Mari kita lihat siapa yang kena

Mari kita lihat siapa yang kena

Oleh Hishamuddin Aun

Ramai terus bercanggah pendapat mengenai kesan daripada tindakan tujuh wakil rakyat Bersatu ingkar surat arahan nyatakan kesetiaan kepada parti.



Adakalanya kontroversial, Wong Chin Huat dikenali tidak berselindung dalam mengutarakan pendapatnya. Gemar melawan arus dan berpendirian berlawanan dengan yang ramai, ia membuat tafsirannya sering ditagih. Cakap-cakapnya pula sentiasa berlandaskan fakta sehingga mereka yang tidak sehaluan ternanti-nanti untuk lontaran idea atau pandangannya dibuktikan silap.

Tidak berbeza dalam isu berkaitan enam Ahli Parlimen Bersatu yang kekal menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Chin Huat, sainstis politik dari Universiti Sunway, memberi hujahnya bahawa mereka serta seorang Adun di Selangor yang menyokong Menteri Besar Amirudin Shari ‘terhenti’ daripada menjadi ahli Bersatu dan perlu mengosongkan kerusi sebagai wakil rakyat.

“Bersatu telah mengarahkan ketujuh-tujuhnya menarik balik sokongan kepada perdana menteri dan menteri besar tapi mereka ingkar kepada arahan majlis pimpinan tertinggi parti. Lantaran itu mereka perlu mengosongkan kerusi masing-masing,” katanya.

PRK, kata Chin Huat lagi, bagaimanapun hanya akan diadakan di empat kawasan Parlimen – Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid), Labuan (Suhaili Abdul Rahman), Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal) dan Tanjong Karang (Zulkafperi Hanapi) – dan DUN Selat Kelang (Abdul Rashid Asari) kerana kerusi berkenaan sebelumnya ditandingi atas simbol Perikatan Nasional (PN) manakala dua kerusi Parlimen lagi – Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim) dan Jeli (Zahari Kechik) atas tiket PAS.



“Mereka (empat Ahli Parlimen dan seorang Adun) dipilih sebagai ahli PN mengikut Artikel 49A(1). Oleh kerana keahlian PN mereka datangnya dari Bersatu, mereka kini terhenti daripada menjadi ahli. Speaker (Dewan Rakyat dan DUN Selangor) hendaklah menulis kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengenai kekosongan kerusi berkenaan dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis daripada Bersatu,” kata Chin Huat yang menambah bahawa Azizi dan Zahari – yang tidak dipilih ke Dewan Rakyat sebagai ahli Bersatu atau PAS — kini adalah wakil rakyat bebas.

Kita faham pandangan Chin Huat itu didasarkan kepada arahan khas itu dikeluarkan selepas pindaan perlembagaan parti diluluskan dan mengikat setiap ahli. Keadaan ini berlawanan dengan pendirian tujuh wakil rakyat terbabit sebelum ini bahawa mereka tidak terkesan kerana sokongan kepada
kerajaan perpaduan dibuat sebelum perlembagaan parti itu dipinda.

Ahad lalu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata parti itu akan memaklumkan kepada Speaker Johari Abdul dalam sidang Dewan Rakyat bermula 24 Jun ini mengenai enam wakil rakyatnya yang dilucutkan keahlian mereka. Ini selepas enam Ahli Parlimen itu enggan mematuhi arahan supaya menyatakan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari selepas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mengeluarkan arahan khas kepada mereka pada 17 Mei.

Sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk untuk membincangkan respons daripada wakil rakyat berkenaan dilaporkan memaklumkan Jumaat lalu bahawa surat jawapan mereka tidak memuaskan parti itu.



“Ada tertulis dalam perlembagaan (parti) bahawa mereka perlu dilucutkan keahlian (jika mereka tidak mengembalikan surat arahan khusus MPT yang sudah ditandatangani sebagai ikrar taat setia). Ia sama seperti perlembagaan Umno dan DAP…keahlian mereka secara automatik akan dilucutkan,” kata Wan Fayhsal.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keengganan untuk akur arahan MPT akan menyebabkan status keahlian mereka terhenti secara automatik berdasarkan Perkara 10.4 Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk berkuat kuasa 1 April lalu. Kata Muhyiddin – meski ini boleh dipertikaikan — ia menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai antilompat parti.

Apa kata wakil rakyat berkenaan?

Azizi yang bercakap bagi pihak kumpulan itu berkata mereka tidak menandatangani ikrar setia kepada parti – menyokong dasarnya dan tidak menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar – sebelum 31 Mei kerana menunggu jawapan kepada pertanyaan mereka mengenai kesahihan notis yang diberikan.



“Saya tidak membalas surat mereka kerana saya tidak perlu balas,” kata Suhaili pula sebagai lanjutan kepada reaksinya pada 19 Mei bahawa beliau tidak akan menjawab kerana keahliannya dalam Bersatu telah ditarik balik. “Saya tidak keluar parti. Apa yang kami mahu ialah peruntukan daripada kerajaan untuk kawasan kami. Kami tidak pernah bertukar parti. Kami hanya menyokong kerajaan semasa. Bagaimana ini salah?” katanya.

Apa pula kata pemerhati? Rata-ratanya berpendapat langkah Bersatu memecat wakil rakyatnya yang berpaling tadah tidak akan mencetuskan PRK. Pada ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Syaza Shukri, enam Ahli Parlimen dan seorang Adun itu akan kekal sebagai wakil rakyat bebas selepas dilucutkan keahlian oleh Bersatu dan hanya parti itu yang kehilangan tujuh wakil rakyatnya – sekali gus mengurangkan kuasa tawar-menawar Bersatu dalam PN.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan bahawa tiada asas undang-undang bagi speaker Dewan Rakyat untuk menyingkirkan Ahli Parlimen terbabit dari kerusi mereka, apatah lagi pindaan perlembagaan yang dibuat bagi mengekang langkah lompat parti hanya memberi kesan kepada situasi seseorang wakil rakyat keluar dari parti mereka, bukan dipecat.

“Dalam kes ini, enam wakil rakyat tersebut telah dipecat dari parti dan perlembagaan tidak menyatakan apa yang berlaku kepada kerusi-kerusi tersebut. Situasi paling mungkin berlaku ialah enam Ahli Parlimen tersebut memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyaksikan Bersatu kehilangan semua kerusi berkenaan,” katanya.



Dari sudut undang-undang pula, peguam Baljit Singh Sidhu menjelaskan tiada sebarang undang-undang mengekang antilompat parti selain apa yang dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan. Ia bermakna tiada peraturan ketat dan tegas yang akan menentukan apa yang berlaku pada sesebuah kerusi Parlimen apabila wakil yang dipilih tidak lagi menjadi ahli sesebuah parti.

Peguam kanan Haniff Khatri Abdulla pula berkata tujuh wakil rakyat terbabit telah mengambil pendekatan tepat dengan meminta penjelasan bertulis daripada Bersatu mengenai pemberhentian keahlian mereka. Ini penting untuk mereka membina kes terhadap Bersatu jika pertikaian itu berlarutan ke mahkamah – yang dipercayainya akan memutuskan kedudukan mereka kesudahannya nanti.

“Jika Bersatu yakin mereka betul, parti itu sepatutnya memaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat untuknya memutuskan kekosongan kerusi berkenaan. Sebaliknya, Bersatu terus mengulangi akan mengambil tindakan ke atas tujuh wakil rakyat itu. Mereka mengatakan ini sejak pindaan perlembagaan parti diluluskan dan masih mengatakan yang sama selepas mengeluarkan surat arahan khas pada 17 Mei,” katanya.

Di sebalik hujah-hujah mereka itu, Chin Huat yang jarang dibuktikan tersilap meyakini bahawa Perkara 49A(1) yang menyatakan kerusi seorang Ahli Parlimen akan dikosongkan jika mereka meletak jawatan atau tidak lagi menjadi ahli parti yang mana mereka adalah sebahagian daripadanya ketika dipilih, akan menjadi pemutus.



“Mari kita lihat siapa yang kena.” Masih ingatkah dialog dari filem klasik ini?

Mari kita lihat siapa yang kena

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ustaz selebriti didakwa kuat ‘merapu’ bila berdakwah?

Kedai makan balas komen pelanggan dengan biadap

BCL bikin hal lagi dalam kelab malam

Buat ‘projek’ dalam kawasan masjid (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker