MP Batu Kawan nafi digugurkan, kata undur diri
Kasthuri Patto tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Kawan di Pulau Pinang, yang disandangnya sejak 2013.
Anak perempuan mendiang pemimpin kanan DAP, P Patto itu berkata dia mahu memberi ruang kepada pemimpin baharu dan menafikan bahawa dirinya digugurkan sebagai calon
Menyifatkannya, sebagai keputusan paling sukar dalam hidupnya, Kasthuri berkata: “Saya ingin mengumumkan bahawa saya berundur dengan rela dan tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang untuk memberi laluan kepada pemimpin baru dalam DAP dan demi untuk Malaysia.
“Saya akan sentiasa terhutang budi kepada parti kerana menyediakan platform untuk saya berkhidmat kepada rakyat dan negara selama dua penggal sebagai ahli Parlimen Batu Kawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kasthuri, dia mahu menumpukan masanya untuk memperjuangkan isu hak asasi manusia.
“Khususnya mengenai pemansuhan hukuman mati, menjenayahkan perkahwinan kanak-kanak, keterangkuman jantina, kebebasan sivil dan keadilan sosial untuk semua pada platform berbeza dengan Malaysia dekat di hati saya dan prinsip DAP sebagai kompas moral saya.
“Memetik kata-kata bijaksana (veteran DAP) Lim Kit Siang, parti sedang melonjakkan saya ke dunia dan saya menghargai sokongan parti untuk meneruskannya,” tambahnya.
Kasthuri turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan pengundinya di Batu Kawan kerana memberi peluang kepadanya mewakili mereka di Dewan Rakyat selama dua penggal.
You must be logged in to post a comment.