Inilah peristiwa besar berlaku dalam Bulan Syawal
Terdapat beberapa peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam. Dalam bulan ini sahaja telah berlaku beberapa peperangan melibatkan Baginda s.a.w. selain dari peristiwa yang lain antaranya,
Pertama: Hari Raya Aidul Fitri pertama
1 Syawal tahun kedua hijrah adalah sambutan Hari Raya Aidul Fitri yang pertama bagi umat Islam. Pada hari itu jugalah dilaksanakan solat sunat hari raya pertama juga diimami oleh Baginda s.a.w.
Itulah hari yang mana umat Islam mengecap 3 kegembiraan iaitu kegembiraan menjalani ibadah puasa selama sebulan untuk kali pertama, kegembiraan memenangi perang Badar, dan kegembiraan hadirnya syariat hari raya.
Kedua: Perang Bani Sulaim
Perang ini terjadi pada tahun kedua hijrah. Ketika itu ada sekitar 200 orang pasukan muslim yang berarak menuju Qarqarah al-Kadri. Baginda s.a.w. telah memimpin tentera muslim menyerang Bani Sulaim dan Gathafan. Serangan tersebut membuatkan musuh-musuh umat Islam berjaya melarikan diri.
Ketiga: Perang Bani Qainuqa
Perang Bani Qainuqa terjadi pada bulan Syawal tahun kedua hijrah. Umat Islam di Madinah menghadapi fitnah yang dilancar kaum Yahudi. Di sebabkan kejahatan dan pengkhianatan kaum Yahudi yang keterlaluan menyebabkan Baginda s.a.w. mengusir mereka dari Madinah dengan mengirimkan pasukan tentera.
Keempat: Perang Uhud
Perang Uhud terjadi pada 15 Syawal, tiga tahun setelah penghijrahan Baginda s.a.w. Seramai 700 orang tentera muslim bertempur dengan musuh seramai 3000 orang musyrik. Awalnya dengan strategi yang bijak umat Islam mendominasi pertempuran sehingga pasukan musyrik terdesak dan lari meninggalkan harta perang yang banyak.
Namun melihat harta rampasan perang yang banyak ditinggalkan menyebabkan sebahagian tentera Muslim dari pasukan pemanah leka dan meninggalkan posisi mereka sehingga menyebabkan tentera musyrik berpatah balik dan menyerang tentera muslim yang sedang leka.
Kesudahannya dalam peperangan ini umat Islam menghadapi kekalahan yang sangat teruk sehingga Baginda s.a.w. turut mengalami luka yang parah.
Bulan Syawal bulan yang banyak peperangan dalam sirah Baginda s.a.w.
Kelima: Perang Khandaq atau Ahzab
Lima tahun selepas hijrah Baginda s.a.w. berlaku perang Khandaq. Ini merupakan perang pertama dengan strategi yang dirancang oleh seorang Parsi bernama Salman al-Farisi. Di tempat tinggalnya, kerajaan Parsi membina parit-parit yang dalam dan lebar untuk menghalang kemaraan musuh.
Strategi ini bagi mengekang kemaraan tentera Musyrik seramai 10 ribu orang yang datang dari pelbagai arah ke Madinah.
Pertempuran telah berlaku hampir sebulan lamanya. Dari 5 Syawal hingga masul awal bulan Dzulkaedah. Akhirnya pertempuran ini dimenangi umat Islam setelah datangnya pertolongan Allah yang menghantar tentera Malaikat berbentuk angin taufan dan menghancurkan musuh-musuh Islam.
Keenam: Perang Hunain
Perang ini yang berlaku pada 7 Syawal tahun ke 8 hijrah. Pertempuran besar antara umat Islam dengan kekuatan besar dari kabilah Hawazin dan Tsaqif. Seramai 30 ribu orang musyrik dikumpulkan bagi memerangi umat Islam yang hanya seramai 12 ribu orang.
Perang ini berlaku setelah Baginda s.a.w. berjaya menawan kota Mekah apabila kabilah Hawazin dan Tsaqif merasa terpanggil untuk mempertahankan agama jahiliah mereka setelah gusar melihat Mekah telah berjaya ditawan Baginda s.a.w.
Jumlah pasukan yang lebih dari separuh itu tidak langsung menggentarkan hati para tentera muslim setelah diingatkan oleh Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah: 25.
Sehingga akhirnya umat Islam telah mencapai kemenangan yang gemilang dengan meraih ghanimah yang lumayan.
Ketujuh: Perang Thaif
Setelah kemenangan di Hunain, dibulan dan tahun yang sama, Baginda s.a.w. memerintahkan Khalid al Walid dengan seribu tentera menuju ke Thaif untuk mengejar pimpinan kabilah Hawazin dan Tsaqif yang berlindung di sana.
Namun bukan mudah pasukan muslimin menawan Thaif kerana penduduk Thaif telah bersedia lebih awal memerangi tentera muslim.
Peperangan berlangsung dengan mereka saling berbalas panah. Rasulullah s.a.w. menggunakan strategi perang mengepung kota Thaif bagi melemahkan semangat mereka. Setelah masuk hari ke 20, Baginda s.a.w. menggunakan pula strategi diplomasi dengan menawarkan kepada penduduk Thaif sesiapa yang keluar dan menyerah diri maka mereka akan dimerdekakan.
Strategi ini berjaya apabila seorang demi seorang mula keluar menyerah diri sehingga akhirnya Thaif dapat ditawan dan sebahagian besar penduduk Thaif memeluk Islam.
Kelapan: Pernikahan Rasulullah s.a.w. dengan Aisyah dan Ummu Salamah
Pada tahun ke 11 kenabian, Baginda s.a.w. telah menikah dengan puteri sahabat baiknya Saidina Abu Bakar as-Sidiq iaitu saidatina Aisyah r.ha.
Manakala perkahwinan Baginda s.a.w. dengan Ummu Salamah, berlaku pada bulan Syawal tahun kedua hijrah selepas perang Badar
Demikianlah beberapa peristiwa penting yang berlaku di bulan Syawal dalam lintasan sejarah perjuangan Baginda s.a.w. Wallahu a’lam Utv