Suhakam tahu tak makna hak asasi? Tak tahu mari nak ajar

Suhakam tahu tak makna hak asasi? Tak tahu mari nak ajar. Dalam demonstrasi Sabtu lalu, Suhakam meminta pihak polis berhenti menyiasat dan mendakwa sesiapa yang menyertai Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’. Itu adalah hak asasi mereka untuk berhimpun.

Suhakam ini tahu atau tidak, makna hak asasi. Hak asasi jika mengancam nyawa rakyat, itu bukan hak asasi lagi tetapi soal hidup mati.

Saya selalu tertanya-tanya, Suhakam ini tahu atau tidak ruang lingkup kerja mereka. Kalau tidak tahu, mari saya ajarkan.

Bila Suhakam sebaliknya mengesyorkan agar pihak berkuasa menekankan pembangunan dan pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan perhimpunan awam dijalankan dengan mengurangkan risiko COVID-19.

Saya ingin bertanya, bagaimana Suhakam boleh memastikan virus tidak merebak dengan perhimpunan sedemikian rupa walaupun SOP dipatuhi.

Saya pun tertanya, siapa individu dalam Suhakam yang berkata sedemikian.

Kalau nak sangat berhimpun, tunggu dahulu sehingga wabak reda. Lepas itu, nak berhimpun, nak berguling, tidak siapa yang halang.

Pada perkembangan sama, Suhakam turut memuji penganjur dan peserta dalam usaha untuk mematuhi SOP pandemik yang telah ditetapkan. Selepas pemantauan, Suhakam mengesahkan perhimpunan itu berlangsung secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Saya fikir badan seperti Suhakam tidak sepatutnya memberikan komen sebegini. Nampak sangat berat sebelah. Rakyat Malaysia sudah matang untuk berhimpun dan berdemo, sebab itu jarang kedengaran perkara tidak diingini berlaku. Persoalannya, terdesak sangatkah untuk berhimpun atau berdemo ketika musim wabak ini

Saya fikir elok ahli-ahli Suhakam selepas ini masuk politik dan bertanding dalam pilihan raya, kita mahu lihat, rakyat beri undi atau tidak dengan keterujaan perjuangan hak asasi yang bukan sebenarnya hak.

Daripada dua perhimpunan ini saya nak katakan, cukup…cukuplah berpolitik. Sekarang bukan masa untuk berhimpun dan berdemo. Sekarang adalah masa untuk mengisi perut yang kosong.

Kamu bolehlah berdemo, sebab kantung sudah penuh. Dapat gaji, dapat elaun hasil titik peluh rakyat. Kantung rakyat bagaimana?

Katakan kamu berjaya membentuk kerajaan, apa jaminan kamu keadaan akan menjadi lebih baik? Tiada jaminan juga bukan?

Jadi, tidakkah lebih baik, jika fikirkan cara untuk memastikan perut rakyat dapat diisi dari membiarkan ia kosong.

Teringat kepada buku yang ditulis Joseph W. Pfeifer (2013), Crisis Leadership: The Art of Adapting to Extreme Event, mengenai kualiti atau seni seorang pemimpin dalam memberikan respon terhadap krisis. Kemampuan seorang pemimpin dalam memberikan respon untuk mengajak seluruh anggotanya untuk beradaptasi dan berkolaborasi berhadapan ketidakpastian (krisis).

Dalam kata lain, pemimpin mestilah bijak dalam mengurangkan risiko yang terjadi supaya anggota yang dipimpin berada dalam keadaan baik dalam apa jua keadaan. Persoalannya, apakah pemimpin hari ini, termasuk Suhakam memiliki ciri-ciri kualiti krisis tersebut berhadapan dengan ketidakpastian ini?

Pemimpin yang baik berhadapan krisis adalah dalam kalangan yang mudah memberikan respon kepada setiap masalah yang dihadapi. Mereka memiliki cara dan strategi dalam menyelesaikan masalah tersebut. Manakala, pemimpin yang tidak memiliki ciri dalam krisis kepimpinan kelihatan begitu lembab dalam memberikan respon terhadap masalah yang dihadapi sehingga boleh menimbulkan kemudaratan. Di sinilah bahayanya yang dibawa oleh ultra kiasu ini. Mereka hanya fikir soal diri, bukan soal rakyat.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mempunyai karakter deliberate calm dan bounded optimism. Deliberate calm bermaksud kemampuan pemimpin untuk melepaskan diri dari situasi cemas dan berfikir matang dalam menangani situasi kritis. Manakala, bounded optimism merupakan sikap yakin diri yang dimiliki oleh pemimpin. Dengan gabungan kedua karakter ini, dapat menonjolkan dirinya yang sebenar sebagai seorang pemimpin dalam mencari jalan keluar daripada segala kesulitan yang dihadapi.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Suhakam tahu tak makna hak asasi? Tak tahu mari nak ajar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Konflik Istana–Putrajaya: Bila akan berakhir?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker