Doktor urus kafe sejauh 1,522 km
Kuala Lumpur: Tampak mustahil untuk dilakukan, namun seorang doktor muda yang sibuk merawat pesakit Covid-19 masih mampu menguruskan kafenya terletak 1,522 kilometer dari lokasi dia bertugas.
Minat sampingannya dalam bidang penyajian makanan tidak menghalang Dr Ahmad Faisal Ahmad Nazri membuka Kofee Breu Cafe yang terletak di Cheras di sini, walaupun dia sedang berkhidmat di Labuan.
Bagaimanapun, dia berjaya membuktikan kesungguhannya menguruskan kafe itu secara jarak jauh walaupun berdepan pelbagai kesulitan.
Ahmad Faisal sebelum itu meluahkan keterujaannya apabila dia ditukarkan lokasi berkhidmat selepas tiga tahun bertugas di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Menurutnya, dia tidak terkejut apabila ditempatkan di Labuan berikutan sudah dilatih untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk berdepan pesakit Covid-19.
“Walaupun sibuk namun tidak timbul masalah untuk menguruskan kafe dan pekerja berikutan saya mempunyai pasukan yang berdedikasi.
“Dalam perniagaan, menjadi keutamaan untuk menjaga kebajikan pekerja dan percaya kepada pihak pengurusan yang diberi amanah. Saya mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya seminggu sekali bersama setiap ketua jabatan dan fokus dalam menyelesaikan masalah berbangkit,” katanya.
Dia memaklumkan sasaran jualan dan kos perniagaan kafe itu diletakkan dalam peratusan ditetapkan.
“Saya tidak begitu cerewet. Jika berlaku sebaliknya (tidak mencapai sasaran), pihak audit yang dilantik secara berkala akan memberi nasihat bagi membaiki situasi,” katanya.
Ditanya cabarannya dalam menguruskan kafe sambil mengalas tanggungjawab sebagai seorang doktor perubatan, Ahmad Faisal memaklumkan setiap pekerjaan pasti ada masa terluang.
“Tidak kisah dalam apa juga pekerjaan…pasti ada masa yang boleh digunakan untuk berehat dan diisi dengan aktiviti lain.
“Selain waktu bekerja, saya akan fokus dalam perniagaan. Pada mulanya memang agak sukar untuk membentuk perniagaan pada peringkat awal. Namun apabila ia sudah stabil, segalanya lebih tersusun,” katanya.
Dalam pada itu, anak perantau yang merindui air tangan istimewa ibu, Kofee Breu Cafe miliknya menyajikan juadah berbuka puasa membabitkan pelbagai jenis masakan tradisional bermula pada harga serendah RM100 untuk empat orang.
“Buat penggemar juadah tradisional, sajian seperti udang petai, daging dendeng, ayam kampung masak kunyit dan sambal terung adalah pilihan tepat sekiranya pelanggan mahu merasai masakan kampung.
“Kami menawarkan makanan tradisional Malaysia, terutamanya masakan kampung kerana ia lebih dekat dengan selera tempatan. Malah kafe saya turut menyediakan udang galah masak lemak dan pelbagai ulam-ulaman kampung,” katanya.
Menurutnya, Kofee Breu Cafe turut menyediakan menu makanan barat bagi memberikan kepelbagaian kepada pelanggan.
“Sebenarnya saya ingin mengetengahkan konsep kedai kopi sehenti, di mana ada kopi, kek dan makanan barat.
“Namun rata-rata pelanggan mahukan kepelbagaian pilihan menu dan bakal membuka sebuah lagi cawangan pada akhir April ini di Puncak Alam, Selangor serta menyasarkan mempunyai lima cawangan sehingga akhir tahun ini,” katanya. HM
Kilang Tersorok Di PJ Ini Transform Jadi Kafe Muslim-Friendly Tercantik Sekali
You must be logged in to post a comment.