SKMM kenal pasti helah, modus operandi ‘scammer’

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenal pasti tiga helah dan penipuan dilakukan ‘scammer’ untuk memperdaya orang ramai supaya menyerahkan dokumen peribadi perbankan internet mereka.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan modus operandi digunakan pihak itu dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi seperti WhatsApp menyerupai pesanan daripada bank kepada pengguna secara rambang.

Menerusi SMS atau aplikasi melalui telefon, pengguna dimaklumkan berlaku transaksi kewangan mencurigakan atau wujud keperluan supaya pengguna mengesahkan, mengemas kini atau mengaktifkan semula akaun perbankan internet.

Pengguna seterusnya diminta melayari pautan laman sesawang palsu, yang mana mereka perlu memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet.

Malah, paparan di laman sesawang palsu itu akan kelihatan menyerupai laman sesawang perbankan internet sebenar, tetapi pautan URL pada laman terbabit mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf dan ejaan.

Selain itu, pengguna juga diminta menghubungi talian hotline palsu, iaitu pengguna akan berhubung dengan scammer yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa.

Melalui interaksi itu, pengguna diminta melayari laman sesawang palsu dengan perlu memasukkan nama dan kata laluan, selain diminta memuat turun dan memasang aplikasi palsu dalam bentuk fail ‘APK’ yang memerlukan mereka memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet.

Kombinasi dan variasi helah serta modus operandi sama turut digunakan scammer untuk memperdaya dan memperoleh nombor TAC atau One-Time PIN (OTP) daripada pengguna.

Justeru, SKMM mengingatkan semua pengguna supaya sentiasa berwaspada apabila menerima SMS atau mana-mana aplikasi pesanan ringkas yang menyerupai pesanan daripada pihak bank.

“Jangan melayari dan memberikan maklumat perbankan di mana-mana laman sesawang dengan alamat URL yang mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf serta ejaan, berbanding laman perbankan internet sebenar.

“Selain itu, jangan sesekali menyerahkan nama dan kata laluan perbankan internet, termasuk nombor TAC dan OTP kepada mana-mana pihak melalui SMS atau mana-mana aplikasi pesanan ringkas atau kaedah lain,” katanya.

Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 dan 03-26101599 atau SKMM melalui pautan https://aduan.skmm.gov.my, selain e-mel kepada [email protected] atau menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 016-2206262.

Polis kesan penipuan guna web palsu Maybank2u

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker