Ramona Zamzam tak goyang dengan penyondol

Pelakon Ramona Zamzam tidak berasa bimbang tentang kemungkinan rumah tangganya diganggu pihak ketiga memandangkan suaminya, Rami Alaskar kurang aktif dalam media sosial.

Katanya, kecenderungan teman hidup berasal dari Palestin yang dikahwini sejak 2015 itu lebih selesa melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga dan perniagaan yang membuatkan masanya sentiasa terisi.

“Bukan tak takut kepada penyondol, tetapi Alhamdulillah sepanjang lapan tahun mendirikan rumah tangga kami sentiasa mengingatkan supaya setia terhadap satu sama lain.



“Kami berdua umpama satu pasukan yang saling menyokong. Memang tenang, tambah-tambah suami pun tak aktif dalam media sosial. Malas katanya.

“Benda ini sebenarnya bawa kedamaian, cuma sebelum ini dia ada tertanya-tanya kenapa saya fokus pada telefon. Saya terangkan ini juga sebahagian kerja, tetapi berpada-pada” katanya kepada Kosmo! Online.

Pemilik nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam itu ditemui ketika majlis pelancaran program Mega Spontan siaran Astro Warna, baru-baru ini.

Menurut aktres berusia 32 tahun itu, suaminya yang memahami kerjaya seninya juga ringan tulang bergilir menjaga anak tunggal mereka, Ivanna.



“Jika saya menjalani penggambaran, dia yang banyak menguruskan perniagaan dari rumah akan menguruskan anak, apabila dia keluar mesyuarat atau kerja di luar, saya pula ambil alih tugas di rumah,” katanya lagi.

Mengenai penyertaan dalam program yang lebih kepada improvisasi jenaka secara spontan, ulas Ramona itu bukan bermakna dia mahu terjun sebagai pelawak.

Sebaliknya lebih kepada mencuba untuk menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam dunia lawak termasuk mentor.

“Saya pernah terbabit dalam Super Spontan Raya, mungkin dari situ mereka ‘nampak’ saya yang mempunyai sisi gila-gila. Lama juga saya ambil masa berfikir.



“Tapi saya selesa dikenali sebagai pelakon, bukan pelawak kerana bukan mudah hakikatnya untuk menjadi pelawak. Itu saya respek mereka.

“Lagipun rancangan ini lebih kepada kita mencipta senario secara spontan yang dilakukan secara berkumpulan, bukannya komedi solo,” tambahnya.

Mega Spontan dijadualkan berlangsung selama lapan minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Warna (saluran 107), mulai 19 Mei ini.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker