Serik tertipu dengan PH

Oleh Rohana Man

SHAH ALAM – Tertipu dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, penduduk Shah Alam serik untuk memilih calon PH atau parti lain pada PRU15 nanti.

Tinjauan MyTV Online di sekitar Bandar Raya Anggerik hari ini mendapati penduduk kesal kerana sepanjang memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor selama tiga penggal (2008-2020), tidak banyak perubahan dan pembangunan dilakukan.

Kebanyakan pembangunan sekarang adalah daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan sebelum PH menerajui kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRU14 pada 2008.

Seorang penduduk Letchmanan a/l Kothanden, 62, berkata, beliau sudah menetap di Shah Alam sejak 35 tahun lalu dan apa yang beliau lihat adalah kerajaan PH sekadar menumpang pembangunan yang telah dibawa kerajaan BN.

“Saya tinggal di sini (Seksyen 24) sejak tahun 1985. Saya pernah duduk di bawah pentadbiran kerajaan BN dan kemudian, kerajaan PH selama tiga penggal.

“Antara dua kerajaan ini, saya suka BN sebab banyak manfaat yang saya terima sebagai penduduk.

“Saya kerja kilang. BN banyak buka kilang sekitar Shah Alam, sekali gus beri peluang kerja kepada ramai orang untuk bekerja, termasuk saya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu warga Shah Alam memberi undi kepada calon BN P108 Parlimen Shah Alam, Isham Jalil pada 19 November ini.

“Tak kira siapa calon, asalkan BN. Sekarang calon, Isham Jalil.

“Saya dan keluarga akan undi beliau. Saya rayu seluruh penduduk Shah Alam supaya undi Isham Jalil. Kita ambil balik Shah Alam,” katanya penuh semangat.

Zhang Lin Yuan, 43, mengakui serik dengan pemerintahan PH yang indah khabar dari rupa.

Menurutnya, penduduk Shah Alam terpikat dengan manifesto PH semasa kempen PRU14 terutama janji mahu menghapuskan tol dan menetapkan harga Petrol pada kadar RM1.50 seliter.

“Bila menang, janji tinggal janji. Ini sudah menipu. Saya serik dan saya rayu seluruh warga Shah Alam supaya menolak penipu pada PRU-15 nanti,” katanya.

Sepasang warga emas yang menetap di Jalan Serdang Batu, Seksyen 18, Adam Jaafar, 76, dan isterinya, Halimahtul Saadiah Mohd Nor, 68, turut merayu agar warga Shah Alam memilih calon BN, Isham Jalil.

Memiliki tiga cahaya mata tetapi seorang telah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu, kedua-duanya mengajak pengundi muda supaya memilih calon BN yang bertanding pada PRU15.

Beliau mengajak warga Shah Alam agar berfikir dengan waras dalam memilih calon dan jangan sesekali tersalah pilih.

“Kita pilih calon yang boleh bangunkan kita. Yang saya nampak sekarang, BN boleh. Yang lain, dah tak boleh pakai,” katanya.

Halimahtul mengakui, pada awal pemerintahan kerajaan negeri di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH, memang mengujakan kerana nampak macam banyak perkara baharu akan dilaksanakan.

Namun, katanya, setelah hampir 15 tahun berkuasa, tidak banyak usaha dilakukan untuk membantu penduduk terutama golongan warga emas sepertinya.

“Dulu…, memang bagus tetapi itu dahululah.

“Sekarang dah semakin mengarut, lebih-lebih lagi selepas bekerjasama dengan DAP.

“Orang Melayu ni fobia dengan DAP. Takut hak istimewa kita (Melayu) tergadai.

“Bila dah mengarut macam tu, lebih baik padam saja cerita lama,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker