Akta lapuk kekang media perlu dikaji semula

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyemak semula akta-akta lapuk berkaitan profesion kewartawanan bagi membawa pembaharuan dalam landskap media tempatan, cadang Tokoh Wartawan Negara, Johan Jaafar.

Mengambil contoh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, beliau berkata akta berkenaan antaranya yang dilihat kini sudah tidak relevan untuk diaplikasikan, tambahan dengan penyebaran berita kini juga banyak menggunakan media sosial.

“Kini kita ada sosial media yang mempunyai kelebihan masa nyata (real-time), berbeza dengan media arus perdana yang mengambil masa (untuk diterbitkan) dan perlukan tapisan. Ertinya saat ini, Malaysia perlukan undang-undang khusus bagi melindungi dan memberikan kebebasan media.

“Kita punyai banyak undang-undang sedemikian namun ia sudah lama dan lapuk. Harus diteliti semula dan jika perlu, mansuhkan,” katanya selepas melancarkan portal berita dalam talian, ApaKhabarTV, di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri bekas pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Azman Ujang dan jurucakap ApaKhabarTV, Rashid Yusof.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 diperkenal antara lain bagi mengawal pengeluaran lesen mesin cetak serta permit penerbitan untuk pelbagai media cetak termasuklah akhbar parti politik dan akhbar harian.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Chamil Wariya mencadangkan agar satu undang-undang diwujudkan bagi mengenakan cukai terhadap syarikat teknologi gergasi antarabangsa seperti Google dan Yahoo yang beroperasi dalam negara.

Katanya, pelaksanaan itu dilihat wajar dan cukai yang diperolehi kelak dapat disalurkan kepada agensi dan portal media tempatan, memandangkan syarikat teknologi gergasi ini juga menggunakan kandungan media tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai ApaKhabarTV, Azman berkata pelancaran portal berita itu dilihat berpotensi membuka ruang kerjaya baharu bagi profesion kewartawanan sekali gus optimis bahawa ia mampu memberi impak positif kepada landskap media negara.

“ApaKhabarTV ini juga melibatkan barisan wartawan veteran dan bagi saya ini merupakan satu langkah yang baik. Ia memberi ruang kepada kita (wartawan) yang mungkin sudah bersara untuk menulis…dan ini buatkan saya yakin dengan kualitinya,” katanya.

Sementara itu, Rashid berkata portal berita itu memberi fokus pada penulisan artikel yang mengulas pelbagai topik menarik dan kritikal melibatkan isu dalam dan luar negara oleh barisan kolumnis daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran.

“Kita mahukan sehingga tiba masanya Malaysia mempunyai satu platform (berita dan informasi) yang menyeluruh hingga ke peringkat antarabangsa. Kita juga sasarkan supaya orang luar juga kenali Bahasa Melayu,” katanya.

ApaKhabarTV yang mengorak langkah pada 2017 itu diterajui beberapa pengamal media veteran antaranya Rashid, Badrolhisham Bidin dan Datuk Badrul Hisham

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker