Simpanan KWSP Patut Guna Ringankan Beban “Tak Makan” Sekarang Atau “Tak Makan” 10 tahun Lagi
Oleh Nurul Aisyah
DUIT simpanan KWSP itu adalah milik kita sendiri namun kita tidak diberi hak yang sepatutnya untuk menggunakan sebahagian kecil wang tersebut untuk kegunaan keperluan mendesak ketika pendemik Covid-19 sedang berleluasa dilihat sangat tidak masuk akal.
Ramai rakyat kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Menurut data Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), kadar pengangguran negara melonjak ke paras 4.5% pada tahun 2020, iaitu paras tertinggi sejak 1993.
Justeru, apabila kerajaan memutuskan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian simpanan KWSP, rakyat yang terdesak dan sangat memerlukan wang tunai menghela nafas lega. Namun keadaan pandemik covid-19 diburukkan lagi dengan kenaikan harga barangan yang sangat melampau terutama makanan keperluan asas. Malah ramai yang masih belum mampu pulihkan ekonomi keluarga.
Rakyat sememangnya maklum bahawa simpanan KWSP adalah untuk kegunaan hari tua. Pengeluaran awal simpanan hari tua kita untuk keadaan mendesak ketika ini dilihat mampu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat. Dan rakyat masih lagi memerlukan pengeluaran wang KWSP sekali lagi sebelum mereka mampu berdiri dengan lebih gagah mendepani keadaan ekonomi yang dikatakan bakal merudum dengan teruk dalam setahun dua ini.
Namun beberapa pihak dilihat cuba mengagalkan pengeluaran KWSP ini sekali ini dengan hujah yang sangat tidak relevan. Pihak ini mempersoalkan samada kita masih mampu untuk mengeluarkan simpanan KWSP kita lagi.
Pada tahun 2020, kerajaan telah pun membenarkan para pencarum KWSP untuk mengeluarkan simpanan masing-masing melalui program i-Lestari (Akaun 2).
Pada tahun ini, program pengeluaran simpanan KSWP diteruskan lagi melalui i-Sinar (Akaun 1) dan i-Citra (Akaun 1 dan Akaun 2).
Pihak ini cuba menggunakan fakta jumlah pengeluaran bagi ketiga-tiga program ini telah pun melebihi RM100 bilion. Hakikatnya pengeluaran tersebut hanyalah sebahagian kecil dari jumlah simpanan individu yang terlibat.
Jika dicongak, simpanan individu masih lagi banyak dalam KWSP jika dibandingkan dengan jumlah pengeluaran ketika mendesak sekarang ini. Oleh itu, alasan yang diberi untuk menghalang pengeluaran i-Citra RM10,000 buat kali terakhir ini dilihat tidak munasabah dan sangat lari dari matlamat penubuhan KWSP itu sendiri.
Adakah KWSP mahu menutup mata dan mengabaikan rakyat yang “tidak makan” sekarang semata-mata mahu memastikan rakyat tidak ada masalah “tidak makan” 10 tahun lagi?
Ini bukan duit kerajaan pun. Ini duit rakyat yang mencarum dalam KWSP.
You must be logged in to post a comment.