Isham Jalil dilantik Ketua Penerangan UMNO baharu
Oleh Rohana Man
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkuatkuasa hari ini, susulan peletakan jawatan Shahril Hamdan.
Menurut Isham, perkara itu telah dimaklumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melalui telefon sebentar tadi.
Katanya, keputusan itu diambil selepas perbincangan diadakan di antara kepimpinan tertinggi parti, susulan peletakan jawatan Shahril sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
“Saya telah dimaklumkan perkara ini melalui telefon sebentar tadi.
“Surat rasmi pelantikan telah ditandatangani kepimpinan parti.
“Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan ini dan kepercayaan parti terhadap saya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam kenyataan itu, Isham berkata, walaupun pelbagai cabaran dan dugaan akan kita tempuhi bersama pada ketika ini, namun kita tidak boleh berputus asa.
Katanya, tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya adalah berat, lebih-lebih lagi di kala UMNO berada dalam kekalahan dan kesempitan seperti ini.
”Saya percaya kita perlu membuat pembaharuan kepada parti dari dalam.
“Jadi, saya tidak akan lari dari perjuangan dan akan terus istiqamah serta berkorban untuk parti bersama akar umbi demi agama, bangsa dan tanah air.
“Sebab itu, saya terima tanggungjawab ini dan akan memegang amanah ini dengan sebaik-baiknya walaupun kita sudah tidak punya apa-apa. Doakan saya,”katanya.