Tiga dimensi hikmah puasa Ramadhan



Sebaran :


Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBADAT puasa pada Ramadan disebut dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan bertakwa kepada Allah. Menurut perspektif al-Quran, takwa yang dimaksudkan tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu yang bersifat vertikal, malah ia juga turut mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ini kerana Ramadan bulan yang terhimpun padanya kebajikan, nur dan hidayah yang melimpah-ruah seluas samudera raya. Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perut dan memimpin nafsu ke arah darjat kesucian serta fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan padanya al-Quran. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu puasa. Puasa senjata yang menyingkap segala tabir yang menghalang kita untuk memandang nur Ilahi yang Maha Kudus. Ramadan juga bulan yang dimulainya dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.



Puasa Ramadan asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah serta perintah Ilahi Yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi yang tiada terhingga dan membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Jelas di sini ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kekejian akibat tarikan hawa nafsu yang bergelora. Pengendalian diri itu pada hakikatnya adalah suatu cetusan keinsafan yang terpancar dari sudut jiwa pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah pada setiap detik.

Lebih penting daripada itu, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah. Ini kerana puasa itu adalah qiyam bila ‘amal yang bermaksud beribadat tanpa bekerja. Dikatakan ‘tanpa bekerja’ kerana ibadat puasa yang dilakukan itu bebas daripada gerakan. Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat yang lain. Apa pun amal ibadat yang dilaksanakan seseorang Muslim, pasti ia akan dapat diketahui dari aspek lahiriahnya seperti solat, zakat dan haji sebaliknya ibadat puasa pula tidak dapat diketahui apatah lagi diperlihatkan dengan gerakan lahiriah. Dari sini jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah saja layak memberikan ganjaran pahala kepada orang yang berpuasa kerana ibadat puasa satu-satunya ibadat yang tidak boleh dicampuri dengan sifat riak. Firman Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadat puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah sahaja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa di antara ibadat yang lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Berpuasa itu separuh daripada sabar dan juga maksud hadis Rasulullah yang lain: Sabar itu separuh daripada iman.”



Selanjutnya, puasa Ramadan kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian iaitu:

Pertama, penghayatan keagamaan yang mendalam dalam konteks hubungan menegak antara seseorang Muslim dengan Allah sehingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya. Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan Ramadan sehingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan yang lebih baik. Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan yang bertakwa.

Kedua, keprihatinan sosial yang menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah sahaja, malah ia juga turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat. Pelaksanaan ibadat puasa dengan ikhlas akan merefleksikan suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah ini seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim, meringankan beban dan kesusahan golongan yang memerlukan serta membela golongan yang tertindas.



Ketiga, ibadat puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikalnya dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan serta ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi. Dalam hidup yang penuh liku, setiap Muslim dianjurkan bersifat positif dan optimis di samping berusaha menampilkan nilai keperibadian terpuji semasa berhadapan cabaran berkenaan. Bulan inilah peluang keemasan dan terbaik untuk umat Islam mengatur langkah dan menyusun strategi untuk memulihkan kembali maruah serta kedudukan mereka sebagai umat cemerlang dalam segala lapangan hidup.

Tidak hairanlah ada sebahagian ulama menyebut ibadat puasa sebagai al-Riadhah al-Sanawiyyah yang bermaksud latihan kerohanian yang bersifat tahunan dan ada juga menyebut Madrasah Ramadhaniyyah yang bererti tempat didikan Ramadan. Ini kerana Ramadan satu bulan yang menumpukan aspek pembinaan insan dalam pelbagai dimensi kehidupan agar seusainya Ramadan akan lahir insan bertakwa, berjiwa kental, berakhlak terbilang dan beristiqamah yang berupaya memacu upaya menuju kecemerlangan dunia serta kebahagiaan abadi di akhirat.

Penulis profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)



Subhanallah! Mustajabnya berdoa pada 4 waktu bulan Ramadhan


Sebaran :


Leave a Reply