Israk Mikraj, waspada dengan ajaran Tajsim

Israk Mikraj, waspada dengan ajaran Tajsim

Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari

Menurut Mufti yang mengetuai Jabatan Fatwa Negara Mesir iaitu Prof Dr Shauqi Ibrahim ‘Abd al-Karim ‘Allam, pandangan muktamad daripada ulama salaf dan khalaf serta menjadi amalan Muslimin bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam ke-27 Rejab.



Israk Mikraj menyaksikan betapa ajaibnya peristiwa diperjalankan baginda Nabi SAW dari Makkah ke Bait al-Maqdis Palestin (israk) dan dibawa sehingga ke Sidrah al-Muntaha (mikraj). Mukjizat pengembaraan sangat pantas tersebut melebihi pantasnya mukjizat Nabi Sulaiman AS yang bergerak menggunakan angin dan juga melebihi pantasnya karamah Asif bin Barkhiya memindahkan singgahsana Ratu Balqis.

Namun, ketika menyambut dan mengambil ibrah daripada peristiwa ini, umat Islam disarankan agar waspada dengan ajaran yang membawa virus tajsim. Tajsim secara ringkasnya bermaksud suatu fahaman yang mendakwa bahawa Allah SWT memiliki jisim meskipun beranggapan jisim Allah SWT tidak sama seperti jisim makhluk-Nya. Fahaman ini wujud sejak zaman salaf soleh lagi namun ia tidak boleh disandarkan kepada golongan mulia tersebut yang terdiri daripada Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in.

Penulis sendiri mendengar beberapa rakaman video dan audio antaranya di Facebook dan YouTube bahawa penceramah agama yang mendakwa Allah mempunyai sifat fizikal dan jisim. Ungkapan fizikal dan jisim ini jelas disebut oleh penceramah tersebut serta mereka cuba mengaitkannya dengan ajaran Rasulullah SAW dan para ulama salaf soleh.

Selain itu, penulis juga pernah mendengar dakwaan kursi Allah SWT yang didakwa mereka sebagai tempat berpijaknya kaki Allah SWT adalah seluas langit dan bumi maka bagaimana pula arasy dan Allah SWT itu sendiri. Ini memberi maksud jisim Allah SWT sangat besar melebihi besarnya kursi dan arasy meskipun didakwa jisim-Nya tidak sama dengan jisim makhluk.



Ada yang mendakwa dengan membuat perbandingan antara Allah SWT dengan manusia bagaikan seseorang yang sedang melihat laptop. Sudah pasti orang tersebut dapat melihat keseluruhan laptop dan papan kekunci kerana ia lebih besar atau tinggi berbanding alat tersebut. Ini berbeza jika seseorang itu kecil seperti semut yang mana jika ia berada di atas laptop tersebut sudah pasti ia tidak nampak keseluruhan laptopnya.

Ini mengandungi unsur Allah SWT mempunyai jisim yang bersaiz besar dan tinggi meskipun didakwa saiznya tidak sama seperti saiz Allah SWT sama ada secara ungkapan zahir di bibir atau secara fahaman di akal.

Terdapat juga dakwaan bahawa jika seseorang itu berada di atas gunung atau bukit maka ia lebih hampir jaraknya dengan Allah SWT meskipun selepas itu disusuli dengan ungkapan yang memberi maksud meskipun jarak seseorang itu dekat dengan Allah SWT secara fizikal namun yang diambil kira tetaplah amalan seseorang yang memberi faedah dekat martabatnya dengan Allah SWT. Ungkapan susulan tersebut tetap tidak dapat memadamkan kesesatan ungkapan jarak fizikal tersebut.

Penulis juga pernah mendengar dakwaan bahawa Allah SWT turun ke gunung Tursina untuk berjumpa Nabi Musa AS. Maka, ketika itu arasy menjadi kosong kerana tiada lagi Allah SWT di sana kerana Dia sudah pergi ke tempat lain.



Bahkan ada yang mendakwa suka hati Allah SWT untuk duduk atau berdiri sama ada di arasy atau di kursi. Ada juga yang mendakwa Allah SWT akan mendudukkan Nabi Muhammad SAW di sebelah-Nya di atas arasy. Semua contoh-contoh video dan audio ini penulis dengar sendiri yang mana semuanya berbicara dalam Bahasa Melayu. Inilah ajaran golongan mujassimah yang masih wujud dalam masyarakat kita. Mereka mendakwa fahaman ini adalah fahaman sunnah, salaf soleh, ahli hadis, athariyyah atau seumpamanya.

Sebaliknya, ajaran Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) yang merangkumi salaf dan khalaf seperti yang diwariskan dan dijaga zaman-berzaman oleh aliran muktabar ASWJ yang juga aliran majoriti umat Islam iaitu al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah termasuk Ahli Hadis al-Mufawwidah tidaklah sedemikian. Berdasarkan silibus akidah yang benar seperti yang aliran ASWJ ini gubal, fahaman Allah SWT itu bertempat, sama ada di langit atau di bumi atau Allah SWT berada di mana-mana tempat yang Dia suka termasuk berada di atas nyamuk sekalipun, merupakan ajaran yang menyeleweng atau sesat lagi menyesatkan.

Jabatan Fatwa Negara Mesir pada 3 Oktober 2018, pernah menjawab soalan tentang sebahagian pihak cuba mengisbatkan wujudnya tempat bagi Allah SWT dan kedudukan-Nya adalah di arah atas dengan berdalilkan peristiwa Mikraj Nabi Muhammad SAW menuju ke langit menemui Allah SWT. Bahkan didakwa jarak secara fizikalnya menjadi hampir antara baginda Nabi SAW dengan Allah SWT. Mereka juga mendakwa kedudukan para malaikat yang bertugas menanggung arasy (hamalah al-‘arsy) adalah lebih hampir dengan Allah SWT yang berada di atas arasy berbanding para malaikat di langit kedua.

Jawapannya menurut Jabatan Fatwa Negara Mesir, telah menjadi kesepakatan para ulama fekah, hadis, ulama kalam dan lain-lain bahawa Allah SWT tidak dibatasi pada mana-mana tempat dan arah. Mikraj bermaksud tinggi martabat, bertambah fadilat, kedudukan tinggi, mulia kedudukan dan seumpamanya. Ia bukan bermaksud menuju naik kepada Allah SWT secara fizikal dan jarak menjadi dekat denganNya. Fahaman ganjil ini yakni mendakwa ketika Mikraj, Nabi SAW berkedudukan hampir jarak dengan-Nya hanya dipegang oleh golongan seperti Mujassimah, Mushabbihah dan sesiapa yang terpengaruh dengan ajaran mereka.



Berdasarkan jawapan institusi fatwa terkemuka dunia Islam tersebut, Nabi SAW bermikraj ke langit bukanlah bermaksud jarak baginda SAW menjadi lebih dekat secara fizikal dengan Allah SWT. Begitu jugalah jika seseorang itu berada di atas gunung paling tinggi di dunia, bukanlah bermaksud jaraknya lebih dekat dengan Allah SWT berbanding mereka yang berada di dalam lautan yang paling dalam sekalipun.

Jabatan Fatwa Negara Mesir memetik pandangan ulama tafsir muktabar iaitu Imam al-Qurtubi (m. 671H) dalam kitab al-Jami’ li Ahkam al-Quran ketika mentafsirkan surah al-Anbiya’ (21:87). Beliau membawa pandangan Abu al-Ma’ali tentang hadis yang berbunyi (atau matan seumpamanya): la tufaddiluni ‘ala Yunus ibn Matta (Jangan kalian melebihkanku mengatasi Nabi Yunus AS bin Matta). Menurutnya, Nabi Muhammad SAW yang diangkat hingga ke Sidrah al-Muntaha tidak boleh dikatakan lebih dekat jaraknya kepada Allah berbanding Nabi Yunus AS yang berada di dasar laut dalam perut ikan dan ini menunjukkan Allah SWT tidak berada di sesuatu arah.

Semoga umat Islam dapat menyambut peristiwa bersejarah ini berdasarkan fahaman ASWJ yang bersih daripada segala virus tajsim dan seumpamanya. HM

Penulis merupakan Prof. Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)



Israk Mikraj, waspada dengan ajaran Tajsim

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Skandal Spanco, siapa terbabit?



Cikgu Fadli bersara kerana tak mahu jadi tetamu biadab

Memang kami lepak dengan Hot Daddy

Saharul Ridzwan jual rumah pula

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker