Pas gesa semua projek rundingan terus zaman PH didedahkan

SHAH ALAM – Pas menggesa agar semua projek rundingan terus yang diluluskan Kementerian Kewangan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini disenaraikan kepada umum.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia susulan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam bahawa 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian berkenaan ketika pentadbiran kerajaan PH.

ARTIKEL BERKAITAN: 101 projek rundingan terus diluluskan zaman PH

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, kenyataan itu pastinya mengejutkan rakyat kerana selama ini PH melaungkan prinsip tender terbuka, bahkan perkara itu turut dinyatakan dalam manifestonya.

“Lebih mengejutkan bila mana bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa semua projek tersebut telah diluluskan oleh Kabinet.

“Kenyataan beliau (bagaimanapun) telah dinafikan secara tegas oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri (Mohamed) Azmin Ali yang menyatakan perkara itu tidak melalui kelulusan Kabinet.

“Jika apa yang dikatakan YB Azmin benar, maka ini bermakna Lim (Guan Eng) telah melakukan suatu pembohongan dalam dewan yang mulia dan perkara ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan oleh YB (Datuk Seri) Shahidan Kassim esok,” katanya dalam kenyataannya hari ni.

Terdahulu, Tengku Zafrul membangkitkan perkara itu ketika penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 2020 di Dewan Rakyat semalam.

Pendedahan Menteri Kewangan itu membuatkan sidang menjadi gamat dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula bangun dan berkata, dia terbuka jika senarai penerima tender rundingan terus itu didedahkan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker