Solat di masjid : Membudayakan normal baharu

Oleh Datuk Paimuzi Yahya

SABAN tahun, apabila tibanya tanggal 17 Ramadan, umat Islam sering tidak ketinggalan menyambut peristiwa memperingati sejarah penurunan al-Quran buat kali pertamanya kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS di Gua Hira’.

Peristiwa ini sering diingati dan menjadi budaya bagi umat Islam khususnya di negara kita yang menyambutnya dengan pelbagai acara seperti memberi ucapan melalui poster, memuat naik ucapan dan ingatan melalui media sosial, tadarus al-Quran di masjid dan surau, seminar al-Quran, majlis ilmu berkaitan nuzul al-Quran dan sebagainya.

Namun, pada tahun ini sambutan Nuzul al-Quran agak berbeza kerana kita menyambutnya dalam suasana pandemik Covid-19 yang menyerang dunia.

Negara kita sudah merangka pelbagai strategi bagi menghadapi wabak ini sehinggalah pada saat ini kita antara yang berjaya menanganinya dengan sempurna.

Namun begitu, langkah kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menunjukkan bahawa kita semua perlu berhati-hati dan berwaspada kerana wabak ini bila-bila masa sahaja boleh mengancam kita semua.

Dalam pada itu, semua pihak perlu membiasakan diri dengan normal baharu agar semua aktiviti harian kita dapat berlangsung dengan selamat dan terpelihara.

Sambutan Nuzul al-Quran yang biasanya disambut melalui aktiviti tertumpu di masjid dan surau dengan tanggungjawab pihak pengurusan masjid dan surau yang mengelolakannya, kini perlu diubah.

Budaya itu perlu dibawa kembali ke rumah masing-masing dengan tanggungjawab ketua keluarga untuk menjadikan sambutan Nuzul al-Quran dalam konteks sambutan bersama ahli keluarga.

Sebagai contoh, wujudkan budaya membaca dan mentadabbur al-Quran bersama ahli keluarga masing-masing.

Pilihlah mana-mana kitab tafsir yang mudah difahami, baca dan kongsikan bersama ahli keluarga. Galakkan juga ahli keluarga untuk menghafaz al-Quran, sekurang-kurangnya beberapa surah pendek yang mudah sebagai amalan harian bersama.

Wujudkan suasana persaingan antara ahli keluarga untuk menghafaz surah-surah al-Quran dan dorongkan mereka dengan tawaran hadiah menarik sebagai suntikan semangat.

Hal ini bertepatan dengan saranan Allah SWT dalam firmanNya menerusi wahyu pertama-Nya dalam Surah al-‘Alaq ayat 1-5 bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Inilah ayat pertama yang Allah turunkan buat kekasih-Nya. Dimulakan dengan Iqra’ iaitu seruan untuk membaca supaya budaya hidup umat Islam dikuatkan dengan semangat menimba ilmu sehingga menemui ilmu pengetahuan baharu sekali gus menerbitkan semangat mengkaji yang tinggi.

Keupayaan daya kreativiti dan amalan budaya inovasi adalah senario umat Islam terdahulu yang membawa kepada kejayaan yang gilang gemilang.

Kini, minda umat Islam seakan-akan lumpuh. Mereka tidak berupaya bangun menggilap kembali semangat mencari ilmu pengetahuan.

Sebagai umat terbaik dan dilingkungi seruan iqra, seharusnya kelesuan budaya mencintai ilmu tidak ditenggelamkan begitu saja. Kita bimbang budaya kreativiti umat Islam lebih cenderung kepada kreativiti negatif seperti hedonisme serta vandalism yang boleh merosakkan ketamadunan ummah.

Menyedari akan hal ini, Jakim memperkenalkan suatu program bagi menyemai dan menyuburkan budaya kreativiti masyarakat melalui Pertandingan Video Kreatif Sempena Nuzul al-Quran.

Pertandingan itu sudah pun bermula pada 7 Mei lalu bersamaan 14 Ramadan dan tamat 15 Mei bersamaan 22 Ramadan.

Acara ini dilihat sesuai dengan keadaan semasa dalam tempoh PKPB apabila kebanyakan pergerakan masih terhad dan aktiviti setiap individu lebih tertumpu kepada media sosial.

Jakim berharap, melalui acara diadakan ini, peserta dapat mengolah ayat al-Quran secara kreatif sebagai jawapan kepada isu yang sedang melanda dunia pada masa kini dan bagaimana al-Quran menjadi penawar dan menyelesaikan permasalahan semasa.

Pertandingan yang mendapat kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), YaPEIMGold dan Yayasan Restu ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu pertama, Nuzul Quran Challenge PKPB yang terbuka kepada seluruh warga negara Malaysia untuk mempersembahkan video kreatif bertemakan Nuzul al-Quran.

Manakala kategori kedua iaitu Iqra’ Challenge PKPB yang terbuka kepada peserta berumur 7 hingga 14 tahun. Peserta perlu mempersembahkan video kreatif bacaan Surah Al-‘Alaq Ayat 1 hingga 5 serta ibrah mengenai Nuzul Al-Quran.

Penulis adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker