Tolak kejahatan dengan kebaikan
Tolak kejahatan dengan kebaikan
oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Islam adalah agama rahmat bagi sekalian alam. Segala ajarannya amat sesuai dilaksanakan di mana-mana dan pada bila-bila masa, tidak terbatas pada masa, tempat, keadaan serta zaman. Dalam hal ini, kekerasan dan kejahatan adalah dua istilah yang tidak selari dengan pengertian yang wujud dalam rahmat.
Pada masa yang sama, Allah memerintahkan Rasulullah untuk mengutamakan perdamaian sesuai dengan perutusan baginda yang menjadi rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal ayat 61)
Dalam konteks dakwah Islam, Rasulullah mengingatkan umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud: “Berikanlah berita gembira dan janganlah jadikan mereka lari, permudahkanlah dan jangan menyusahkan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah juga diperintahkan oleh Allah supaya membalas kejahatan dan kekerasan dengan dengan kebaikan, manakala kekerasan dan kejahatan adalah berlawanan sama sekali dengan perintah Ilahi itu. Hal ini kerana kekerasan dan kejahatan seringkali menimbulkan banyak masalah, kesulitan, huru-hara dan ketidakharmonian, akhirnya hanya akan menatijahkan akibat yang buruk di dalam masyarakat. Oleh sebab itulah, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya agama ini mudah dan seseorang itu tidak akan mempersulitkan agamanya melainkan dia akan dikalahkan olehnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Pada satu ketika Rasulullah berjaya menakluki kota Makkah iaitu pada 8 Hijrah, golongan kafir Quraisy dilanda rasa takut dan bimbang lantaran kejahatan mereka terhadap Rasulullah dan umat Islam pada masa lampau. Mereka semua menduga akan menerima pembalasan dan hukuman yang berat daripada Rasulullah.
Bagaimanapun, apa yang ternyata pada hari yang bersejarah itu, Rasulullah telah mengisytiharkan hari berkenaan sebagai hari pengampunan dan pemberian kemaafan kepada kaum Quraisy iaitu dengan mengumumkan tiga cara untuk berdamai termasuk salah satu caranya adalah berlindung di rumah Abu Sufyan. Sedangkan Abu Sufyan sebelum itu seorang tokoh pemimpin Quraisy yang paling lantang menentang Rasulullah dan Islam.
Rasulullah dan umat Islam diperintahkan supaya tidak membalas kejahatan golongan kafir Quraisy dengan kejahatan. Sebaliknya, Rasulullah dan umat Islam melayan mereka dengan baik dan penuh saksama. Rasa takut dan kecut di dalam hati Abu Sufyan dan kaum Quraisy akhirnya berubah menjadi lega serta terharu di samping terselit perasaan malu terhadap Rasulullah dan umat Islam. Keadaan ini amat bertepatan dengan petunjuk Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumannya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat ayat 34)
Keluhuran peribadi Rasulullah dan ketinggian akhlak umat Islam ini berjaya mengetuk pintu hati Abu Sufyan dan akhirnya dia menarik tangan Rasulullah lantas mengucapkan dua kalimah syahadah untuk memeluk Islam kemudian diikuti oleh golongan kafir Quraisy lain untuk bersama-sama bernaung di bawah lembayung Islam yang diredai Allah.
Pada saat itu, turunlah Surah al-Nasr yang menceritakan detik bersejarah dalam kehidupan umat Islam sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Makkah. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia sangat-sangat menerima taubat.” (Surah al-Nasr, ayat 1-3)
Dari sini, jelas bahawa Islam hanya menganjurkan kebaikan dan pada masa sama Islam melarang sebarang bentuk kejahatan atau kekerasan walaupun dengan tujuan kebaikan sekalipun. Dalam hal ini, timbullah satu kaedah yang diguna pakai dalam kehidupan umat Islam iaitu ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Islam juga mengajar umatnya supaya menolak kejahatan itu dengan kebaikan. Hal ini kerana kejahatan itu tidak akan berlanjutan dan berterusan pada masa akan datang di samping ia menghasilkan satu jalinan yang baik antara pelaku kejahatan dengan mangsa kejahatan. Ini terbukti dengan balasan baik Rasulullah, Abu Sufyan dan kaum Quraisy bersedia untuk menerima Islam sebagai panduan hidup mereka. Akhirnya, anak cucu Abu Sufyan dan kaum Quraisy menjadi pemimpin Islam yang berjuang dan berjasa menegakkan kalimah Allah di bumi ini.
Selanjutnya, apabila kejahatan dibalas dengan kejahatan, dikhuatiri ia akan mengakibatkan kejahatan yang semakin parah dan melarat di dalam komuniti masyarakat. Hal ini kerana membalas kejahatan untuk menolak kejahatan bermakna satu taktik untuk membalas dendam, sekali gus memberi peluang untuk melakukan kejahatan yang lebih besar. Justeru, dalam hal ini antara orang yang berbuat jahat dengan orang yang membalas kejahatan adalah sama sahaja kedudukannya dan tarafnya.
Oleh yang demikian, dalam menangani masalah gejala sosial dan kejahatan melanda masyarakat, terutama golongan remaja mutakhir ini, ia menuntut satu pendekatan penuh berhemah dan kaedah terbaik daripada pelbagai pihak yang bertanggungjawab untuk mengembalikan generasi pewaris kerajaan pada masa hadapan ke pangkal jalan. Institusi keluarga sepatutnya berperanan untuk membimbing dan memimpin anak muda menjadi generasi yang salih dan bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. Peranan masyarakat juga tidak kurang pentingnya untuk memberi sumbangan bermakna dalam menjana pembangunan modal insan yang dicita-citakan oleh pihak kerajaan yang telah menyediakan segala prasarana dan kemudahan ke arah mencapai status negara maju.
Penulis Dekan Pusat Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Tolak kejahatan dengan kebaikan
You must be logged in to post a comment.