Sikap terbuka komuniti Islam mendorong Cornelius McAfee memeluk Islam

Sikap terbuka komuniti Islam mendorong Cornelius McAfee memeluk Islam

Kehidupannya di kota kelahiran Toronto Kanada yang kebanyakan komunitinya berpegang kuat kepada agama membuatkan dia terikut dengan fahaman masyarakat setempat. Sementalah ibu dan ayahnya juga pengikut ajaran Katolik yang taat.

Justeru tidak hairanlah sejak kecil Cornelius McAfee atau nama Islamnya kini, Cornelius Anuar Abdullah McAfee dididik dengan pegangan agama yang teguh. Tika menginjak usia, dia dihantar belajar mendalami agama di sekolah Katolik berhampiran rumahnya.

Sementara di sekolah Anuar aktif dalam persatuan agama. Hampir setiap hari dia mengunjungi gereja yang terletak dalam kawasan sekolah.

Anak kepada pasangan Kyra McAfee berbangsa Amerika dan Cornelius McAfee (Scot) ini turut dijemput sekiranya ada aktiviti keagamaan yang melibatkan masyarakat setempat. Apabila tamat sekolah menengah, pendedahan tentang kepelbagaian agama melalui pembacaan semakin meluas.

Semakin itu, banyak pula persoalan berkaitan agama yang dianuti selama ini menerjah fikiran. Akhirnya penglibatan Anuar dalam aktiviti keagamaan juga semakin berkurang. Anak ketiga daripada empat bersaudara ini berkata,

“Ketika di Toronto saya tidak mendapat pendedahan tentang agama lain. Apabila melanjutkan pelajaran ke universiti barulah saya bercampur dengan pelajar berbilang bangsa. Dan dari situlah saya tahu kewujudan agama lain seperti Islam, Yahudi, Hindu dan Budha.

“Di universiti saya banyak membaca tentang negara lain yang mempunyai kepelbagaian budaya, cara hidup dan agama” ujarnya yang ketika itu mengikuti pengajian Falsafah dan Sains Politik di Universiti Carleton Ottawa Kanada.

Anuar menjelaskan, pada masa itu media tempatan kerap memberikan imej yang buruk terhadap Islam. Ia sering digambarkan sebagai agama yang ganas. Sehinggalah dia bertemu dengan seorang wanita Pakistan dan menceritakan tentang agama tersebut.

“Pada mulanya saya ingatkan Islam sama seperti Hindu dan Budha kerana ia di luar kotak fikiran saya. Apabila membaca tentangnya, saya dapati agama ini sangat menarik dan jauh berbeza daripada apa yang dipaparkan di media.

“Ia mendorong saya untuk pergi ke masjid berhampiran kampus yang sebelum ini adalah sebuah gereja dan kemudian dibeli oleh pertubuhan Islam. Saya mengikuti kelas agama yang diadakan di situ secara tidak formal. Saya dapati ia sangat menarik.” Jelas Anuar.

Menurutnya, Islam di Kanada berkembang begitu pesat dari semasa ke semasa sehingga solat Aidilfitri terpaksa diadakan di dewan yang lebih luas, bukannya di masjid kerana ruang yang terhad. Manakala solat Jumaat pula diadakan dua sesi secara bergilir-gilir disebabkan oleh jumlah jemaah yang ramai.

Bagaimanapun hal sebaliknya berlaku kepada agama Kristian. Dia melihat pegangan agama di kalangan anak-anak muda setempat semakin berkurangan walaupun ibu bapa mereka masih taat seperti dahulu.

Suasanya berbeza dengan sekitar tahun 1970-an dan 1980-an di mana masyarakat daerah kelahirannya begitu kuat berpegang pada agama (Kristian) sehingga acara keagamaan pada hari-hari tertentu terpaksa dilakukan sebanyak dua sesi kerana orang terlalu ramai.

Sedangkan gereja hanya mampu menampung seribu orang dalam satu-satu masa. Manakala pada hari Ahad pula ada tiga sesi (termasuk hari Sabtu malam Ahad). Sementara pada hari-hari biasa cuma satu sesi.

Komuniti Islam bersikap terbuka

Kebanyakkan komuniti Islam di Ottawa adalah imigran mangsa perang dari Somalia yang hidup susah dan hanya mampu menyewa bilik yang diduduki bersama keluarga, tetapi mereka sangat baik dan ikhlas berkawan tanpa sebarang kepentingan.

Sebenarnya sewaktu di negara asal mereka berpelajaran tinggi. Ada yang bekerja sebagai doktor, peguam dan sebagainya. Akan tetapi di Kanada ada yang hanya bekerja sebagai pemandu teksi.

Setelah enam bulan berulang alik ke masjid, Anuar mengambil keputusan untuk menjadikan agama Islam sebagai anutannya walaupun telah mengenali agama tersebut selama hampir lima tahun.

Dia menjelaskan, “Di sana, setiap bulan masjid akan mengadakan hari terbuka. Pada hari tersebut sesiapa pun boleh bertanya apa sahaja soalan. Komuniti Islam yang berfikiran terbuka membolehkan sesiapa sahaja mengunjungi masjid. Walaupun ada yang datang dengan pakaian kurang sesuai seperti memakai skirt semasa kunjungan pertama, mereka dilayan dengan baik.

“Ini mendorong pengunjung yang mengunjungi masjid buat kali seterusnya berpakaian lebih sesuai. Pengalaman saya sendiri diajak menunaikan solat bersama walaupun hanya sekadar mengikuti pergerakan mereka setelah beberapa bulan berulang alik ke masjid. Sedangkan ketika itu saya masih belum beragama Islam.” Ujarnya lagi.

Sambungnya, “Pertama kali melihat umat Islam menunaikan solat, saya begitu tertarik. Ketika solat mereka kelihatan seolah-olah terpisah dengan dunia luar dan lupa pada keadaan sekeliling. Penglibatan mereka dengan agama yang dianuti nampak begitu ketara.

“Dari luar mereka kelihatan sangat serius. Tetapi sebenarnya mereka begitu memberikan tumpuan kepada ibadah sehingga pada waktu itu kelihatan seolah-olah sedang berbicara dengan Allah. Begitu juga dengan cara mereka membaca dan menghormati al-Quran sebagai kitab suci dengan disiplin tertentu.

“Ia amat berbeza dengan cara memegang kitab Injil, malah boleh diletakkan sesuka hati.” Tambah Anuar yang juga anak lelaki tunggal dalam keluarga.

“Daripada segi bahasa, al-Quran tidak pernah berubah dari dahulu hingga kini. Sesiapa yang ingin membaca al-Quran harus belajar bahasa Arab, walaupun dari segi terjemahan mereka boleh menterjemah mengikut bahasa masing-masing.” Tambahnya.

Dari situ dia melihat Islam sebagai agama yang kekal dan tidak berubah. Selain itu, ibadat puasa juga menggamit jiwanya dan mengagumi keistimewaan agama ini. Disamping ia adalah syarat penting bagi melengkapkan rukun Islam.

“Dalam Kristian, penganutnya juga berpuasa, tetapi mereka boleh memilih apa sahaja makanan yang paling disukai dan ketika berpuasa mesti meninggalkannya selama sebulan. Ini jauh berbeza dengan ibadat puasa dalam Islam, di mana kita harus berlapar dalam waktu tertentu selama sebulan.

“Ibadatnya lebih mendalam. Puasa juga mengeratkan hubungan kekeluargaan terutama ketika berbuka dan bersahur. Ini membuatkan umatnya lebih rapat dan kuat.” Katanya.

Penerimaan Keluarga

Sambung Anuar lagi, “Saya bertuah kerana tidak mendapat tentangan dari keluarga. Apabila ibu mengetahui berita pengislaman saya, dia pergi ke masjid yang terletak berhampiran daerah kami. Dan pihak masjid banyak membantu memberi penjelasan yang lebih tepat.

“Mereka menerima kehadiran ibu saya dengan senang hati. Mereka sedar bukan senang seorang ibu dapat menerima apa yang berlaku kepada anaknya” kata Anuar sambil menceritakan ibunya juga pernah belajar berpuasa ketika dia datang menziarahi mereka sekeluarga.

Selepas dua tahun memeluk Islam, Anuar kemudian berhijrah ke Malaysia setelah berkahwin dengan gadis Terengganu dan bertugas sebagai Pensyarah Bahasa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA).

Bagi Anuar, Islam agama yang mudah dan indah. Namun apa yang dikesalkannya, masih ramai umat Islam yang berfikiran kurang terbuka dalam perkara-perkara tertentu. Contohnya masih ramai yang berpandangan sinis atau menjatuhkan hukum tertentu apabila orang yang beragama lain atau berlainan warna kulit berkunjung ke surau atau masjid.

Baginya lagi, andai tidak diberi peluang kepada orang lain untuk melihat keindahan Islam, sampai bila-bila pun mereka tidak faham. Apatah lagi untuk melihat keindahannya. Wallahu a’lam Utv

Sikap terbuka komuniti Islam mendorong Cornelius McAfee memeluk Islam

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Video call’ Malaikat Maut, Mama Ghufron mohon maaf

Ugutan rogol, Diana Danielle lapor polis

Digelar ahli neraka

Ruhainies nafi diboikot, terima banyak tawaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker