PROTON kedua terlaris dalam carta bulan lalu

Proton X50 yang bakal diperkenalkan.

PROTON kedua terlaris dalam carta bulan lalu

Pengeluar kereta nasional, PROTON menjual 10,999 unit di pasaran domestik dan eksport pada bulan Jun untuk mengekalkan kedudukan kedua dalam carta jualan automotif tempatan.

Jumlah jualan untuk bulan itu terganggu akibat penutupan kilang selama seminggu yang dirancang untuk peningkatan operasi berjadual.

Namun secara keseluruhan, syarikat mencapai pegangan pasaran sebanyak 19.1 peratus untuk bulan lalu, sama dengan angka pegangan pasaran setakat tahun ini, menyaksikan separuh tahun 2024 ditutup pada 73,696 unit.



Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk bulan itu dijangka terendah untuk mana-mana bulan tahun ini, dengan sebanyak 57,700 unit dianggarkan terjual bulan lalu, lebih rendah daripada April yang sebelum ini digelar sebagai bulan terendah akibat cuti perayaan yang panjang.

Walau bagaimanapun, angka TIV untuk enam bulan pertama tahun 2024 dianggarkan 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih daripada tempoh yang sama pada tahun 2023 ketika TIV mencapai rekod tertinggi yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata enam bulan pertama tahun 2024 adalah tempoh konsolidasi bagi PROTON kerana syarikat melabur dalam langkah-langkah strategik yang akan memanfaatkan masa depannya.

“Jadi, walaupun penutupan kilang memberi kesan jangka pendek terhadap jumlah jualan kami, kecekapan yang diperoleh hasil daripada kerja yang dilakukan akan membantu kami mengejar volum pada separuh kedua tahun ini.



“Kami juga gembira melihat pelancaran Proton X50 2024 baharu telah disambut dengan permintaan yang kukuh daripada pasaran. Model ini tetap menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang mencari kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dan kami mengharapkan reaksi yang sama dari pasaran apabila kami mengumumkan Proton X70 2025 yang mengalami pembaharuan besar.

“Dengan model baharu smart bakal dilancarkan tidak lama lagi selain ketibaan model kenderaan elektrik (EV) pertama daripada e.MAS, pasaran boleh menjangkakan lebih banyak perkembangan positif daripada PROTON untuk separuh kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jun merupakan bulan yang sibuk bagi PROTON selepas syarikat memberi tumpuan kepada langkah-langkah strategik yang akan memberikan hasil untuk jangka pendek dan panjang.

Selain melancarkan jenama EV e.MAS, PROTON juga meraikan pelancaran kenderaan kelima juta dari barisan pengeluarannya dan melancarkan Proton X50 baharu, model SUV paling popular syarikat.



Hasilnya adalah peningkatan serta-merta dalam volum jualan Proton X50 dimana ia kembali ke tangga teratas kelas SUV segmen B dengan 1,711 unit terjual, prestasi yang terbaik selama tiga bulan.

Jumlah pengeluaran kenderaan dijangka akan meningkat selepas peningkatan operasi berjadual dan oleh itu, volum jualan juga dijangka akan melonjak pada bulan-bulan akan datang.

Satu lagi model yang menjadi peneraju segmennya adalah Proton S70, yang telah mendahului jualan sedan segmen C setiap bulan pada tahun 2024.

Sebanyak 1,440 unit dijual pada bulan Jun untuk model yang menarik perhatian pembeli di sudut pasaran baharu bagi PROTON.



Proton Saga yang sentiasa popular mencatatkan jualan sebanyak 5,441 unit pada bulan Jun, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 34,838 unit.

Secara purata, lebih daripada 5,800 unit telah dijual setiap bulan, menjadikannya salah satu kenderaan yang terlaris di negara ini.

Lebih banyak kejayaan dicatatkan oleh Proton Persona apabila jualan 1,309 unit pada bulan Jun memadai untuk menduduki tempat kedua teratas untuk bulan terbabit dan mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan segmen B yang kedua terlaris tahun ini.

Bagi model-model yang lain, Proton X70 dan Proton X90 mencapai jualan sebanyak 481 unit dan 248 unit.



X70 akan menerima kemas kini menyeluruh pada akhir tahun ini, manakala X90 semakin membina pengikut yang

kukuh dalam pasaran SUV tujuh tempat duduk.

Sementara itu, Proton Iriz menamatkan bulan Jun dengan 369 unit terjual, menduduki tempat keempat dalam kategori ‘hatchback’ segmen B. BH

PROTON kedua terlaris dalam carta bulan lalu



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pelawak, isteri direman, bantu siasatan kes sebar maklumat dalaman polis

Waran tangkap saya tidak masuk akal – Norjuma

Fazura akhirnya bersuara mengenai rumahtangganya

Candat sotong tepi highway Guthrie (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker