Dah makan tak mahu bayar, lari pula..

Dah kenyang makan, pelanggan tidak mahu bayar pula.

Itulah situasi yang sering berlaku kepada peniaga-peniaga restoran atau kedai makan yang berdepan dengan pelanggan culas bayar makanan setelah pesanan di buat.

Kebiasaannya situasi ini berlaku kepada kedai makan yang menjalankan servis pesan dan makan dahulu, bayar kemudian.

Menerusi hantaran di akaun Facebook Pak Awie’s Nasi Air, satu gambar resit harga makanan berjumlah RM59.80 dengan contengan di atasnya ‘tidak bayar’ telah dimuat naik.

Ujar pemilik kedai yang terletak di Besut, Terengganu itu, pihaknya sudah pun menyemak televisyen litar tertutup (CCTV) dan pelanggan tersebut telah dicam.

“Cerita semalam. Juruwang bagi resit yang pelanggan tak bayar dekat bos. Juruwang risau takut mereka yang kena ganti jumlah ni.

“Tapi bos kata tak apa bukan salah korang. Ini salah pelanggan dari ‘neraka’ ni. Pesan makanan ingat, tapi nak bayar terlupa pula.

“Kami dah semak CCTV, ‘sipolan’ tersebut pun kami dah cam,” tulisnya

Luahnya lagi, setiap makanan yang dipesan melibatkan banyak tenaga kerja membuatkan betapa bernilainya harga dan bayaran yang dibuat oleh pelanggan-pelanggan berkenaan.

“Korang yang dah pesan makanan, dah siap makan, jangan la terlupa bayar tau. Kasihan ‘team’ juruwang kami. Bila ada ‘short’, kesian dorang nak menjawab dengan bos dan nak ganti mana yang terkurang.

“Kesian juga team dapur penat-penat siapkan makanan korang. Kesian team ‘bartender’ (pelayan) yang bersusah payah siapkan pesanan korang.

“Kesian juga team servis kami. Pergi hantar makanan ke meja korang. Dah kenyang makan, tup-tup korang tak bayar pulak. Sedih tau. Korang semua orang baik-baik kan. Terima kasih semua atas sokongan yang diberikan,” luahnya.

Sehingga kini, hantaran tersebut telah mendapat 1,200 tanda suka dan 48 perkongsian.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mencadangkan agar pemilik kedai menukar sistem bayar dahulu makan kemudian untuk mengelakkan perkara sebegini berulang kembali.

“Kena buat macam syarikat francais. Pesan dan bayar dulu kemudian tunggu hidangan. Tapi biasalah orang kita, kalau syarikat francais buat macam tu ok je. Cuba kalau buat dekat kedai-kedai Melayu, mudah betul ‘menyinga’,” komen Saiful Anuar.

“Sebaiknya buat sistem bayar dulu baru makan. Itu lebih adil buat kedua-dua belah pihak. Sekadar cadangan,” komen Puspa.

“Mungkin terlupa kot. Sebab pernah juga terlupa, entah kenapa terlupa. Balik rumah sembang-sembang pasal makan baru teringat belum bayar. Esoknya terus pergi kedai untuk bayar,” komen pengguna lain pula.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker