COVID-19: Jangan terburu-buru cuba guna Ivermectin
Masyarakat dinasihatkan tidak mempercayai bulat-bulat sebarang ubat yang didakwa berkesan merawat COVID-19, tetapi sebaliknya perlu mendapatkan pandangan pihak berwajib untuk memastikan kesahihannya.
Dalam kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah sebelum ini, turut menasihatkan orang ramai tidak mengambil produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan COVID-19 bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini.
Katanya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga memaklumkan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.
Bersetuju perkara sama, Pakar Perunding Ortopedik Hospital Kemaman, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed, berkata maklumat sedia ada sekarang ini belum cukup untuk menggunakan Ivermectin sebagai rawatan kepada semua pesakit COVID-19.
Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat juga mencadangkan Ivermectin hanya digunakan dalam kajian pesakit sehinggalah dibuktikan keberkesanannya.
Beliau berkata, Kesatuan Eropah (EU) juga melarang Ivermectin digunakan ke atas semua pesakit kerana kekurangan bukti saintifik terhadap keberkesanannya dan pada 27 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan India mengarahkan rawatan COVID-19 menggunakan Ivermectin, multivitamin dan zinc dihentikan.
“Kita mahu rawatan yang berkesan dan selamat buat rakyat Malaysia dan bukannya memberi ubat secara terburu-buru. Sebab itu setiap vaksin yang dibawa masuk ke negara kita, tetap perlu melalui proses di NPRA Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun ia sebelum ini sudah digunakan di luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga ahli Medical Mythbusters Malaysia, berkata ada kalangan petugas KKM, doktor, jururawat dan ahli keluarga yang meninggal dunia disebabkan COVID-19.
“Anda fikir kami di KKM suka ke pesakit COVID-19 bertambah dan meninggal saban hari? Anda fikir tiada doktor, jururawat dan ahli keluarga kami yang meninggal akibat COVID-19? Kami juga seperti anda.
“Bezanya anda perlu duduk di rumah dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) manakala kami perlu memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) lapan jam sehari dan menghadapi risiko dijangkiti COVID-19 saban hari.
“Mungkin bagus juga jika bagi segelintir rakyat Malaysia yang ‘terlebih cerdik’ ini merasa pakai PPE dan berdiri merawat pesakit COVID-19 selama lapan jam,” katanya.
Katanya, ketika ini KKM sedang melakukan kajian mengenai keberkesanan Ivermectin ke atas pesakit negara ini yang kajian itu diluluskan Jawatankuasa Etika KKM pada 25 Mei lalu, lebih awal pun daripada laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, yang didakwa tidak mahu memberikan rawatan Ivermectin kepada rakyat Malaysia.
“Jika berlaku komplikasi atau kematian disebabkan pemberian Ivermectin secara terburu-buru, Ketua Pengarah KKM (Dr Noor Hisham) juga dipersalahkan. Susulan larangan Ivermectin, India dalam garis panduannya, mengarahkan rakyatnya yang tiada gejala untuk terus memakai pelitup muka, jaga kebersihan tangan dan jaga jarak fizikal. Sama seperti KKM ditekankan selama ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, gesaan untuk penggunaan ubat-ubatan lain sejak wabak ini dilaporkan kerana sebelum ini, Hydroxy chloroquine yang digunakan untuk malaria didakwa boleh merawat COVID-19.
“Adalah penting menunggu hasil kajian klinikal selesai, supaya aspek diuji kerana Ivermectin adalah didaftarkan ubat cacing, dari segi udang-undang memang tidak boleh.
“Biarpun ia dikategorikan off-label, iaitu digunakan untuk selain daripada preskripsi tetap ada proses tertentu dan perlu dapat kelulusan,” katanya. BH
Ivermectin wonder drug obliterates 97 percent of Delhi cases
You must be logged in to post a comment.