Isteri di ambang menopaus, suami cari pucuk muda

Dua minggu lalu saya dihubungi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zureen.

Kata wanita berusia 55 tahun itu, dia ingin bertemu saya untuk berkongsi kisah hidupnya yang diuji dengan kehadiran `orang ketiga’ sehingga meleraikan ikatan perkahwinan lebih dua dekad.

Awalnya saya menolak kerana pada fikiran saya mungkin apa yang mahu diceritakan Zureen sama seperti kisah-kisah sedih isteri yang dicurangi suami sebelum ini.

Namun disebabkan dia menghubungi saya berulang kali, akhirnya kami berpeluang bertemu empat mata di sebuah cafe pusat beli-belah di ibu negara, baru-baru ini.

Kata Zureen tujuan dia bercerita bukan mahu mengaibkan sesiapa, tetapi sebagai pengajaran kepada suami dan isteri di luar sana.

Cerita Zureen ketika dia melalui fasa -fasa putus haid atau menopaus kira-kira empat tahun lalu, bekas suaminya Azman (bukan nama sebenar) bermain kayu tiga.

Katanya, dia dapat menghidu kecurangan bekas suami hanya selepas beberapa bulan dia berada di ambang menopaus.

Cerita Zureen, gejala menopaus dimulai sangat awal, ketika usianya baru mencecah 51 tahun.

Ketika itu dia masih bekerja di sebuah syarikat perbankan di Selangor.

Menopaus yang dialami memberi kesan awal dan jangka panjang pada tubuh dan emosinya.

Kata Zureen sepanjang tempoh itu dia cepat marah, pelupa, sedih, sukar tidur dan mudah tersinggung.

Sayangnya, bekas suami yang diharap memberi sokongan terhadapnya sepanjang dia melalui cabaran putus haid tidak kesampaian.
“Bekas suami tidak pernah ada ketika saya menginginkan bantuan sokongan daripadanya.

“Jangankan sokongan emosi, meluangkan masa untuk menenangkan hati saya jauh sekali. Paling mengecewakan, ketika saya bergelut dengan emosi tidak stabil, bekas suami curang di belakang saya,” luah Zureen.

Menceritakan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta itu, Zureen berkata mereka dikurniakan tiga anak, masing -masing berusia 23, 24 dan 26 tahun.

Anak sulung mereka, Raykall telahpun bekerja , manakala anak kedua dan ketiga masih menuntut di institut pengajian tinggi.

Bekas suaminya merupakan seorang penjawat awam yang lebih berusia dua tahun darinya .

Zureen tidak menyangka, bekas suaminya yang dikenali sebagai lelaki penyayang, baik hati dan bertanggungjawab sanggup mencuranginya hanya kerana dia sudah tidak seperti dahulu.

Berkongsi pengalaman fasa -fasa menopaus, katanya ia banyak mengubah fizikal dan emosinya.

Ini termasuk kehilangan ghairah untuk melakukan hubungan di ranjang.

Namun kata Zureen, dia tetap berusaha untuk membahagiakan hubungan mereka seperti makan malam romantik, berpakaian menarik dan sebagainya bagi memastikan kekal menarik di mata bekas suami.

Tetapi Zureen kecewa apabila tidak mendapat balasan yang sama daripada bekas suami.

Perubahan sikap bekas suami secara tiba-tiba telah memberi kesan mendalam terhadap hubungan mereka.

Rupa-rupanya dalam tempoh Zureen melalui fasa-fasa awal menopaus, bekas suami telah mula main kayu tiga.

Hampir setiap hari bekas suami sering pulang lewat dengan alasan ada kerja yang perlu diselesaikan.

Hujung minggu juga, dia sering keluar rumah dan meninggalkan Zureen sendirian.

“Sepanjang kehidupan saya bersama bekas suami, dia tidak pernah khianati saya, tetapi sejak anak sudah besar dan selepas saya menopaus, perangainya berubah secara drastik.

“Saya kecewa , apabila mengetahui bekas suami menjalin cinta dengan wanita lain selepas membaca perbualan WhatsApp mereka berdua,” katanya.

Menurut Zureen, dia berpura-pura tidak mengetahui perhubungan bekas suami dengan wanita itu, sebaliknya bersabar dan lebih banyak mendiamkan diri.

Namun katanya, kesabarannya selama hampir setahun tergugat apabila bekas suami mula berani angkat tangan.

“Rumah bukan lagi syurga bagi saya. Setiap kali pulang ke rumah kami akan bertengkar.

“ Paling mengejutkan apabila suami berterus terang tentang soal hati dan perasaannya telah beralih kepada wanita lain,” ujar Zureen.

Kata Nureen dia diceraikan secara rasmi pada awal tahun lalu atas permintaannya sendiri.

Sejujurnya Zureen sedih atas apa yang berlaku. Namun pada masa redha dengan takdir yang ditetapkan Allah Taala.

“ Untuk apa perkahwinan kami diteruskan sekiranya perasaan cinta dan kasih itu sudah tiada. Saya sendiri minta dilepaskan dan itu adalah jalan terbaik.

“Sepanjang tempoh itu bukan saya tidak cuba memperbaiki dan mempertahankan hubungan kami, namun keadaan masih sama.

“Bukankah cukup bodoh jika saya sahaja yang mempertahankan hubungan, tetapi bekas suami tiada usaha ke arah itu,” ujarnya lagi.

Tambah Zureen, tiada sesiapapun merancang untuk berkahwin dan akhirnya bercerai.

Namun ia adalah perkara yang tidak mustahil terjadi apabila perkahwinan yang dibina berlandas nafsu dan bukan kerana Allah Taala.

Sebelum mengakhiri perbualan Zureen sempat menitip pesan terutama kepada wanita di luar sana yang bakal melalui fasa-fasa menopaus.

Ads by Kiosked

Katanya, menopaus harus ditangani dengan baik, kerana jika tidak dapat ditangani, ia boleh mempengaruhi kehidupan baik perkahwinan, keluarga mahupun kerjaya.

“Kepada suami, jadilah pendamping yang setia ketika isteri di ambang menopaus, bukan mengambil kesempatan untuk mencari pengganti lain,” ujarnya penuh bermakna.

Sesungguhnya dalam quran Allah SWT berfirman “…Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka…’’ (Al-Baqarah:187).

Ayat ini menjelaskan tentang hubungan suami isteri yang tidak dapat dipisahkan dengan kasih sayang , saling menghangatkan dan dapat menguatkan dalam kondisi apapun.

Baik suami mahupun isteri diwajibkan untuk menjaga aib satu sama lain kerana mereka sudah seperti pakaian bagi pasangannya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker