MB Johor bidas MP pembangkang hilang ketika banjir
JOHOR BAHRU – MB Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas ahli Parlimen pembangkang yang didakwa tidak turun ke kawasan mereka terjejas banjir baru-baru ini.
Menerusi catatan terbaharu di laman Facebooknya, Onn Hafiz menyatakan tidak melihat kelibat ahli Parlimen di kawasan terjejas banjir khususnya di Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading.
“Sehari dua ini, banjir juga telah berlaku di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading, namun kelibat ahli Parlimen di kawasan-kawasan ini langsung tidak dirasai.
“Oleh itu, mungkin tidak menjadi masalah untuk Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain jika diadakan PRU semasa musim banjir.
“Mereka bukannya turun ke kawasan, walaupun berlaku banjir. Biasanya masa kempen pilihan raya umum (PRU) barulah mereka akan menjelma,” katanya.
Untuk rekod, Parlimen Pulai diwakil Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah), Parlimen Iskandar pula diwakili Lim Kit Siang (DAP) dan Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh (Pejuang).
Pada Isnin, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mencabar pemimpin UMNO Johor menyuarakan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan ketika musim tengkujuh susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa daerah di negeri ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Johor Bahru itu mahu pemimpin UMNO seperti Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuarakan perkara itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak mendesak PRU15 disegerakan.
Hujan lebat dan fenomena air pasang yang berlaku pada Ahad menyaksikan beberapa lokasi di bandar raya Johor Bahru dinaiki air pada Ahad.
Beberapa kawasan di Pontian, Batu Pahat dan Muar pula menyaksikan hampir 200 penduduknya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
You must be logged in to post a comment.