Tommy Thomas salahguna kuasa pilih Maimun jadi Ketua Hakim Negara
Oleh Norzahira
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memainkan peranan utama dalam mengemuka cadangan pelantikan hakim. Badan ini bertanggungjawab di dalam proses pelantikan hakim Mahkamah Atasan termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak sejak Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) dikuatkuasakan pada 2 Februari 2009.
Dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas Tommy Thomas telah mendedahkan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak yang dibuat pada era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri seolah-olah tidak melalui segala proses perundangan yang ditetapkan.
Pada muka surat 342-343 buku beliau, Tan Sri Tommy Thomas dikatakan turut mendedahkan dalam satu pertemuan, pelantikan keempat-empat mereka diputuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atas cadangan beliau yang “arif dengan semua hakim Mahkamah Persekutuan”.
Oleh itu, pasukan petugas khas ditubuhkan bagi membuat kajian berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.
Ternyata tidak ada sebarang rujukan dibuat oleh Tommy ke atas peranan JAC di dalam proses pelantikan hakim Mahkamah Atasan, termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Memetik tulisan BEKAS KETUA HAKIM NEGARA TUN ABDUL HAMID MOHAMAD 7 Sept 2022.
Biarlah saya menambahnya supaya kita dapat memberi pertimbangan yang lebih adil kepada kedua belah pihak.
Ia bermula dengan cara Tun Dr. Mahathir dan PH berkempen dalam PRU 14: jika PH menang, DS Najib akan ditangkap, didakwa dan dipenjarakan dalam tempoh hanya beberapa bulan. Ia memberi gambaran bahawa semuanya akan dilakukan oleh Kerajaan PH dan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. Ia memberi gambaran bahawa peranan penyiasat (SPRM), pendakwa dan mahkamah hanya formality.
Selepas itu Peguam Negara digantikan dengan TS Tommy Thomas, seorang peguam swasta yang tidak pernah melihat kertas siasatan, apatah lagi mendakwa dan peguam kepada Lim Guan Eng dalam kes rasuahnya yang, kemudiannya, tidak meneruskan pendakwaan, sebagai Peguam Negara.
Ditambah lagi dengan pelantikan Lateefa Koya, kelahiran Kerala, India seorang aktivis politik dalam PKR, parti komponen PH yang juga tidak pernah melihat kertas siasatan apatah lagi menyiasat dan mendakwa kes rasuah, untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Seterusnya, TS Tommy Thomas dalam bukunya mengatakan dialah yang memilih nama Tun Tengku Maimun untuk menjadi calon Ketua Hakim Negara dan TS Abang Iskandar sebagai calon Hakim Besar (Sabah dan Sarawak)[i] dan mengemukakannya kepada Tun Dr. Mahathir, dan Tun Dr. Mahathir bersetuju. Di sini TS Tommy Thomas telah bertindak di luar bidang kuasanya. Sebenarnya Peguam Negara tidak ada peranan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara. Yang mempunyai peranan untuk memilih calon Ketua Hakim Negara dan mengemukakannya kepada Perdana Menteri ialah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang Peguam Negara tidak pun menjadi ahli.
Orang ramai mungkin tidak tahu bahawa, pada masa itu, Tun Tengku Maimun adalah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang junior, tidak ada apa-apa keistimewaan kepadanya berbanding dengan[ii] Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan lelaki lain yang lebih kanan, mempunyai pengalaman yang lebih luas semasa menjadi pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan, dari pemerhatian saya, mempunyai watak yang lebih kuat.
Atas asas apa TS Tommy Thomas memilih Tun Tengku Maimun? Adakah ia dilakukan dengan harapan Tun Tengku Maimun, terutama sekali[iii], akan merasa terhutang budi kepadanya, kepada Tun Dr. Mahathir dan Kerajaan PH dan akan menyebelahi mereka dalam penghakimannya? Saya tidak fikir faktor itu tidak termasuk dalam perkiraannya. Bahawa Tun Dr. Mahathir bersetuju tidak menghairankan kerana beliau pernah berbuat hal yang serupa semasa menjadi Perdana Menteri kali pertama.
Perlu diambil ingatan di sini bahawa, di sisi undang-undang pelantikan itu adalah sah. Mereka tidak boleh dipersalahkan. Saya percaya mereka sendiri pun tidak pernah terfikir mereka akan dilantik ke jawatan-jawatan itu. Yang salah ialah jika pelantikan-pelantikan itu dilakukan dengan tujuan mereka akan terhutang budi dan akan menyebelahi kehendak Kerajaan PH dalam keputusan-keputusan yang mereka buat kelak dan mereka melakukan demikian.Hal ini lebih penting berkenaan pelantikan Ketua Hakim Negara kerana keadilan bukan sahaja perlu dilakukan, ia juga perlu kelihatan dilakukan.
Beberapa tindakan Ketua Hakim Negara berhubung dengan pengendalian kes ini menambah lagi kecurigaan itu. Pertama, penetapan bilangan panel yang mendengar rayuan ini dan keahliannya. Ini adalah satu kes yang amat kontroversial. Satu dunia menunggu keputusannya, kebanyakannya mahukan DS Najib dihukum, tidak kira apa alasan penghakimannya. PH menunggu untuk menyalahkan hakim-hakim jika mereka tidak mendapati DS Najib bersalah dan menghukumnya. Maka, Ketua Hakim Negara yang dari awalnya nampak terhutang budi kepada Tun Dr. Mahathir berada dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi itu. Sama ada itu betul atau tidak tidak penting. Sekali lagi ini soal persepsi.
Dalam kes ini, tindakan Ketua Hakim Negara itu dalam menetapkan bilangan hakim untuk mendengar rayuan ini dan pemilihan hakim-hakim itu menguatkan lagi persepsi bahawa beliau mahu Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.Dalam keadaan ini, untuk nampak lebih adil dan mengelak tuduhan memilih hakim, sepatutnya rayuan in didengar oleh panel penuh Mahkamah Persekutuan. Melihat senarai lima orang hakim yang dipilih, seseorang yang biasa dengan penghakiman mereka sudah pasti dapat menelah apakah keputusan mahkamah itu kelak: Ketua Hakim Negara, Datuk Nallini dan Datuk Mary Lim telah pun merupakan majoriti yang tentu sekali akan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu. TS Abang Iskandar juga adalah calon pilihan TS Tommy Thomas. Datuk Mohamad Zabidin adalah amat junior dan tidak mungkin tidak menuruti keputusan majoriti yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara itu. Mengapa Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar (Malaya), dua hakim paling kanan selepas Ketua Hakim Negara, dan hakim-hakim lain yang lebih kanan daripada Datuk Nallini, Datuk Mary Lim dan Datuk Mohamad Zabidin tidak dimasukkan dalam panel itu?
Mungkin dihujahkan, jika mahkamah itu bersidang dengan panel penuh pun, besar kemungkinan, keputusannya sama juga. Itu bukan isunya. Isunya mengapa melakukan sesuatu yang menambah persepsi bahawa ia disengajakan untuk memastikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dikekalkan?
Alasan keempat ini dan cara Tun Tengku Maimun menangani isu Hakim Datuk Mohd Nazlan (Lihat Badan Kehakiman Diugut: Pandangan Sebelah Lagi (07 Mei 2022) tidak membantu menunjukkan kebebasannya
Surat Ketua Hakim Negara kepada Majlis Peguam bahawa beliau tiada bantahan jika peguam-peguam akan memohon penangguhan untuk menghadiri acara Walk of Justice pada 17 Jun 2022 yang berkaitan dengan Hakim Datuk Mohd Nazlan. Ini sekali lagi menunjukkan Majlis Peguam amat partisan dalam kes ini.
Berdasarkan kepada bukti-bukti di atas, pelantikan Maimun dikatakan tidak mengikut saluran yang sepatutnya. Terdapat unsur-unsur yang berkemungkinan tinggi meletakkan pembelaan kes Datuk Seri Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil. Wujud pendakwaan yang berkemungkinan besar bermotifkan penganiayaan politik dan balas dendam.
Oleh itu, beliau sepatutnya dibebaskan dengan segera bagi memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib mendapatkan keadilan sebagai rakyat Malaysia dan pemimpin besar yang terlalu banyak jasa pada negara.
You must be logged in to post a comment.