Nak kata PM bodoh pun tak apa – Muhyiddin
‘Nak kata PM bodoh pun tak apa, saya tahu susah uruskan wabak Covid,’ kata Muhyiddin
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin rela dipersalahkan atau menjadi tempat rakyat melempiaskan rasa marah asalkan mereka sanggup bekerjasama dengan kerajaan untuk mencegah penularan Covid-19.
Beliau berkata, walaupun situasi itu sukar dihadapi, hakikatnya usaha untuk melandaikan keluk Covid-19 adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat, dan bukan semata-mata terletak pada kerajaan.
“Boleh salahkan kerajaan, marah Perdana Menteri pun tidak apalah. Nak kata apa pun, nak cakap PM bodoh pun tidak mengapalah. Saya tahu macam mana susah nak menguruskannya.
“Kalau kita sedia menerima hakikat ini (adalah) masalah bersama, pendekatan kita bukan keseluruhan kerajaan, (tetapi) ia adalah keseluruhan masyarakat,” katanya dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV malam ini.
Untuk itu, beliau meminta rakyat supaya melakukan sendiri sekatan pergerakan atau “self-lockdown” bagi menyekat peningkatan mendadak jangkitan covid-19 yang menyaksikan bilangan kes harian kini mencecah lebih 6,000 kes setiap hari.
Beliau juga menasihati mereka supaya “mengingatkan” yang lain untuk berbuat perkara yang sama kerana apapun usaha kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ada yang asyik tanya kenapa tak buat perintah kawalan pergerakan sepenuhnya.
“Buat sekatan pergerakan kendiri, duduk di rumah dan beritahu yang lain untuk lakukan perkara sama kerana apapun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP ditetapkan,” katanya. FMT
Mahathir dakwa Muhyiddin diktator
You must be logged in to post a comment.