Anak Zahid kaitkan penyertaan Ras Adiba dalam Bersatu kerana merajuk permintaan tidak ditunaikan

Anak perempuan timbalan perdana menteri, Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata dia terkejut dengan keputusan bekas senator, Ras Adiba Radzi menyertai Bersatu.

Menulis di Instagramnya, Nurul berkata dia berharap keputusan Ras Adiba yang dipanggil sebagai ‘Kak Deeb’ tiada kaitan dengan isu dia tidak disambung jawatan sebagai senator dan pengerusi Bernama.

“Saya agak terkejut kerana menerima berita penghijrahan sahabat yang saya anggap kakak bersama parti Bersatu.

“Saya berharap keputusan Kak Deeb ini tidak ada kena mengena dengan isu beliau tidak disambung ‘term’ senator di Dewan Negara dan jawatan sebagai Pengerusi Bernama,” katanya.

Nurulhidayah juga mendakwa dia ada menyampaikan hasrat Ras Adiba kepada bapanya, Ahmad Zahid Hamidi agar khidmatnya untuk dua jawatan itu disambung.

Bagaimanapun katanya, ‘keputusan besar’ itu tidak dapat ditentukan ayahnya.

“Secara terbuka saya nyatakan Kak Deeb ada meminta bantuan saya untuk ‘bisik’ kepada YAB TPM tentang penyambungan ‘term’ beliau dalam dua jawatan tersebut.

“Saya telah sampaikan kepada YAB TPM tentang hasrat beliau tetapi keputusan besar bukan keputusan YAB TPM sendiri dan sesiapa sahaja harus menghormati dan tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran sesiapa,” ujarnya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan komen daripada Ras Adiba.

Terdahulu bekas senator dan penyampai berita rangkaian media, Media Prima itu dilapor menyertai Bersatu dan menerima watikah keahliannya, malam tadi.

“Saya sudah memikirkan beberapa minggu untuk menyertai Bersatu, walaupun sebelum ini ramai kalangan sahabat handai yang mempelawa untuk menyertai Bersatu.

“Selepas mengamati keadaan politik di negara kita, saya dengan kepemimpinan di bawah Muhyiddin, akan memberikan sokongan penuh sebagai anak Negeri Sembilan untuk berjuang bersama Bersatu dalam PN,” kata Ras Adiba yang dipetik portal itu.

Cadangkan Ras Adiba terima anugerah

Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata dia sebelum ini ada mencadangkan supaya nama Ras Adiba diangkat sebagai ikon di Majlis Hi-tea Anugerah Skuad Sayang Wanita Umno.

Tambahnya, dia mencadangkan nama Ras Adiba kerana bekas personaliti TV3 itu mengaku sebagai ahli Umno dan berpendapat sudah tiba masanya dia membantu aktiviti NGO Wanita Umno.

Nurulhidayah berkata, meskipun ada suara-suara yang kurang senang dengan cadangan itu, namun dia mempunyai hujah sendiri untuk menamakan Ras Adiba sebagai penerima anugerah tersebut pada masa itu.

“Pendapat saya ketika itu, sudah tiba masanya Umno lebih bersikap terbuka dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang dan kaum.

“Beliau bersetuju untuk menerima anugerah tersebut dan di luar kawalan dan pengetahuan saya, beliau secara terbuka dan rasminya telah menyertai parti Bersatu sewaktu majlis jentera PN berlangsung di Seremban semalam,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker