Pelik, dapat slot tapi tiada pengesahan, yang gagal diberi tarikh vaksin


PETALING JAYA: Kekecewaan dan kemarahan warganet terhadap sistem “kurang cekap” untuk pendaftaran pusingan kedua vaksin AstraZeneca semalam belum berakhir, apabila Twitter hari ini dibanjiri rasa tidak puas hati segelintir pengguna yang belum mendapat pengesahan rasmi dalam aplikasi MySejahtera.

Lebih membingungkan warganet apabila mereka yang gagal menempah slot semalam, menerima notifikasi dalam aplikasi MySejahtera hari ini mereka layak menerima vaksin itu.

Pengguna Twitter bernama Sara berkata, dia berjaya menempah slot semalam, namun sehingga kini aplikasi MySejahtera belum menghantar sebarang notifikasi kepadanya.

“Kerajaan hari ini menyebabkan saya gila!” tulisnya.

Nasha Fahamy turut pelik dengan sistem pendaftaran itu kerana dia berjaya menempah slot semalam, tetapi tiada kemas kini dalam aplikasi MySejahtera sehingga kini.

Cheryl Lim berkongsi pengalaman bapa rakannya yang jadual vaksinnya tiba-tiba ditukar kepada tarikh lain, walaupun dia tidak pernah mengemukakan sebarang permintaan sedemikian atau mendaftar untuk vaksin AstraZeneca.

“Ayah rakan saya berada dalam fasa dua dan dijadualkan (divaksin) pada 28 Mei, namun tiba-tiba bertukar kepada vaksin AstraZeneca pada 27 Julai.

“Ia dipaparkan di MySejahtera pagi ini dan mereka tidak pernah memohon untuk vaksin AstraZeneca. Apa yang berlaku? Banyak perkara pelik yang berlaku dalam sistem janji temu. Sila perbetulkan sistem anda!”

Razif Othman pula mendesak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memberi penjelasan berhubung huru-hara yang timbul.

“Siapa yang berjaya masih tidak dapat pengesahan, tetapi mereka yang gagal sudah mendapat janji temu mereka di dalam MySejahtera. Sila jelaskan @JKJAV.”

Tanda pagar #MySejahtera trending di Twitter hari ini dengan 38,000 hantaran mengenainya.

Difahamkan, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, akan mengadakan sidang media pada 5 petang ini untuk menjawab pelbagai isu mengenai vaksin AstraZeneca.

Lebih sejuta slot vaksin itu habis ditempah kira-kira sejam selepas pendaftaran dibuka tengah hari semalam, disusuli rungutan pengguna di media sosial mengenai pelbagai masalah teknikal dihadapi di laman web JKJAV.

Selain tidak dapat melihat pilihan pusat vaksinasi, walaupun selepas pengguna “refresh” semula laman web beberapa kali, mereka juga disekat daripada menghantar permohonan apabila beberapa kali mengisi maklumat.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, peruntukan RM70 juta daripada RM5 bilion bagi program itu untuk menyelaras dan membangunkan sistem pengantara bagi memudahkan proses pendaftaran penerima vaksin. FMT

Laman web vaksin RM70 juta bermasalah, Muda tuntut jawapan KJ

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker