Ketua Pemuda PAS pertahan Sanusi, dakwa ucapan berkenaan bukan penghinaan

Pemuda PAS Pusat berpendapat, Muhammad Sanusi Md Nor sebenarnya tidak melakukan sebarang penghinaan kepada mana-mana pihak jika seseorang mengikuti ucapan menteri besar sementara Kedah itu.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun berkata sayap parti itu menghormati apa yang berlaku kerana ia kini sudah berada di peringkat mahkamah.

“Sesiapa pun yang mengikuti ucapan dibuat Sanusi pasti mendapati tiada penghinaan seperti dituduhkan kepadanya di mana dikatakan.

“Bagaimanapun kerana perkara ini telah dibawa ke mahkamah, maka kita hormati proses itu,” katanya seperti dipetik lidah rasmi PAS, harakahdaily, semalam.

Ahmad Fadhli berkata demikian sebagai mengulas dua pertuduhan yang dikenakan ke atas Sanusi di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor semalam.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN berdepan dua pertuduhan berkaitan pihak istana, masing-masing membabitkan Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor, ekoran ucapannya di Selayang pada 11 Julai lalu.

Ahli politik dari Kedah itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Ada kekuatan semula jadi

Untuk rekod polis menerima hampir 60 laporan dibuat pelbagai pihak berkenaan ucapan tersebut, termasuk dari ahli Dewan Diraja Selangor sendiri pada 14 Julai.

Laporan berkenaan turut menegaskan harapan dari pihak Dewan Diraja Selangor agar tindakan diambil ke atas Sanusi.

Pada 17 Julai pula Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri menzahirkan pendirian baginda bahawa isu tersebut belum selesai di sebalik kenyataan Sanusi bahawa dia sudah mengutus surat memohon maaf atas kenyataan dibuatnya.

Baginda juga menyatakan penghargaan atas laporan polis yang dibuat banyak pihak ke atas Sanusi.

Menurut Ahmad Fadhli Pemuda PAS juga menganggap Sanusi memiliki “kekuatan semula jadi” sebagai tokoh politik, justeru tidak perlu mengheret orang ramai ke jalan raya.

“Kerana kekuatan Sanusi merupakan keupayaan semula jadi yang lahir dari hati yang ikhlas untuk rakyat.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada beliau. Saya yakin apa yang berlaku hari ini adalah ketakutan kerajaan yang paranoid pada kebangkitan rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menjelaskan Pemuda PAS tidak mengarahkan mana-mana ahli parti untuk berkumpul di mahkamah semalam sebagai tanda sokongan moral kepada Sanusi.

Hal itu kerana, katanya, bagi mengelak sebarang kemungkinan tercetus provokasi menjelang pilihan raya negeri bulan depan.

Pada masa sama Ahmad Fadhli menyeru agar semua penyokong mereka berdoa agar Sanusi diberi kekuatan menghadapi ujian.

Sementara itu Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh menganggap tindakan yang dikenakan ke atas Sanusi adalah petanda sikap double standard kerajaan.

Dia juga menyeru penyokong PAS dan PN agar bertenang.

“Dalam keadaan ini banyakkan solat hajat mudah-mudahan apa berlaku ini akan jadi isyarat kejatuhan perdana menteri yang ada sekarang,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker