Tiada siapa kasihan, penduduk Kampung Sri Makmur berkhemah di dalam semak

Sembilan keluarga daripada 21 penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak yang terlibat dalam perobohan rumah pada Isnin lalu kini terpaksa menjadikan kawasan semak dan belukar bersebelahan kampung itu sebagai ‘penginapan’ sementara mereka.

Ini kerana permohonan mereka untuk mendapatkan penempatan semula ditolak kerajaan negeri Selangor atas alasan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Seorang penduduk, Nur Zaitul Faridah Sulaiman, 40 berkata mereka terpaksa mendirikan khemah untuk bermalam dan meletak barangan peribadi kerana tidak ada tempat lain untuk berteduh.

Dia antara sembilan keluarga penduduk asal yang tercicir daripada senarai yang mendapat tawaran penempatan semula.

Katanya, dia agak terkilan selepas mendapati keluarganya tercicir walaupun telah mematuhi semua syarat dan menyerahkan dokumen berkaitan.

“Suami saya menetap di Kampung Sri Makmur sejak tahun 1998 sebelum kami berkahwin pada 2004. Sudah hampir 20 tahun kami menetap di sini. Sekarang, mana kami nak pergi,”

Tambahnya lagi, dia masih perlu membawa suaminya untuk menjalani rawatan dialisis selain anak ketiga mereka menghidapi penyakit leukemia.

Lebih malang lagi, katanya khemah yang diduduki mereka patah dan dimasuki air akibat hujan lebat.

“Apa lagi bukti yang diperlukan? Kalau kami orang ‘kayangan’ (kaya) kami tidak akan tinggal di sini.

“Pandanglah (kami), duduklah dalam ‘kasut’ kami sekejap…tidur sehari (di sini), tahulah perasaan (kami) bagaimana,” katanya sambil menahan sebak.

Pihak Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak telah membantu menempatkan mereka di hotel terdekat selama tiga hari sebelum ini.

Sebelum ini, media melaporkan hanya 21 keluarga mendapat tawaran pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan cek pampasan sebanyak RM1,000.

Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM) Noora Mustafa berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan bagi 24 keluarga yang merupakan penduduk asal Kampung Sri Makmur namun hanya 14 sahaja yang diluluskan kerajaan negeri.

“Manakala, baki 9 keluarga lagi tidak ditawarkan pembelian unit rumah dan pampasan,” kata Noora.

Dakwanya, tujuh keluarga lain yang berada dalam senarai yang dikemukakan oleh Pejabat Daerah Daerah dan Tanah (PTG) Gombak bukan dari kumpulan penduduk asal yang diwakilinya.

Bagaimanapun, kata Noora pihaknya telah mengemukakan rayuan bagi permohonan sembilan keluarga penduduk asal yang tercicir itu kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohamad Ali Osman, 41 (gambar atas) berkata dia tidak mampu menyediakan deposit bagi menyewa rumah baru lantaran pendapatan sebagai penghantar makanan kecil dan tidak menentu.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Sri Makmur sejak 2008 berasa sayu melihat keadaan tiga orang anaknya yang terpaksa tidur di dalam khemah selain buntu dengan persiapan sekolah mereka yang akan bermula minggu hadapan.

“Dengan pendapatan saya (yang kecil), susah untuk berpindah (ke rumah baru). Selasa ini, anak-anak pula akan mula bersekolah.

“Sebagai ketua keluarga, saya rasa gagal. Tapi saya tetap akan ikhtiar lagi, mungkin mencari pondok atau apa-apa,” katanya yang tinggal di Kampung Sri Makmur sejak 2008.

Bagi Ekuan Amran, 21 dia mengakui tidak tahu apa yang harus dilakukan selepas rumahnya dirobohkan.

Sejak berumur 17 tahun, Ekuan berkata dia dan adik perempuannya tinggal bersendirian selepas ibunya meninggal dunia pada 2020 akibat kanser payudara manakala bapanya pula meninggal dunia pada 2015, juga akibat kanser.

“Sedih dan terkilan melihat rumah peninggalan ibu dan ayah (diroboh), itu sahaja kenangan yang tinggal untuk kami.

“Saya amat berharap dapat rumah (penempatan semula) kerana kalau diikutkan gaji memang tidak cukup (sewa rumah) selain perlu menyara pengajian adik lagi di Kedah,” katanya yang bekerja di kilang berhampiran.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak pada satu kenyataan hari ini berkata tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan yang menceroboh tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 27 dan 28 Mei lepas itu dibuat mengikut prosedur.

PDT Gombak memaklumkan perobohan itu berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024.

Pada Khamis lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata baki keluarga yang mendakwa terkesan dengan perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak, Isnin lalu perlu membuktikan mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula selain tidak mendapat pampasan daripada mana-mana pihak.

Kata Amirudin, pihaknya bersedia melihat kembali bantuan yang boleh diterima keluarga berkenaan tetapi memerlukan bukti bahawa mereka adalah penduduk asal yang wajar diberi penempatan semula serta tidak menerima pampasan lain.

“Itu antara syarat kita letakkan, jadi (sesetengah mereka) prasyarat itu tidak dipenuhi (jadi) ditolak.

“Bukannya kesilapan kita, tapi yang 21 (penduduk) yang telah dapat itu (penuhi syarat). Alhamdulillah kita telah beri (pampasan),” katanya kepada pemberita pada Khamis lalu.

Terdahulu, kerajaan Selangor telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati ‘ex-gratia’ sebanyak RM1,000 kepada 21 buah keluarga yang merupakan penduduk asal berdasarkan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai PTG Gombak.

Laporan MK

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ustaz selebriti didakwa kuat ‘merapu’ bila berdakwah?

Kedai makan balas komen pelanggan dengan biadap

BCL bikin hal lagi dalam kelab malam

Buat ‘projek’ dalam kawasan masjid (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker