Doakan saya memeluk Islam’ – Ryan


Kajang: “Saya tertarik untuk menimba ilmu dan mengkaji keistimewaan ajaran Islam. Saya cuba mencari maklumat di Internet, selebihnya bertanya dengan rakan, ustaz dan ustazah jika mahu mendapatkan kepastian mengenai sesuatu perkara,” kata seorang pemuda Tionghua, Ryan Wong Yong.

Dia juga gigih menimba ilmu dan berkongsi pengetahuan agama (Islam) yang ada dengan pengikutnya di aplikasi TikTok.

Ryan, 18, juga terbuka berkongsi pelbagai mesej positif dan ajaran Islam dalam setiap video dimuat naiknya hingga meraih tontonan tinggi serta pendapat pujian daripada pengikutnya terutama yang beragama Islam.

Lebih menarik perhatian pengikutnya apabila Ryan turut sama berpuasa buat pertama kalinya sejak hari pertama Ramadan tahun ini.

Bercerita lanjut, Ryan yang juga penuntut Asasi Kewangan Akaun, Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), Kuala Lumpur berkata, dia tertarik untuk mendalami ajaran Islam sejak tahun lalu.

Katanya, keinginan itu tercetus selepas melihat rakan beragama Islam menunaikan kewajipan solat fardu.

“Selain rakan berbangsa Cina dan India, saya juga bergaul dengan pelajar Melayu ketika di sekolah dulu jadi banyak melihat amalan yang mereka lakukan, antaranya solat,” katanya ketika dihubungi.

Menyedari pengaruh TikTok dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda, Ryan mengambil kesempatan memanfaatkan platform berkenaan untuk menyampaikan mesej positif.

Usaha Ryan tidak sia-sia apabila perkongsiannya itu mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya yang kini mencecah hampir 19,000.

“Sebenarnya, niat saya hanya untuk mengajak orang melakukan kebaikan kerana itu yang dituntut dalam semua agama termasuk ajaran Islam.

“Jadi, saya kongsikan apa yang saya tahu dan belajar, tak sangka pula ramai pengikut teruja mungkin kerana saya berbangsa Cina.

“Ibu dan ayah tahu, mereka tiada halangan selagi saya berkongsi perkara yang betul serta tidak menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Berkongsi pengalamannya berpuasa, Ryan berkata, rukun Islam ketiga itu dilakukan dengan keinginan sendiri dengan niat mencuba dan merasai kesusahan golongan kurang bernasib baik hidup tanpa makan dan minum.

“Tiga hari pertama, saya cuba berpuasa sehingga 6 petang saja dan permulaannya memang susah kerana tidak biasa berlapar serta menahan dahaga dalam tempoh lama.

“Bermula hari empat Ramadan, saya cuba berpuasa sehingga Maghrib dan dapat sesuaikan diri.

“Kebiasaannya, saya hanya bersahur dengan menjamah biskut dan minum susu kurma serta ke restoran berhampiran rumah untuk berbuka puasa,” katanya yang tinggal berdua dengan kembarnya, Wong Yong Hei, manakala ibu dan ayahnya bekerja di Singapura.

Ditanya sama ada mahu memeluk Islam atau sebaliknya, Ryan mengakui menyimpan hasrat itu tetapi membiarkan masa yang menentukannya.

Ketika ini, dia lebih selesa mendalami ajaran Islam dan memahami kewajipan sebagai seorang Muslim.

“Memang pernah terdetik untuk memeluk Islam tetapi bukan sekarang.

“Ramai pengikut saya di TikTok mendoakan saya memeluk Islam dan mudah-mudahan ia akan menjadi kenyataan satu hari nanti.

“Terima kasih atas sokongan diberikan dan saya akan terus berkongsi video dakwah untuk kebaikan bersama,” katanya yang menjadikan Ustaz Ebit Lew sebagai sumber inspirasi. HM

Ebit Lew dikecam bantu kaum Bajau Laut peluk Islam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker