PN gagal kawal wabak Covid-19, Mahathir persoal ke mana pergi RM 600 bilion
Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mengekang penularan pandemik Covid-19 dengan peruntukan sebanyak RM600 bilion tidak tahu dibelanjakan ke mana.
Bekas Perdana Menteri tersebut berkata, peningkatan harian hampir 7,000 kes Covid-19 jelas membuktikan pelaksanaan darurat tidak berjaya mengurangkan wabak membawa maut itu.
“Kononnya sebanyak RM600 bilion sudah dibelanja oleh kerajaan dalam masa hanya lima bulan.
“Tetapi di mana pergi duit ratusan bilion ini. Bukan mudah untuk belanja duit sebanyak ini.
“Beli vaksin ke? Tak akan habis RM600 bilion beli vaksin. Apa harga vaksin? Siapa yang membeli? Kenapa sedikit sangat yang sudah diterima?” soalnya bertubi-tubi dalam kenyataan malam tadi.
Untuk rekod, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 12 April lalu berkata, kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang lagi apabila telah membelanjakan sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, ketika kuasa tanpa had dimiliki Perdana Menteri, bukan sahaja wabak Covid-19 gagal dikawal tetapi keadaan ekonomi, politik, dan sosial menjadi lebih teruk lagi.
“Angka prestasi ekonomi dikatakan lebih baik dari sebelum wabak, tetapi rakyat tidak sedikit pun merasai kebaikan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara memang mengundang masalah ekonomi dan sosial.
“Penjual makanan tetap tidak dapat berniaga. Apa kata jikalau mereka diupah sebagai tukang masak public kitchen. Kita perlu bekal rakyat yang dikurung dengan makanan.
“Inilah sebabnya kerajaan perlu sediakan makanan untuk mereka yang kebuluran kerana Covid-19,” sarannya.
Beliau mengingatkan kerajaan perlu menggunakan wang yang dimiliki untuk memerangi Covid-19 yang setakat semalam sudah mencecah 518,600 kes dengan meragut 2,309 nyawa.
“Membekal makanan, upah untuk tukang masak memerlukan peruntukan yang tinggi tetapi berbaloi. Tak payahlah kontrak-kontrak diberi di waktu ini.
“Lockdown tetap akan jejaskan ekonomi. Kita tidak ada pilihan. Ekonomi yang rosak boleh diperbaiki. Kematian kerana Covid-19 tidak ada pemulihan,” tambah Mahathir lagi. MD
You must be logged in to post a comment.