Juara Piala Sumbangsih, JDT dilandasan tepat!

 

KEJAYAAN mengekalkan trofi Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Terengganu FC (TFC), 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, malam Jumaat membuktikan Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan tepat bagi melakar lebih banyak kejayaan musim ini.

Keyakinan itu disuarakan pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari berdasarkan aksi mantap dipamerkan skuad kendaliannya ketika berdepan skuad Penyu pada perlawanan berkenaan

“Kita berada di landasan tepat, menuju ke arah yang betul dengan cara yang betul. Saya cukup gembira.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, ia sesuatu yang sukar buat kami untuk memenangi trofi pada aksi pertama liga, apatah lagi berdepan dengan sebuah pasukan hebat (TFC) dan beraksi di depan penyokong sendiri.

“Tetapi kami berjaya melakukannya biarpun masih banyak yang perlu ditambah baik oleh pasukan ini,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi Piala Sumbangsih 2023 menyaksikan JDT menewaskan TFC 2-0 hasil jaringan Jaringan pemain import, Juan Muniz Gallego pada minit ke-5 sebelum penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Bergson Da Silva menjaringkan gol kedua pada minit ke-57.

Kemenangan itu sekali gus memastikan skuad Harimau Selatan itu mengekalkan trofi Sultan Haji Ahmad Shah itu buat dua musim berturut-turut setelah memenanginya musim lalu dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC, 3-0.

Mengulas mengenai aksi pemain-pemain JDT terutamanya pemain-pemain muda seperti Arif Aiman Hanapi, Shio Hong Wan dan Ramadhan Saifullah Usman pada perlawanan berkenaan, Solari berkata, mereka telah memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan.

Malah katanya, kesemua pemain muda yang diturunkan telah membuktikan mereka memang berhak untuk berada dalam pasukan utama kali ini.

“Sudah tentu saya gembira dengan (aksi) mereka (pemain muda), kita telah meletakkan satu tanggungjawab kepada mereka untuk beraksi pada perlawanan seperti ini dan mereka telah membalas kepercayaan tersebut.

“Dalam masa sama, kita juga menurunkan pemain berpengalaman bagi membantu mereka dari semasa ke semasa seperti Arif (Aiman). Semua orang tahu kebolehannya dan kita mahu meneruskannya (kecemerlangan) kerana dia kini berada di tahap yang tinggi ketika ini.

“Dalam masa sama, kita juga gembira dengan aksi Syihan (Hazmi), yang tidak melepaskan sebarang gol dan ia juga hasil kerja keras daripada benteng pertahanan pasukan yang juga merupakan satu petanda baik untuk kita mengharungi musim ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker