Membaca Basmallah Sebelum Makan, Wajib atau Tidak?

Membaca Basmallah Sebelum Makan, Wajib atau Tidak?

Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w. telah menuntut umatnya agar membaca Basmalah sebelum menikmati hidangan. Amalan dan tuntutan ini penting seiring dengan hadis riwayat dari Aisyah r.ha dari Baginda s.a.w.,

“Apabila salah seorang dari kalian makan, maka hendaklah ia menyebut nama Allah. Sekiranya ia lupa menyebut nama Allah di awal, hendaklah ia mengucapkan “Bismillaahi huwal awwalahu wal aakhir” (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya)” HR Abu Daud & Tirmizi

Membaca Basmallah sebelum menikmati hidangan mempunyai manfaat yang besar kerana ia bukan sahaja mendatangkan barakah pada makanan, bahkan ia juga dapat menghindarkan syaitan dari bersama-sama menikmati hidangan tersebut.

Ini penting kerana ia terkait dengan keberkatan yang ada pada makanan tersebut. Anjuran membaca bukan hanya sebelum memulakan makan, bahkan jika terlupa sekalipun saat teringat maka ia wajib membacanya.

Namun dari zahir hadis ini bahawa yang diperintahkan hanyalah setakat membaca “Bismillah” tanpa tambahan “Bismillaahir Rahmaanir Raahiim.”

Walau bagaimanapun Imam an-Nawawi berpandangan lebih utama jika dibaca dengan selengkapnya. Dan bagi Imam as-Syafie pula, sekiranya makan secara berjemaah, memadai hanya seorang sahaja yang mewakilkan bacaan Basmalah tanpa perlu ditakwilkan kepada setiap orang. Ia sama keadaannya dengan orang yang menjawab salam jika dalam satu jemaah.

Sekiranya ia makan tanpa membaca Basmallah, bermakna makanan yang dinikmatinya itu turut dikongsi dengan syaitan. Hudzaifah r.a. menceritakan,

“Apabila kami makan bersama Rasulullah s.a.w. kami tidak berani mengambil makanan hingga Baginda s.a.w. yang mengambilnya dahulu. Satu ketika kami menghadap hidangan bersama, tiba-tiba datang seorang gadis kecil seolah-olah cuba mengambil makanan tersebut.

Langsung tangannya dipegang Baginda s.a.w. Kemudian datang pula orang Badwi, juga cuba mencapai makanan tersebut lalu juga dipegang tangannya oleh Baginda s.a.w. Selanjutnya Baginda s.a.w. bersabda,

“Sesungguhnya syaitan memiliki kesempatan untuk mengambil makanan yang tidak dibacakan Basmallah.”

Syaitan datang dengan mendorong gadis kecil ini agar dapat kesempatan untuk makan, hingga aku pegang tangannya. Lalu ia dorong pula orang Badwi ini dan aku pegang tangannya. Demi Allah, Zat yang jiwaku berada di tangan Nya, sesungguhnya tangan syaitan sedang aku pegang bersama tangan gadis kecil ini” HR Ahmad & Muslim

Sesuatu yang barakah itu pastinya memberi manfaat yang besar, bukan hanya pada perbuatan dan makanan tersebut. Bahkan lebih dari itu, makanan yang berkat sudah semestinya akan memberi kesan pada hati, diri dan persekitarannya untuk menjadi seorang Muslim yang sentiasa memperoleh keredaan Ilahi.

Menghalalkan Dengan Basmallah

Mencari yang halal adalah satu kewajipan. Sehubungan itu sesuatu perkara atau perbuatan yang jelas haram tidak akan diberkati sekalipun ia memulakan dengan bacaan Basmallah. Contohnya seorang yang makan dari sumber haram, tidak akan menjadi halal makanannya semata-mata hanya dengan bacaan Basmallah.

Dalam perkara ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda,

“Sesungguhnya Allah itu Maha Baik tidak menerima melainkan yang baik, dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang mukmin sebagaimana yang diperintahkan kepada para rasul.”

Allah berfirman: “Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.“

Dan firman-Nya lagi: “Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu.“

Kemudian Baginda menyebutkan perihal seorang lelaki, dia telah menempuh perjalanan jauh, rambutnya kusut serta berdebu, dia menadah kedua tangannya ke langit:

“Ya Rabbi! Ya Rabbi” Sedangkan dia memakan makanan yang haram, pakaiannya yang dia pakai dari harta yang haram, dia meminum dari minuman yang haram, dan diberi makan dengan makanan yang haram, bagaimanakah akan diterima doanya.” (HR Muslim)

Oleh yang demikian itu, mencari sumber yang halal adalah wajib berdasarkan hadis Nabi s.a.w.

“Tidak akan berganjak kaki anak Adam di Hari Kiamat nanti hingga disoal tentang lima perkara, Iaitu tentang usianya pada apa yang telah dikerjakannya, tentang masa mudanya apa yang telah diperjuangkannya, tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya, dan tentang ilmunya bagi apa yang telah dilakukannya”.

Mencari yang halal dengan sumber yang halal, merupakan suatu kewajipan. Suatu yang haram tidak boleh menjadi halal dengan hanya membaca Bismillah. Bahkan, jauh pula ia dengan keberkatan.

Perkara yang terkait dengan keberkatan itu bukan hanya dengan lafaz Basmallah semata-mata, tetapi ia merangkumi dengan memenuhi tuntutan syariah. Wallahu a’lam Utv

Membaca Basmallah Sebelum Makan, Wajib atau Tidak?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker