebagai taruhan terbaik untuk pingat emas pertama, yang sudah lama diidamkan sejak negara membuat penampilan sulung (sebagai Malaya) 68 tahun lalu pada edisi Melbourne 1956.

Dalam acara badminton di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 5 Ogos, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia mempunyai peluang terbaik untuk meraih pingat.

Selain itu pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga boleh menjadi pakej kejutan di podium.

Selepas muncul juara dunia pertama negara pada 2022 dan memperoleh gangsa di Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik kelihatan mampu menunjukkan persembahan mantap sekali lagi tetapi mesti mengekalkan usaha berani dan prestasi konsisten untuk mencapai status Terbaik Sepanjang Zaman (GOAT) dengan gelaran Olimpik.

Pasangan nombor lima dunia itu perlu terlebih dahulu memastikan kedudukan dua teratas dalam Kumpulan A berdepan beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy (Britain) dan Adam Dong-Nyl Yakura (Kanada) untuk mara ke suku akhir dan terus bersaing untuk merebut pingat.

Bagi pemain nombor tujuh dunia, Zii Jia, yang mempamerkan prestasi cemerlang menjelang Olimpik dengan memenangi gelaran Terbuka Thailand dan Australia, kini tiba masanya untuk memenuhi status pemain utama negara di sebalik beberapa penampilan yang tidak konsisten selama ini.

Namun, keputusan dalam siri Jelajah Dunia BWF tidak menggambarkan situasi sebenar kerana ramai pemain akan mencapai puncak prestasi mereka pada Olimpik sambil cuba mengelakkan kecederaan menjelang acara sukan terbesar dunia itu.

Zii Jia disingkirkan oleh pemain China, Chen Long, pada pusingan 16 terakhir di Tokyo.

Zii Jia, juara Seluruh England 2021, dijangka akan melayakkan diri dengan mudah dari Kumpulan G menentang Pablo Abian dari Sepanyol dan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka, tetapi ujian sebenar menanti pada pusingan 16 terakhir menentang Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia.

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka akan berdepan dengan pemain seperti Anders Antonsen dari Denmark pada suku akhir, Shi Yu Qi dari China yang merupakan pemain nombor satu dunia pada separuh akhir dan mungkin bertemu juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark dalam perlawanan penentuan pingat emas.

Pasangan tampil kali pertama Tang Jie-Ee Wei, yang berada dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping, Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat, dan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura akan mengharapkan pengalaman jurulatih Nova Widianto.

Nova memenangi pingat perak Olimpik Beijing 2008 dan dua kejuaraan dunia.

Sementara itu, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah berdepan laluan sukar di pusingan awal apabila menentang pasangan nombor satu dunia Chen Qingchen-Jia Yifan dari China untuk saingan peringkat kumpulan A selain Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (Jepun) dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia).

Datuk Azizulhasni Awang, juara dunia keirin 2017, adalah antara yang diharapkan untuk mencatat kejayaan bersejarah dalam penampilan Olimpik kelima dan terakhirnya dari 5 hingga 11 Ogos di Velodrom Nasional di St Quentin-en-Yvelines, kira-kira 40 kilometer dari kota Paris.

Selepas penampilan sulungnya pada Beijing 2008, pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu muncul atlet pertama negara memenangi pingat dalam sukan berbasikal trek Olimpik dengan merangkul gangsa dalam acara keirin di Rio 2016.

Atlet berusia 36 tahun itu hampir meraih emas pada Tokyo 2020 yang tertunda akibat pandemik COVID-19, namun kesilapan taktikal menyebabkan pelumba Britain, Jason Kenny melakukan pecahan solo dari kumpulan utama menyebabkan Azizul terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Selain perlu berada dalam keadaan fizikal terbaik, Azizul perlu berhati-hati dengan taktik lawannya dan kondisi kesihatannya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

Harapan juga tinggi buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk keluar daripada bayang-bayang Azizul dan menjadi ‘kuda hitam’ untuk meraih tempat di podium manakala pelumba kali pertama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dijangka menimba pengalaman dan menjadi pesaing pingat di Sukan Los Angeles 2028.

Berdasarkan prestasi dalam dua tahun kebelakangan ini, Harrie Lavreysen dari Belanda, yang memenangi 13 pingat emas di Kejohanan Dunia, Matthew Richardson (Australia), Nicolas Paul (Trinidad dan Tobago), Kevin Quintero (Colombia) serta dua pelumba Jepun, Ota Kaiya dan Shinji Nakano adalah antara pesaing utama untuk podium dalam acara pecut dan keirin di Paris 2024.

Dalam pada itu, trio memanah wanita negara, yang diketuai Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, 19, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh, dijadualkan beraksi pada pusingan ranking individu petang ini dan mesti kekal fokus sepenuhnya serta tenang berdepan kuasa besar seperti Korea Selatan, China dan Mexico untuk mencapai rekod peribadi baharu mereka.

Skuad terjun, yang menyumbang gangsa dalam acara 10m platform wanita menerusi Datuk Pandelela Rinong di London 2012 dan perak dalam acara platform seirama melalui Pandelela-Cheong Jun Hoong di Rio 2016, mungkin pulang tanpa pingat, sama seperti di Tokyo.

Nur Dhabitah Sabri yang menghuni tangga keempat dalam acara 3m papan anjal wanita pada edisi sebelum ini mungkin boleh mencabar untuk pingat namun berdasarkan prestasi semasanya, dia kelihatan jauh daripada prestasi terbaik manakala penerjun kali pertama Bertrand Rhodict Lises berharap untuk meraih tiket ke final acara 10m platform individu lelaki.

Selain itu, penembak Johnathan Wong (10m air pistol) dan atlet angkat berat Muhammad Aniq Kasdan (61kg) diharapkan dapat melepasi peringkat kelayakan dan jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi pula akan mencuba mencatat masa di bawah 10 saat dengan memperbaharui rekod kebangsaan 10.09s dalam acara riben biru.

Atlet Malaysia lain yang akan beraksi termasuk badminton perseorangan wanita Goh Jin Wei, pelumba basikal Nur Aisyah Mohamad Zubir (lebuh raya), pemain golf Gavin Green dan Ashley Lau, pelayar Khairulnizam Mohd Affendy (ILCA 7 dinghy) dan Nur Shazrin Mohamad Latif (ILCA 6 dinghy) serta perenang Khiew Hoe Yan (400m gaya bebas lelaki) dan Tan Ruoxin (100m kuak dada wanita).

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ramalan, marilah kita berdoa semua atlet Malaysia berjaya melangkah jauh sekali gus menanti pemenang pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik.

Lagipun keajaiban sering berlaku pada temasya Sukan Olimpik. BH

Buruan emas Olimpik pertama Malaysia di bermula hari ini

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Video call’ Malaikat Maut, Mama Ghufron mohon maaf

Ugutan rogol, Diana Danielle lapor polis

Digelar ahli neraka

Ruhainies nafi diboikot, terima banyak tawaran

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker