Hanya Allah mampu hapus kesusahan

Terpegun seketika ketika menelaah kitab Tafsir Ibn Kathir. Kisah ini sungguh menarik walau status kesahihannya masih tergantung. Pun begitu, saya yakin dengan kesolehan Imam Ibn Kathir ketika memuatkan kisah ini dalam kitab tafsirnya.

Memang Allah satu-satunya zat yang berkuasa menghapus kesusahan dan menghilangkan segala keresahan.

Firman Allah Ertinya: “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan lain bersama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).” (al-Naml: 62)

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir menyebut sebuah riwayat al-Hafiz Ibn ‘Asakir ertinya: Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menceritakan kisah seorang lelaki yang digelar al-Diqqiyy al-Sufi.

“Aku menunggang keldaiku dari Damsyik menuju negeri al-Zabadani. Perjalananku diiringi seorang lelaki dan kami melalui beberapa jalan yang tidak biasa dilalui orang ramai.”

Lelaki tersebut berkata kepadaku: “Ikutlah jalan ini kerana ia adalah jalan pintas yang lebih dekat.”

Aku menjawab: “Aku tak biasa melalui jalan ini.” 
Lelaki itu meyakinkanku: “Betul! Ia jauh lebih dekat”.

Kami pun mengikut jalan tersebut sehinggalah sampai ke sebuah tempat yang tersorok lagi dalam dan kelihatan banyak tulang mayat bertaburan di situ. Lelaki itu kemudiannya menghunuskan pisaunya. Aku cuba melarikan diri dan berkata kepadanya: “Ambillah keldai dan semua hartaku.”

Perompak itu berkata: “Memang ia sudah menjadi milikku, tapi aku tetap mahu membunuhmu.”

Aku cuba menggerunkannya dengan azab Allah, tetapi tetap tidak dipedulikannya. Aku kemudiannya meminta agar dibenarkan solat dua rakaat.

Lelaki itu berkata: “Sila dan solatlah dengan segera!” Aku mula bersolat tetap aku tidak mampu membaca sebarang ayat (kerana ketakutan yang amat sangat). Akhirnya aku terduduk kebingungan. Lelaki itu berkata: “Sudah! Cukup!”

Tiba-tiba Allah menggerakkan lidahku untuk membaca ayat ini (al-Naml: 62). Sejurus selepas itu, tiba-tiba seorang penunggang kuda bersenjatakan tombak muncul dari permukaan lembah tersebut. Penunggang kuda itu melontarkan tombaknya dan tepat menikam jantung si lelaki itu yang langsung jatuh tersungkur.

Aku memegang penunggang kuda itu seraya berkata: “Demi Allah! Siapakah kamu ini?”

Penunggang kuda itu berkata: “Aku adalah utusan Allah! Yang memperkenankan doa orang menderita apabila dia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan.” Sesudah itu, aku mengambil keldai serta barangku dan kembali dengan selamat.” (Tafsir Ibn Kathir).


ALLAH PELINDUNG SEBENAR

Memang hanya Allah pelindung sebenar. Itulah intisari tauhid yang perlu dipasak kemas dalam hati setiap orang beriman.

Sebagaimana firman Allah ertinya: “Dan jika Allah kenakan engkau dengan sesuatu yang bahaya, maka tiada sesiapa pun dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia kehendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa dikendaki-Nya daripada hamba-Nya, dan Dia lah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yunus :107)

Itu sebabnya juga ketika Nabi Musa a.s. lari menyelamatkan dirinya daripada buruan bangsawan Qibti selepas membunuh seorang lelaki kabilah tersebut secara tidak sengaja, baginda berdoa harap hanya pada Allah.

Firman Allah ertinya: “Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu”. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.” (al-Qasas :20-21)

Rasa tauhid seeloknya dipasak semenjak kecil, sebagaimana kisah nasihat Rasulullah kepada anak kecil yang juga sepupunya, Abdullah Ibn ‘Abbas:

Ertinya: Wahai anak! Aku akan mengajarkanmu beberapa pelajaran berguna. Jagalah hak Allah, pastinya Allah akan menjagamu. Jagalah hak Allah, pastinya Allah akan membantumu. Jika engkau mahu meminta sesuatu maka mintalah daripada Allah. Jika engkau mahukan pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada-Nya. Percayalah bahawa jika seluruh umat manusia berkumpul untuk memberikanmu sesuatu manfaat, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memberikanmu manfaat melainkan apa yang Allah tentukan untukmu. Dan jika mereka (seluruh umat manusia) berkumpul untuk memudaratkanmu, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memudaratkanmu melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Pena takdir sudah diangkat dan kertas takdirmu juga sudah kering! (Takdir yang ditulis semenjak azali sudah muktamad dan tidak akan berubah).” – Sunan Tirmizi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker