Bukan Kerajaan PN
Oleh Nurul Aisyah
Baru satu hari Ismail menjadi Perdana Menteri, pelbagai persoalan timbul dari akar umbi UMNO dan juga rakyat berhubung, apakah nama kerajaan Perdana Menteri ke 9 ini. Adakah Ismail Sabri ingin terus dengan jenama yang dibentuk oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, kerajaan Perikatan Nasional yang telah terbukti gagal atau ada visi dan misi baharu yang jelas dari Ismail Sabri kepada rakyat?
Halatuju kena betul dan jelas kerana ia mempengaruhi pelabur dari luar dan dalam negara, nilai matawang, pasaran saham dan bagaimana negara luar melihat Malaysia yang dahulunya terkenal dengan jolokan Harimau Asia, adakah ‘harimau’ sudah bangkit atau masih bercakaran sesama sendiri? Bukan satu yang mustahil untuk Ismail Sabri lakukan kesemua ini dalam masa yang singkat sekiranya beliau fokus dengan betul dan melantik kabinetnya dari kalangan individu yang mampu bekerja.
Sekiranya Ismail Sabri membawa negara mengikut acuan kerajaan gagal yang diterajui oleh Muhyiddin, kesemua yang di atas tidak akan dapat dipulihkan tetapi bakal berdepan dengan masa depan negara yang makin kelam. Perdana Menteri perlu ada halatuju yang jelas;
1. Untuk rakyat.
Kembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah. Pandemik covid19 telah melumpuhkan kehidupan rakyat. Ada yang hilang ahli keluarga dan ada yang hilang pekerjaan. Rakyat tidak seharusnya hidup dibuai dengan program ‘bakul makanan’ yang bersifat terlalu sementara.
2. Untuk negara.
Kembalikan ‘rating negara’ di tempat uang sepatutnya. Nilai yang diletakkan oleh pihak penarafan terlalu buruk akibat kerajaan Muhyiddin yang gagal mengurus pandemik covid19 sehingga mengheret negara ke kancah nilai atau jumlah hutang yang tidak pernah terbayang oleh rakyat. Berbilion ringgit terpaksa berhutang dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
3. Kestabilan politik.
Politik yang tidak stabil. Kedudukan Perdana Menteri dan kerajaan semasa terlalu rapuh dan ini antara faktor penting yang menyebabkab pelabur besar dari luar negara tidak minat atau takut untuk masuk, tidak seperti ketika kerajaan BN memerintah.
Ada dua sahaja acuan. Acuan kerajaan berjaya dan acuan kerajaan yang telah terbukti gagal. Tersilap menamakan kerajaan pimpinan beliau maka Ismail bakal berdepan dengan kecaman rakyat dan mungkin ianya lebih teruk lagi, hukuman dari rakyat.
Menurut Ahmad Maslan, Setiausaha Agung UMNO, kerajaan Ismail Sabri bukannya kerajaan PN kerana UMNO BN tidak pernah berminat untuk menyertai perikatan tersebut sejak awal ditubuhkan oleh Muhyiddin tetapi kerajaan di bawah Ismail Sabri adalah Kerajaan Malaysia kerana di dalamnya ada pelbagai komponen parti yang sanggup bersama untuk melihat Malaysia keluar dari masalah yang mampu membawa negara ini ke arah negara bankrap.
You must be logged in to post a comment.