Rogol anak tiri: Hukuman penjara 1,050 tahun dikurangkan kepada 42 tahun
Rogol anak tiri: Hukuman penjara 1,050 tahun dikurangkan kepada 42 tahun
KLANG: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan hukuman penjara 1,050 tahun yang merupakan rekod hukuman penjara tertinggi setakat ini bagi kesalahan merogol, yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki kerana merogol anak perempuan tirinya.
Hakim Datuk Azmi Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan lelaki yang berusia 34 tahun itu terhadap hukuman penjara tersebut dan mengurangkan hukuman kepada 42 tahun tetapi mengekalkan hukuman 24 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Januari tahun lepas.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berasingan. Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman itu selama 42 tahun.
Dalam penghakimannya, beliau berkata hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen adalah bersifat suatu mengikut perasaan dan jelas terlampau berlebihan serta ia adalah suatu “crushing sentence“.
“Mahkamah ini mendapati hukuman 1,050 tahun adalah satu hukuman yang sememangnya tidak munasabah kerana ia tidak mungkin akan dapat dijalani kerana perayu tidak mungkin akan mencapai umur tersebut. Malahan umur 100 tahun pun jarang dicapai seisi penduduk dunia,” katanya.
Beliau berkata dari segi hukuman, Seksyen 377B Kanun Keseksaan (kesalahan rogol) memperuntukkan bahawa hukuman penjara yang boleh dijatuhkan adalah mencapai 20 tahun dan dengan itu hukuman 10 tahun penjara bagi setiap pertuduhan adalah satu hukuman yang berada di dalam kerangka hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen.
“Hakim Mahkamah Sesyen di dalam kes ini menggunakan budi bicaranya untuk kesemua 10 tahun tersebut berjalan secara berasingan dan ini menjadikan hukuman itu mencecah 1,050 tahun penjara iaitu satu jumlah yang boleh dikatakan sebagai satu rekod untuk pemenjaraan di negara kita.
Setakat ini, tidak ada nas yang mengatakan bahawa jumlah hukuman yang boleh dijatuhkan tidak boleh melebihi suatu angka yang disifatkan maksimum. Namun begitu, mahkamah dalam menjatuhkan hukuman perlu menilai banyak faktor,” katanya.
Bagaimanapun Hakim Azmi berkata mahkamah tidak boleh memandang sepi terhadap apa yang telah dialami oleh mangsa yang baru berusia 12 tahun semasa kejadian jenayah bermula.
Pada 27 Jan tahun lepas, lelaki itu mengaku bersalah atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Jan 2018 hingga 24 Feb 2020 mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin manakala perayu diwakili peguam V Vemal Arasan dan K A Ramu.- BERNAMA
Rogol anak tiri: Hukuman penjara 1,050 tahun dikurangkan kepada 42 tahun