#PRNMelaka : Apakah tujuan 22 calon BEBAS bertanding sama seperti di PRN Sabah?
Oleh Wahida
Bukan lagi satu rahsia, di PRN Sabah, apabila sejumlah besar calon BEBAS yang bertanding ditaja PPBM. Demikian yang dikongsikan rahsia terbuka ini oleh Dato Rahman Dahlan, ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga berasal dari Sabah dan kejadian di PRN Sabah baru-baru ini.
Walaupun ada persefahaman di antara PPBM dan BN di Sabah, namun ia hanya satu lakonan oleh PPBM apabila secara tiba-tiba ramai calon-calon BEBAS muncul di kawasan BN bertanding terutama di kawasan-kawasan calon UMNO.
Menurut Dato Rahman Dahlan, bukti yang paling nyata adalah di malam hari pengiraan undi, apabila calon-calon BEBAS ini menang, mereka telah pergi ke pejabat PPBM Sabah dan mereka dipeluk pemimpin-pemimpin PPBM dan saling mengucapkan tahniah kepada mereka.
Itulah PPBM dan tepat sekali apabila UMNO tegas menolak kerjasama dengan mereka. Namun BN tetap meraikan demokrasi dan semakin ramai calon, adalah lebih demokratik.
Lazimnya, calon-calon BEBAS ini menyertai mana-mana pilihanraya hanya bertujuan untuk memecah undi dan jarang sekali, hampir boleh dikira dengan jari mereka yang menang. Di PRN Sabah, secara tiba-tiba, ramai calon BEBAS yang menang.
Oleh itu, pengundi-pengundi di Melaka seharusnya dapat menilai apakah tujuan calon-calon BEBAS ini bertanding melainkan hanya untuk dijadikan agen mengurangkan undi BN/UMNO dan bukan menawar khidmat bakti kepada warga Melaka.
Sebagaimana kita ketahui, baru-baru ini satu Gagasan Bebas telah diwujudkan kononnya untuk calon-calon yang tidak terikat dengan mana-mana bertanding dalam pilihanraya. Lebih menarik,
Gagasan Bebas ini dipelopori Peguam Haniff Katari yang pernah mewakili Tun Mahathir dan PPBM di dalam beberapa kes mahkamah.
Tertanya-tanya, apakah apabila parti baru Mahathir iaitu Pejuang, tidak menyertai PRN Melaka, di sebaliknya calon-calon Gagasan Bebas ini mewakili Mahathir dan Muhyiddin? Walaupun mereka menegaskan kesepakatan mereka untuk tidak terikat dengan mana-mana parti politik, apakah ia boleh dipercayai?
Jika calon itu ingin bertanding secara bebas, apa perlunya mereka berada dalam satu gagasan? Apakah jika calon BEBAS itu menang, mereka akan bertindak solo dan apakah mereka mampu membawa pembangunan kepada warga tempatan secara solo?
Adalah satu tindakan bijak jika semua pengundi Melaka terus menolak calon-calon BEBAS ini.